Menjadi baik, itulah matlamat saya. Baik dengan semua. Dengan manusia. Dengan haiwan. Dengan alam. Malah mungkin dengan kayu, batu, yang tidak punya rasa itu. Saya tidak mahu ada musuh. Saya mahu damai. Aman. Tenteram.
Manalah saya tahu, ada tindakan saya yang menyalahi rasa baik yang saya mahu itu. Saya tidak tahu. Sungguh.
Di kantin.
Kisah 1.
Apabila seekor ikan cencaru sumbat yang saya cubit itu disuap ke mulut, rasanya sedikit busuk. Saya langsung tidak lalu untuk menelannya. Lalu saya memberitahu adik pekerja kantin itu, "Dik, ikan ni berbaulah. Saya nak ambil lauk lain ya."
Dia lantas membawa ikan itu ke dapur dan saya mengganti lauk saya dengan ayam goreng.
Usai makan, saya ke kaunter untuk membayar.
"Cikgu ke tadi yang kata ikan tu berbau?" Tanya tauke kantin pada saya.
"Ya."
"Kami rasa tadi ok je. Tak bau pun. Habis pun kami makan."
"Ya ke? Entahlah, saya cubit sekali je. Rasa macam ada bau, terus saya tak nak makan. Saya memang sensitif dengan ikan berbau."
"Tu la cikgu. Kami makan ok je. Cikgu selalunya tak pernah buat hal. Tiba-tiba je hari ni.."
"Oh.. saya memang rasa sikit je ikan tu."
"Tu yang saya pelik, cikgu kan tak pernah buat hal.."
Dua tiga kali dia menyebut begitu. Buat hal. Saya rasa sedikit tidak selesa.
"Kak, saya bukan buat hal, saya memang rasa ikan tu berbau! Tak apalah, kak nak saya bayar ke?"
Nada saya tiba-tiba berubah.
"Oh.. tak. Tak.."
Rupa-rupanya apabila kita memberitahu apa yang kita rasa tentang masakannya, atau menegur, atau mengomen, kita dicop buat hal. Begitu mentaliti peniaga ini. Saya tidak tahu dia boleh maju sampai mana.
Kisah 2.
Saya nampak kerut di wajah kakak tauke kantin ini sewaktu saya berdiri di kaunter untuk membayar. Dia sedang berbincang sesuatu dengan salah seorang pekerjanya waktu itu. Saya bertanya sekadar membuka ruang bicara. Dia pun bercerita, mungkin mahu mengongsi apa yang dirasa.
Katanya, sudah banyak kali PKP menempah makanan untuk majlis anjuran sekolah tetapi tidak membayar. Dia pula tidak tergamak mahu meminta.
Saya bertanya lagi, memohon kepastian. "Untuk program apa tu kak?"
"Minggu lepas program pelajar SPM. Lepas tu pelajar PT3 pula.."
"Oh, itu bawah unit kecemerlangan. Saya boleh tolong. Kak buat resit dulu. Nanti saya claim dengan unit kecemerlangan. Rasanya dapat. In shaa Allah minggu depan kak."
Janji saya dengan kakak tauke itu, kerana saya tahu dia perlu dibantu.
Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan wang untuk menjelaskan bayaran makanan itu seperti yang dia mahu, RM450.
Pagi tadi, saya menyerahkan duit itu kepadanya.
Dia mengambil dengan hanya berkata "hmm" tanpa sepatah ucap terima kasih pun.
Apalah yang boleh saya harapkan dari seorang peniaga sepertinya. Bukanlah saya ini lapar ucapan terima kasih itu, tetapi cerminan watak peribadi seorang peniaga melayu islam yang dia bawa sangat tidak cantik.
Itu hanya dua kisah kecil yang berlaku pada saya. Saya tahu ada banyak lagu kisah antara dia dan guru-guru lain di sekolah ini, tetapi cukuplah. Ini cuma satu catatan tentang kisah yang mahu saya jadikan sempadan. Mungkin ia kecil, tetapi budi bahasa bukankah budaya kita?
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment