Sunday, April 17, 2016

Sebak

Usai berdoa, saya menangis. Tiba-tiba ada rindu yang mengetuk pintu hati. Wajah demi wajah hadir membayangi ruang mata saya. Wajah-wajah yang saya rindu, yang saya mahu bertemu dan berbicara. Wajah-wajah itu. Yang telah tiada. 

Ayah.
Bonda Asma'.

Mereka sudah tiada di sisi saya. Tetapi jasa mereka kepada saya tidak pernah saya lupa. Akan saya bawa ke mana-mana sampailah nanti saya juga akan tiba ke tempat mereka.

Wajah-wajah lain juga turut menyapa, menambah air mata yang belum sempat saya seka.

Emak.
Adik beradik.
Anak-anak saudara.

Mereka masih menghuni alam dunia tetapi masa saya untuk bersama mereka sentiasa terhad. Sibuk mungkin tidak, tetapi ruang sentiasa sukar buat saya ke sana. Alangkah ruginya saya!

Rindu ini akan terus bertingkah dalam jiwa. Rindu yang datang pada saat saya sepi menyendiri seperti waktu ini. Waktu suami saya keluar ke masjid Maghrib dan Isya'. Saya akan melayan rindu dan sepi ini sendiri-sendiri. Walau sebak, saya sangat menghargai dan menikmatinya.

Semoga ada nanti ubatnya buat rindu yang tidak bertepi ini.




Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment