Wednesday, April 06, 2016

Tekanan

Saya melangkah lagi ke klinik Pakar O&G HUSM untuk kali yang entah keberapa petang semalam. Jam dua petang saya menanti dengan penuh setia angka giliran saya dipanggil. Ada sedikit bosan bertingkah dalam jiwa tetapi saya abaikan sahaja. Ini bahagian saya di dunia. Bahagian orang lain tidak saya rasa, jadi biarlah bahagian saya ini memberi nilai yang boleh saya bawa pulang ke sana nanti. Positif. Dan optimis. Tanpa pesimis.

Tuhan, aku hanya ada Engkau.

Sekitar jam 2.30 nombor saya bergema. Segera saya ke Bilik 1 dan doktor yang sedang menanti saya memberi senyuman manis menyambut salam saya. Doktor-doktor di sini manis-manis dan mesra-mesra belaka. Suka sungguh saya dilayan dengan penuh perhatian begini. 

Sedikit sejarah perubatan saya dikongsi. Doktor meneliti satu persatu rekod pembedahan dan rawatan yang pernah saya jalani sambil bertanya masalah terkini yang saya hadapi. Tenang saya bercerita dan tekun dia mendengar. Pembantunya lantas mengambil bacaan tekanan darah saya.

184/100.

Doktor terkejut. Saya juga. Ini sungguh di luar jangka. Tidak pernah saya mencapai bacaan setinggi ini walaupun saya sememangnya pengidap darah tinggi! Doktor sekali lagi mengambil tekanan darah tinggi saya secara manual dan bacaannya 170/100.

Daripada masalah sakit puan saya, beliau mula bimbang dengan masalah tekanan darah tinggi saya pula. Segera beliau meminta pembantunya itu membawa pil (yang saya tidak ingat namanya) dan secawan air untuk saya. Pil untuk menurunkan segera bacaan tekanan darah saya.

Sementara menanti pil itu berkesan, saya dibawa ke bilik scan untuk diimbas. Kelihatannya fibroid dan cyst saya masih kekal seperti saiz empat bulan lalu, saiz kandungan lapan belas minggu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Alhamdulillah.

Saya kembali ke bilik doktor sejam kemudian. Kali ini beliau mengharapkan tekanan darah saya sudah menurun tetapi ia tidak begitu. Masih pada bacaan yang hampir sama dan katanya, pelik! Hampir dia mahu menghantar saya ke wad tetapi dek air muka saya yang seperti tidak mahu dengan sedikit jeritan kecil "hah?" yang terlantun tiba-tiba, dia tidak jadi.

Saya seperti hilang rasa. Tidak tahu apa yang sedang berada dalam jiwa. Saya tidak sedih, saya tidak bimbang, juga tidak takut. Saya tidak apa-apa. Aduhai!

Sebelum temujanji saya selesai, doktor yang manis itu meminta saya berjanji untuk membuat pemeriksaan tekanan darah saya ini di mana-mana klinik dengan segera. Dia mahu saya meminta doktor menambah dos Amlodipine saya dari 5mg ke 10mg. Dia risau risiko strok yang boleh terjadi pada bila-bila masa.

Ya, saya akur.

Usai Maghrib malam tadi, suami membawa saya ke Klinik Ikhtiar untuk pemeriksaan darah tinggi saya. Kali ini bacaannya normal. 139/94. Kata doktor, teruskan sahaja dengan Amlodipine 5mg. tidak perlu ditambah.

Ada lega bersarang dalam hati.  Tetapi doktor, kenapa tadi tinggi sangat bacaannya? 

Oh. Bacaan tekanan darah sememangnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Mengambil bacaan tekanan darah pada waktu tengah hari akan memberi bacaan yang lebih tinggi atas faktor-faktor suhu, kadar metabolisma dan stress. Sebab itu untuk bacaan yang tepat, tidak sesuai diambil pada jam 1.00 hingga 4.00 petang. Begitu katanya.

Saya mengangguk faham. Memang saya agak stress tadi. Suhu juga panas amat dan kebetulan saya baru selesai makan tengah hari sewaktu bacaan tekanan darah itu diambil. Saya menyimpulkan begitu.

Lalu, untuk hari-hari seterusnya saya berazam untuk mengurangkan stress yang ada dalam diri dengan pelbagai cara. Memang sukar kerana tekanan ini berada di mana-mana. Di sekolah saya tertekan dengan pelbagai perkara yang datang berbondong-bondong mahu diuruskan segera tanpa simpati. Mana analisis? Mana carta? Mana bahan kelab Pengguna? Mana Headcount? Mana ? Mana? Mana?

Di rumah, saya serabut dengan pelbagai kerja yang tidak saya suka. Memasak. Menggosok. Melipat kain. Mengemas. Mahu berkongsi kerja tidak mungkin, berkongsi rasa pun dengan siapa? Silap bicara, salahnya di pihak kita juga!

 Lalu adakah mungkin tekanan itu hilang begitu sahaja?

Ya. Apabila saya mati nanti.

No comments:

Post a Comment