Onak dan liku dalam hidup yang perlu kita lalui sesungguhnya tidak pernah kita tahu bagaimana rupa dan di mana ia berada. Laluan di hadapan sana adalah rahsia yang tidak akan terbongkar selagi kita tidak sampai padanya.
Begitu kehidupan, dari segalanya - perkahwinan atau pekerjaan. Siapa pun tidak mampu meneka cerita bagaimanakah akan bertingkah seiring waktu melangkah. Hanya doa dan harapan agar masing-masing boleh berkira bicara dan ada hemah dalam menangani segala kesulitan.
Bahagia itu cukup abstrak dan subjektif sifatnya. Dalam segala kesempurnaan yang cuba ditampilkan pun tetap kita masih mahu memikir yang di luar jangkauan. Jika begitu, alangkah! Jika begini, cerialah! Sedang apa yang Tuhan beri itu selalu kita lupa hikmahnya.
Menjadi seorang hamba di muka bumi ini yang perjalanan hidup kita adalah menuju mati, setiap perkara mesti diambilkira sebagai satu kebajikan atau hanya sia-sia. Semoga matlamat yang kita bina untuk bahagia di syurga sana sedang kita caturi dengan penuh tekun dan berpandu. Syukuri segala anugerah biar dalam bentuk apa pun ia tiba kerana Allah tahu apa yang sebaiknya untuk kita. Ujian pun anugerah juga. Di situ nilai positif berada.
Dan redha Allah tetap yang paling utama.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment