Friday, April 29, 2016

Kanak-kanak

Kecil dahulu, saya selalu tidak sabar untuk menjadi dewasa. Lambat benar masa berlalu sedang saya sudah tertunggu-tunggu untuk berbuat perkara yang seorang kanak-kanak tidak mampu melakukannya. Banyak. Daripada sekecil perkara seperti membuka selak pintu rumah tanpa perlu naik atas kerusi hinggalah ke sebesar perkara seperti membeli kereta dan rumah sendiri! 

Apa tidaknya, kanak-kanak sering ditegah itu ini sehingga terdetik dalam hati, bila besar nanti saya nak buat itu, nak buat ini. Bila disuruh sesuatu yang tidak digemari pun sama juga. Contoh apabila emak meminta menolongnya di dapur atau mengemas rumah. Dalam hati akan berkata, bila besar nanti saya akan ada orang gaji dan saya tak perlu buat semua ini.

Begitulah kanak-kanak berimaginasi. Paling seronok bila saya berkesempatan bermain di sebuah stor kayu usang di hadapan rumah lama dulu, saya menyusun kayu-kayu kecil itu membentuk pelan rumah yang saya mahu. Lalu saya mula mencipta angan-angan berada di rumah idaman saya itu.

Indah bila dikenang kembali zaman itu. Tanpa gajet, dan tv hanya bermula pada jam 5 petang. Seharian hanyalah bermain dan berimaginasi tanpa batas. Cerita kartun di tv bukanlah keutamaan walaupun sesekali saya menonton juga ultraman, sinbad the sailor dan kapten future. 

Kini saat dewasa terasa mahu kembali semula ke situ. Waktu diri suci tanpa dosa. Waktu fikiran masih belum ternoda. Semuanya terjaga rapi dalm kasih sayang ibu dan ayah.

Semoga bahagia sebegitu kembali lagi di syurga nanti.





Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment