Tuesday, August 14, 2018

Tok Guru



"Anak-anak, sila buka muka surat 112. Hari ini kita akan belajar macam mana mencari median daripada ogif. Semua dah bersedia ke?"

"Sudah!"

Begitu saya memulakan pengajaran untuk tajuk Statistik di Tingkatan 4 Ibnu Khaldun semalam. Masa yang cuma tiga puluh minit itu sudah hilang hampir lima minit kerana anak-anak saya itu suka benar masuk lambat selepas rehat. Leteran saya mengambil tempat set induksi. Kata saya, jika mahu rehat yang lama, pergilah ke sekolah di Finland sana. Rehatnya 75 minit.

"Ya cikgu?"

"Eh, Finland tu kat mana cikgu?"

" Awak Google lah sendiri!"

Mereka menyelak halaman yang saya nyatakan. Buku kerja itu memang sudah sedia ada contoh dan beberapa soalan latihan yang sudah pun diberi ruang untuk melukis graf. Senang kerja saya. Jika meminta mereka membawa kertas graf sendiri, tentunya hampir separuh kelas akan kena denda.

"Hari ini cikgu nak mengajar stail tok guru mengajar kitab. Cikgu nak duduk je kat kerusi ni dan awak kena dengar baik-baik. Boleh?"

"Boleh cikgu!"

Untung anak-anak kelas ini sangat baik dan mendengar kata. Mereka cuma lima belas orang, dan setia berada di tempat duduk masing-masing sambil bersedia untuk menerima pengajaran saya.

Saya meneruskan dengan membacakan contoh dan mereka merujuk buku kerja. Tajuk ini mudah, tentulah saya tiada masalah untuk cuma bercakap tanpa menulis. Selesai membentangkan contoh, saya meminta mereka menjawab soalan pula. Membina jadual kekerapan, melukis ogif dan mencari median. Dalam masa yang bersisa tidak sampai dua puluh minit itu, mereka tekun menyiapkan tugasan dan dapat menjawab dengan baik dua soalan yang ada. Bukanlah saya tidak menulis langsung, saya tunjukkan juga bentuk ogif yang patut mereka peroleh di papan putih. Mereka juga tidaklah statik di tempat masing-masing. Mereka datang ke meja saya untuk bertanya dan menunjukkan graf yang mereka lukis.

Rasa seperti saya berjaya. Kenapa? Kerana pengajaran saya seperti ini adalah berbentuk kuno, bukan abad 21 tetapi mereka sangat faham dan boleh menyelesaikan masalah dengan baik. Bukankah ini kejayaan namanya?

Lalu saya terfikir, kenapalah pengajaran abad 21 ditekankan sebegitu rupa, pada hal mengajar cara saya ini cukup memberi impak yang maksimum jika mereka memberi fokus tanpa jemu. Pada saya, jika mereka mahu, gunalah kaedah pengajaran mana pun tentu mereka akan faham. Yang menjadi masalah ialah apabila mereka tidak mahu!

Sekadar pandangan picisan daripada seorang cikgu Matematik yang kuno.



No comments:

Post a Comment