Friday, April 22, 2016

Di Sini

Jumaat tiba lagi dan seperti selalu saya mahu menikmatinya sepenuh hati. 

Jika dua Jumaat lepas saya perlu hadir ke sekolah untuk kelas Matematik Tambahan tingkatan lima, Jumaat hari ini saya percumakan diri. 

Seawal jam sembilan pagi saya dan suami bergerak keluar dari rumah menuju ke kampung halaman kami di seberang jalan sana. Rumah emak tempat pertama kami singgah. Khabarnya emak demam. Saya mengajaknya ke klinik tetapi katanya demam sedikit sahaja. Harap-harap tidak melarat kerana emak mahu pulang ke Golok dengan Ismah tengah hari nanti.

Tidak lama di situ kerana saya perlu memenuhi janji dengan mek pula untuk membawanya ke klinik. Mek pening dan sakit kepala. Kebetulan ubat darah tingginya juga sudah kehabisan.

Klinik Ikhtiar di Wakaf Che Yeh yang kami tuju lengang sahaja, tiada pesakit. Mek menjadi satu-satunya pesakit dan kami tidak perlu menunggu lama.

Selsai urusan di situ, kami menghantar mek pulang. Seterusnya kami ke pasar raya DZ untuk berbelanja sedikit sebanyak pada hujung minggu begini.

Tiba di rumah, jam sudah 11 pagi. Saya mahu berehat sebentar sebelum acara masak memasak pula. Dan rehat saya tentunya dengan tidur.

Jam 1 tengah hari, suami saya ke masjid dan saya ke dapur. Dalam suasana panas membahang ini sempat jua saya siapkan tom yam, ikan goreng dan telur goreng. Ringkas tapi sedap!

Usai solat Zohor, saya tidur lagi sehingga ke 4.30 petang. Kali ini saya perlu bangkit untuk bersiap-siap ke Meranti pula. Saya tidak sabar untuk menatap dan memangku anak saudara baru saya yang sudah berusia empat hari itu.

Kami berada di sana sehingga jam 6.30 petang. 

Malam ini, suami saya keluar bertemu rakan lamanya dan saya melayan diri sendiri di rumah. Tenang sungguh sendirian begini. Apatah lagi apabila tidak perlu memasak. Saya hanya menghabiskan nasi dan lauk tengah hari tadi sebagai makan malam saya.

Alhamdulillah. 



Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment