Saturday, May 08, 2010

Lelaki vs Wanita

Tidak Allah jadikan lelaki dan wanita itu untuk bersaing antara satu sama lain. Malahan lelaki dan wanita itu perlu dan memerlukan, kuat menguatkan, lengkap melengkapi dan hias menghiasi. Kuat wanita itu bila ada lelaki. Mantap dan teguhnya lelaki pula bila dibantu oleh wanita.

Allah ada berfirman yang bermaksud:

"Wanita itu pakaian bagi lelaki dan lelaki itu pakaian bagi wanita" (Al Baqarah:187)

Maksudnya lelaki dan wanita itu saling memerlukan dan lengkap melengkapi. Satunya berguna pada yang satu lagi.


Allah juga ada berfirman yang bermaksud:

"Allah telah melebihkan lelaki itu atas wanita dengan beberapa keistimewaan. " (An Nisa: 34)

Di sini kita lihat adanya perbezaan diantara lelaki dan wanita terutamanya kerana fungsi dan peranan mereka yang berbeza.. Sudah tentulah ada perbezaan fungsi dan peranan. Kalau tidak apa perlunya Allah jadikan perbezaan jenis. Bila berbeza barulah saling memerlukan dan saling mencukupi.

Wanita itu mencukupkan apa yang kurang pada lelaki dan lelaki pula mencukupkan apa yang kurang pada wanita. Barulah lengkap sunnah Allah yang mencipta sesuatu itu berpasang-pasang. Di dalam ciptaan berpasang-pasang inilah terkandung berbagai hikmah dan rahsia Tuhan.

Kalau siang saja tak ada malam, atau kalau malam saja tak ada siang, tergendalalah dunia. Kalau hujan saja, tak ada panas atau panas saja tak ada hujan, rosaklah dunia.Kalau lelaki saja, tak ada wanita atau kalau wanita saja, tak ada lelaki, maka lenyaplah manusia.

Masing-masing ada peranannya. Itulah juga sebabnya kenapa Allah bezakan sifat dan kebolehan lelaki dan wanita. Masing-masing ada fungsi dan peranan. Allah tidak mahu lelaki mengambil alih fungsi wanita atau sebaliknya. Masing-masing mesti timbal balas dan bekerjasama.

Segala kelebihan yang Tuhan bagi ada lelaki di atas wanita kerana lelaki diberi tugas dan tanggungjawab yang lebih. Kaum lelaki memerlukan kelebihan tersebut untuk melaksanakan tugasnya sebagai ketua, pemimpin dan pelindung. Kelebihan itu bukan untuk dimegahkan.

Kita tak boleh melihat perhubungan lelaki dan wanita dari segi kacamata orang-orang Barat yang sudah rosak fitrah mereka. Yang mahu equality atau kesamaan. Nilai mereka sudah songsang dan tunggang terbalik. Mereka sudah terlalu jauh dari jalan dan kehendak Tuhan.

Mereka itu menunggu kehancuran. Kita perlu tanya mereka apakah kerana masing-masing tidak puas hati dengan peranan masing-masing dan mahukan equality maka mereka mahu pisahkan tamadun manusia kepada tamadun lelaki dan tamadun wanita? Biar kaum lelaki hidup berasingan dengan kaum wanita dan masing-masing menguruskan tamadun masing-masing. Akan wujudkah tamadun kalau lelaki dan wanita tidak bersama?

Dalam memahami perhubungan antara lelaki dan wanita, kita perlu rujuk dan kembali kepada Islam. Kita mesti lihat kepada fungsi dan peranan. Kita mesti berpegang kepada konsep ciptaan Allah iaitu konsep berpasangan. Konsep lengkap melengkapi, cukup mencukupi, perlu memerlukan.

Ibarat memasang selak di daun pintu. Apalah gunanya selak itu kalau tidak dipasang penahannya dibingkai pintu. Selak tidak akan dapat digunakan dan tidak boleh berfungsi. Apalah gunanya memasang penahan selak di bingkai pintu kalau selaknya tak ada. Apabila keduanya ada, barulah pintu boleh diselak. Begitu jugalah lelaki dan wanita.

Hidup manusia tak bermakna jika lelaki ada tanpa wanita dan jika wanita ada tanpa lelaki. Tak ada siapa yang lebih penting , kedua-duanya penting dan keduanya mesti melaksanakan fungsi dan peranan masing-masing. Oleh itu lelaki dan wanita perlukan kefahaman,kesefaham an dan perhubungan yang betul dan sesuai.

Mesti ada kasih sayang antara satu sama lain. Lelaki mesti melindungi dan membela kaum wanita. Pertahankan maruah dan kehormatan mereka. Maruah wanita Islam itu adalah juga maruah agama. Mesti saling hormat menghormati. Maknanya kita akui peranan dan keperluan masing-masing.

Kita akui hak masing-masing. Kita akui kelemahan dan kelebihan masing-masing. Barulah masing-masing bebas bergerak dalam lingkungan ruang masing-masing dan tidak akan timbul pergeseran dan pertembungan.

Mesti bersikap toleransi di antara satu sama lain. Lelaki tidak dijadikan sempurna, begitu juga wanita. Bila tak sempurna, masing-masing ada kelemahan. Disebabkan kelemahan, masing-masing perlu memerlukan supaya yang satu dapat bergantung kepada kekuatan yang ada pada satu lagi.

Perlu ada sikap berlapang dada dan bertolak ansur, juga sikap mengalah dan memberi keutamaan pada yang lain. Dengan adanya sikap-sikap ini, kelemahan masing-masing tidak akan menimbulkan masalah. Malahan ia akan mengindah dan mencantikkan lagi hubungan dan interaksi antara keduanya. Terima pandangan, komen dan buah fikiran satu sama lain. Sesuatu isu dan perkara itu akan tampak lebih jelas kalau dilihat dari dua sudut iaitu sudut lelaki dan sudut wanitanya.

Dalam membuat pelan rumah pun ada pandangan dari berbagai sudut. Ada dari hadapan, ada pandangan dari sisi dan ada pandangan pelan dari atas. Barulah jelas rupa bentuk rumah yang hendak dibina. Atas alasan yang sama, pandangan lelaki dan wanita pasti berguna dan menguntungkan dan menjelaskan lagi keadaan. Apa salahnya kedua-dua pandangan tersebut diterima.

Urusan masyarakat atau urusan hidup manusia ini melibatkan dan memberi kesan pada lelaki dan juga wanita, jadi patut sangat pandangan dan idea kedua-dua pihak diambil kira dalam sesuatu permasalahan. Mesti ada tanggungjawab bersama.

Macam dalam satu team, mesti ada team work. Baru semua akan berjalan elok dan matlamat tercapai. Jangan pula satu pihak nak hebohkan dan nak menyibuk dengan tugas pihak lain. Masing-masing pihak mesti melaksanakan tugas pihaknya
sendiri.

Tuhan mencipta lelaki sesuai dengan fitrahnya. Tuhan mencipta wanita sesuai dengan fitrahnya. Oleh itu kalau fitrah kita bersih dan tidak tercemar, maka kita akan redha dan berpuas hati dengan peranan kita masing-masing, dengan kelebihan dan kelemahan kita masing-masing.

Kalau ini tidak berlaku dan kita asyik menunjuk sikap tidak puas hati dan kita asyik menuntut apa yang bukan hak kita, maka kita bimbang kalau-kalau fitrah kita sudah rosak dan tercemar. Tidak mungkin Tuhan tersilap mencipta lelaki dan wanita. Tidak mungkin juga Tuhan tersilap dalam melengkap apa yang diperlukan oleh lelaki dan apa yang diperlukan oleh wanita.

Ampun maaf.



Sumber: ASZ

No comments:

Post a Comment