Saturday, April 30, 2016

Afeef Mukrim

Inilah cucu tok ma yang kelima belas. Selamat diputerakan pada jam 4.20 petang19hb April 2016 yang lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab.

Afeef Mukrim bin Muhammad. Hari ini kami menghadiri majlis kesyukuran dan cukur jambulnya di Meranti. 

Doa kami, semoga dewasamu nanti wahai Afeef, menjadi penyejuk mata ibu dan abah, sentiasa berjiwa waja menempuh setiap cabaran mendatang dan dikurniakan ketabahan dan hati yang penuh kasih sayang.



Sent from Samsung Mobile

Friday, April 29, 2016

Kanak-kanak

Kecil dahulu, saya selalu tidak sabar untuk menjadi dewasa. Lambat benar masa berlalu sedang saya sudah tertunggu-tunggu untuk berbuat perkara yang seorang kanak-kanak tidak mampu melakukannya. Banyak. Daripada sekecil perkara seperti membuka selak pintu rumah tanpa perlu naik atas kerusi hinggalah ke sebesar perkara seperti membeli kereta dan rumah sendiri! 

Apa tidaknya, kanak-kanak sering ditegah itu ini sehingga terdetik dalam hati, bila besar nanti saya nak buat itu, nak buat ini. Bila disuruh sesuatu yang tidak digemari pun sama juga. Contoh apabila emak meminta menolongnya di dapur atau mengemas rumah. Dalam hati akan berkata, bila besar nanti saya akan ada orang gaji dan saya tak perlu buat semua ini.

Begitulah kanak-kanak berimaginasi. Paling seronok bila saya berkesempatan bermain di sebuah stor kayu usang di hadapan rumah lama dulu, saya menyusun kayu-kayu kecil itu membentuk pelan rumah yang saya mahu. Lalu saya mula mencipta angan-angan berada di rumah idaman saya itu.

Indah bila dikenang kembali zaman itu. Tanpa gajet, dan tv hanya bermula pada jam 5 petang. Seharian hanyalah bermain dan berimaginasi tanpa batas. Cerita kartun di tv bukanlah keutamaan walaupun sesekali saya menonton juga ultraman, sinbad the sailor dan kapten future. 

Kini saat dewasa terasa mahu kembali semula ke situ. Waktu diri suci tanpa dosa. Waktu fikiran masih belum ternoda. Semuanya terjaga rapi dalm kasih sayang ibu dan ayah.

Semoga bahagia sebegitu kembali lagi di syurga nanti.





Sent from Samsung Mobile

Thursday, April 28, 2016

Perasaan

Dalam penat yang menyengat
Seiring bahang panas hangat
Raga longlai mencari rehat
Jiwa tabah menanggung sarat

Belum tamat satu perjuangan
Di hati ini azam tersimpan
Biar getir meredah medan
Amanah diberi diabai jangan

Akan melangkah
Terus melangkah
Dengan gagah
Dengan tabah

Bukan pujian manusia
Atau anugerah berjuta
Hanya redha-Mu jua
Menjadi harta berharga!

Wednesday, April 27, 2016

Bahagia

Onak dan liku dalam hidup yang perlu kita lalui sesungguhnya tidak pernah kita tahu bagaimana rupa dan di mana ia berada. Laluan di hadapan sana adalah rahsia yang tidak akan terbongkar selagi kita tidak sampai padanya.

Begitu kehidupan, dari segalanya - perkahwinan atau pekerjaan. Siapa pun tidak mampu meneka cerita bagaimanakah akan bertingkah seiring waktu melangkah. Hanya doa dan harapan agar masing-masing boleh berkira bicara dan ada hemah dalam menangani segala kesulitan. 

Bahagia itu cukup abstrak dan subjektif sifatnya. Dalam segala kesempurnaan yang cuba ditampilkan pun tetap kita masih mahu memikir yang di luar jangkauan. Jika begitu, alangkah! Jika begini, cerialah! Sedang apa yang Tuhan beri itu selalu kita lupa hikmahnya.

Menjadi seorang hamba di muka bumi ini yang perjalanan hidup kita adalah menuju mati, setiap perkara mesti diambilkira sebagai satu kebajikan atau hanya sia-sia. Semoga matlamat yang kita bina untuk bahagia di syurga sana sedang kita caturi dengan penuh tekun dan berpandu. Syukuri segala anugerah biar dalam bentuk apa pun ia tiba kerana Allah tahu apa yang sebaiknya untuk kita. Ujian pun anugerah juga. Di situ nilai positif berada.

Dan redha Allah tetap yang paling utama.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, April 23, 2016

Masak

Selesai sudah saya memasak. Sup tulang, ikan selar goreng, telur dadar dan kangkung goreng belacan.

Bukan banyak mana pun tetapi letihnya subhanallah!

Sekarang mereka tengah makan di luar. Suami saya dan tiga orang rakannya. Seorang rakan lama dari Cameron Highland, seorang rakan lama dari Pasir Tumbuh dan seorang lagi rakan sekampung, Zuki Hj. Daud. Harap-harap mereka menggemari masakan saya.

Sesungguhnya saya mencuba. Saya ikhlaskan diri. Saya memberi sehabis baik.

Semoga Allah redha.


Sent from Samsung Mobile

Rawat

Sudah lapan belas tahun saya merawat penyakit yang sedang saya lalui ini. Lapan belas tahun ia masih belum mahu sembuh. Saya tidak pernah putus asa, jika pun ia tidak mahu sembuh saya tetap akan meneruskan usaha demi sebuah kelangsungan hidup di dunia.

Endometriosis. 

Pada awal dulu, saya lalui pembedahan demi pembedahan. Kini saya bergantung pada ubat-ubatan pula.

5 April lalu, doktor pakar menyarankan saya mencuba ubat baru untuk penyakit saya ini. Sejak 2014 saya mengambil suntikan depo-provera setiap dua bulan sekali untuk menghentikan pendarahan saya, tetapi sekali sekala ia berlaku juga. Lalu doktor mahu saya memulakan pengambilan Tablet Visanne 2mg. Katanya, ia lebih khusus untuk endometriosis. 

Pun, tablet itu tidak diberi percuma. Saya perlu membelinya di klinik dengan harga RM152 untuk penggunaan selama 28 hari. Dan saya perlu meneruskannya sehingga diberitahu nanti.

Saya akur. Jika inilah jalannya, saya tidak akan menolak. Saya berusaha dan Tuhan tahu itu.

Hari ini sudah sebelas hari saya melalui hari-hari bersama pil hormon Visanne itu. Saya berdoa agar penyakit saya ini tidak akan menjadi semakin parah walaupun peluang untuk sembuh itu hampir tiada. 

Segala-galanya dari Allah. Saya wajib redha.

Sent from Samsung Mobile

Friday, April 22, 2016

Di Sini

Jumaat tiba lagi dan seperti selalu saya mahu menikmatinya sepenuh hati. 

Jika dua Jumaat lepas saya perlu hadir ke sekolah untuk kelas Matematik Tambahan tingkatan lima, Jumaat hari ini saya percumakan diri. 

Seawal jam sembilan pagi saya dan suami bergerak keluar dari rumah menuju ke kampung halaman kami di seberang jalan sana. Rumah emak tempat pertama kami singgah. Khabarnya emak demam. Saya mengajaknya ke klinik tetapi katanya demam sedikit sahaja. Harap-harap tidak melarat kerana emak mahu pulang ke Golok dengan Ismah tengah hari nanti.

Tidak lama di situ kerana saya perlu memenuhi janji dengan mek pula untuk membawanya ke klinik. Mek pening dan sakit kepala. Kebetulan ubat darah tingginya juga sudah kehabisan.

Klinik Ikhtiar di Wakaf Che Yeh yang kami tuju lengang sahaja, tiada pesakit. Mek menjadi satu-satunya pesakit dan kami tidak perlu menunggu lama.

Selsai urusan di situ, kami menghantar mek pulang. Seterusnya kami ke pasar raya DZ untuk berbelanja sedikit sebanyak pada hujung minggu begini.

Tiba di rumah, jam sudah 11 pagi. Saya mahu berehat sebentar sebelum acara masak memasak pula. Dan rehat saya tentunya dengan tidur.

Jam 1 tengah hari, suami saya ke masjid dan saya ke dapur. Dalam suasana panas membahang ini sempat jua saya siapkan tom yam, ikan goreng dan telur goreng. Ringkas tapi sedap!

Usai solat Zohor, saya tidur lagi sehingga ke 4.30 petang. Kali ini saya perlu bangkit untuk bersiap-siap ke Meranti pula. Saya tidak sabar untuk menatap dan memangku anak saudara baru saya yang sudah berusia empat hari itu.

Kami berada di sana sehingga jam 6.30 petang. 

Malam ini, suami saya keluar bertemu rakan lamanya dan saya melayan diri sendiri di rumah. Tenang sungguh sendirian begini. Apatah lagi apabila tidak perlu memasak. Saya hanya menghabiskan nasi dan lauk tengah hari tadi sebagai makan malam saya.

Alhamdulillah. 



Sent from Samsung Mobile

Tuesday, April 19, 2016

Penyaman Udara

Cuaca sebegini panas, Tuhan jua yang tahu betapa ia amat menyengat. Persekitaran di sekolah tidak langsung memberi rasa yang selesa. Kelas panas. Bilik guru panas. Bilik peperiksaan panas. Yang sejuk dilimpahi bayu penyaman udara cumalah di pejabat dan di perpustakaan. Tiba-tiba saya terasa mahu menjadi pembantu tadbir pula! 

Apabila pulang ke rumah, menghempas diri ke katil amat melegakan tetapi penyaman udara bilik ini tidak begitu menjadi. Sudah diatur ke suhu 16 darjah dengan kelajuan kipas maksimum tetapi peluh masih mengalir di tengkuk. Aduhai! Terasa mahu saja membeli penyaman udara baru, tetapi kata suami saya penyaman udara ini masih lagi baru!

Sengsara juga ya berpanas siang malam begini. Benar ini ujian Tuhan tetapi kita boleh sahaja mencari jalan tanpa perlu menyeksa diri kan?

Sabtu lalu, suami saya mengupah tukang untuk menservis penyaman udara kami itu. Alhamdulillah, baru terasa nikmatnya sejuk apabila sudah dibersih dan ditambah gas kepada penyaman udara kami yang sudah berusia hampir lima tahun itu.

Semoga penyaman udara Mitsubishi ini mampu berkhidmat untuk beberapa tahun lagi. In Shaa Allah.

Sunday, April 17, 2016

Sebak

Usai berdoa, saya menangis. Tiba-tiba ada rindu yang mengetuk pintu hati. Wajah demi wajah hadir membayangi ruang mata saya. Wajah-wajah yang saya rindu, yang saya mahu bertemu dan berbicara. Wajah-wajah itu. Yang telah tiada. 

Ayah.
Bonda Asma'.

Mereka sudah tiada di sisi saya. Tetapi jasa mereka kepada saya tidak pernah saya lupa. Akan saya bawa ke mana-mana sampailah nanti saya juga akan tiba ke tempat mereka.

Wajah-wajah lain juga turut menyapa, menambah air mata yang belum sempat saya seka.

Emak.
Adik beradik.
Anak-anak saudara.

Mereka masih menghuni alam dunia tetapi masa saya untuk bersama mereka sentiasa terhad. Sibuk mungkin tidak, tetapi ruang sentiasa sukar buat saya ke sana. Alangkah ruginya saya!

Rindu ini akan terus bertingkah dalam jiwa. Rindu yang datang pada saat saya sepi menyendiri seperti waktu ini. Waktu suami saya keluar ke masjid Maghrib dan Isya'. Saya akan melayan rindu dan sepi ini sendiri-sendiri. Walau sebak, saya sangat menghargai dan menikmatinya.

Semoga ada nanti ubatnya buat rindu yang tidak bertepi ini.




Sent from Samsung Mobile

Wednesday, April 06, 2016

Tekanan

Saya melangkah lagi ke klinik Pakar O&G HUSM untuk kali yang entah keberapa petang semalam. Jam dua petang saya menanti dengan penuh setia angka giliran saya dipanggil. Ada sedikit bosan bertingkah dalam jiwa tetapi saya abaikan sahaja. Ini bahagian saya di dunia. Bahagian orang lain tidak saya rasa, jadi biarlah bahagian saya ini memberi nilai yang boleh saya bawa pulang ke sana nanti. Positif. Dan optimis. Tanpa pesimis.

Tuhan, aku hanya ada Engkau.

Sekitar jam 2.30 nombor saya bergema. Segera saya ke Bilik 1 dan doktor yang sedang menanti saya memberi senyuman manis menyambut salam saya. Doktor-doktor di sini manis-manis dan mesra-mesra belaka. Suka sungguh saya dilayan dengan penuh perhatian begini. 

Sedikit sejarah perubatan saya dikongsi. Doktor meneliti satu persatu rekod pembedahan dan rawatan yang pernah saya jalani sambil bertanya masalah terkini yang saya hadapi. Tenang saya bercerita dan tekun dia mendengar. Pembantunya lantas mengambil bacaan tekanan darah saya.

184/100.

Doktor terkejut. Saya juga. Ini sungguh di luar jangka. Tidak pernah saya mencapai bacaan setinggi ini walaupun saya sememangnya pengidap darah tinggi! Doktor sekali lagi mengambil tekanan darah tinggi saya secara manual dan bacaannya 170/100.

Daripada masalah sakit puan saya, beliau mula bimbang dengan masalah tekanan darah tinggi saya pula. Segera beliau meminta pembantunya itu membawa pil (yang saya tidak ingat namanya) dan secawan air untuk saya. Pil untuk menurunkan segera bacaan tekanan darah saya.

Sementara menanti pil itu berkesan, saya dibawa ke bilik scan untuk diimbas. Kelihatannya fibroid dan cyst saya masih kekal seperti saiz empat bulan lalu, saiz kandungan lapan belas minggu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Alhamdulillah.

Saya kembali ke bilik doktor sejam kemudian. Kali ini beliau mengharapkan tekanan darah saya sudah menurun tetapi ia tidak begitu. Masih pada bacaan yang hampir sama dan katanya, pelik! Hampir dia mahu menghantar saya ke wad tetapi dek air muka saya yang seperti tidak mahu dengan sedikit jeritan kecil "hah?" yang terlantun tiba-tiba, dia tidak jadi.

Saya seperti hilang rasa. Tidak tahu apa yang sedang berada dalam jiwa. Saya tidak sedih, saya tidak bimbang, juga tidak takut. Saya tidak apa-apa. Aduhai!

Sebelum temujanji saya selesai, doktor yang manis itu meminta saya berjanji untuk membuat pemeriksaan tekanan darah saya ini di mana-mana klinik dengan segera. Dia mahu saya meminta doktor menambah dos Amlodipine saya dari 5mg ke 10mg. Dia risau risiko strok yang boleh terjadi pada bila-bila masa.

Ya, saya akur.

Usai Maghrib malam tadi, suami membawa saya ke Klinik Ikhtiar untuk pemeriksaan darah tinggi saya. Kali ini bacaannya normal. 139/94. Kata doktor, teruskan sahaja dengan Amlodipine 5mg. tidak perlu ditambah.

Ada lega bersarang dalam hati.  Tetapi doktor, kenapa tadi tinggi sangat bacaannya? 

Oh. Bacaan tekanan darah sememangnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Mengambil bacaan tekanan darah pada waktu tengah hari akan memberi bacaan yang lebih tinggi atas faktor-faktor suhu, kadar metabolisma dan stress. Sebab itu untuk bacaan yang tepat, tidak sesuai diambil pada jam 1.00 hingga 4.00 petang. Begitu katanya.

Saya mengangguk faham. Memang saya agak stress tadi. Suhu juga panas amat dan kebetulan saya baru selesai makan tengah hari sewaktu bacaan tekanan darah itu diambil. Saya menyimpulkan begitu.

Lalu, untuk hari-hari seterusnya saya berazam untuk mengurangkan stress yang ada dalam diri dengan pelbagai cara. Memang sukar kerana tekanan ini berada di mana-mana. Di sekolah saya tertekan dengan pelbagai perkara yang datang berbondong-bondong mahu diuruskan segera tanpa simpati. Mana analisis? Mana carta? Mana bahan kelab Pengguna? Mana Headcount? Mana ? Mana? Mana?

Di rumah, saya serabut dengan pelbagai kerja yang tidak saya suka. Memasak. Menggosok. Melipat kain. Mengemas. Mahu berkongsi kerja tidak mungkin, berkongsi rasa pun dengan siapa? Silap bicara, salahnya di pihak kita juga!

 Lalu adakah mungkin tekanan itu hilang begitu sahaja?

Ya. Apabila saya mati nanti.