Sudah lapan belas tahun saya merawat penyakit yang sedang saya lalui ini. Lapan belas tahun ia masih belum mahu sembuh. Saya tidak pernah putus asa, jika pun ia tidak mahu sembuh saya tetap akan meneruskan usaha demi sebuah kelangsungan hidup di dunia.
Endometriosis.
Pada awal dulu, saya lalui pembedahan demi pembedahan. Kini saya bergantung pada ubat-ubatan pula.
5 April lalu, doktor pakar menyarankan saya mencuba ubat baru untuk penyakit saya ini. Sejak 2014 saya mengambil suntikan depo-provera setiap dua bulan sekali untuk menghentikan pendarahan saya, tetapi sekali sekala ia berlaku juga. Lalu doktor mahu saya memulakan pengambilan Tablet Visanne 2mg. Katanya, ia lebih khusus untuk endometriosis.
Pun, tablet itu tidak diberi percuma. Saya perlu membelinya di klinik dengan harga RM152 untuk penggunaan selama 28 hari. Dan saya perlu meneruskannya sehingga diberitahu nanti.
Saya akur. Jika inilah jalannya, saya tidak akan menolak. Saya berusaha dan Tuhan tahu itu.
Hari ini sudah sebelas hari saya melalui hari-hari bersama pil hormon Visanne itu. Saya berdoa agar penyakit saya ini tidak akan menjadi semakin parah walaupun peluang untuk sembuh itu hampir tiada.
Segala-galanya dari Allah. Saya wajib redha.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment