Thursday, August 09, 2018

Setia

Saya mula mengenali Ustaz Hasrizal Abdul Jamil melalui tulisannya dalam Majalah i sekitar 2005 - 2007. Membaca tulisannya, seperti ada satu magnet yang membuat saya melekat dan mahu terus membaca. Pada kebanyakan masa, saya tidak puas dan mahu lebih lagi. Begitu Majalah i berada di tangan saya, kolumn beliaulah yang pertama saya layani.

Dari majalah, saya beralih ke blog beliau - Saifulislam.Com. Seringkali tulisannya menjadi rujukan saya dalam banyak perkara. Setiap idea dan buah fikirnya seperti sesuatu yang bernas dan menepati situasi. Dan apabila beliau menulis buku, saya tidak pernah ragu membeli. Bermula dengan Aku Terima Nikahnya, dan berterusan sehinggalah yang terbaharu naskhah Setia Dengan Kebenaran menjadi koleksi yang sangat saya sayangi.

Sebenarnya saya secara tidak langsung menjadikan ustaz Hasrizal sebagai tempat rujukan apabila ada kekeliruan. Seperti pada PRU14 yang baru lalu, saya sebenarnya keliru untuk memilih. Semuanya tidak jelas dan saya seperti mahu berkecuali. Tetapi memikirkan negara Malaysia yang saya cintai sepenuh hati ini, saya perlu dan wajib mencari maklumat. Tentulah tulisan beliau yang pertama saya cari. Saya belek kembali artikel-artikel dalam blog beliau sejak bertahun dan cuba mencerna sebaik mungkin di samping membaca juga tulisan-tulisan generasi baru di Facebook. Akhirnya saya pasti dengan pilihan saya tanpa sebarang keraguan lagi.

Begitu pengaruh Ustaz dalam hidup saya.

Setia Dengan Kebenaran masih baru saya tatap, belum pun separuh membacanya. Pun saya tidak sabar-sabar untuk menyelesaikannya malam nanti. Mencari waktu untuk membaca kelihatan sedikit sukar mutakhir ini. Apabila di rumah, saya perlu bersendirian baru seronok untuk membaca. Tetapi seringkali waktu sendirian saya terisi dengan tugas-tugas suri rumah yang tidak pernah mahu habis. Selesai semuanya, saya akan penat dan tertidur. Jika suami ada di sisi, tidak manis pula saya menghadap buku dan membiarkan dia keseorangan tanpa teman bicara. Apatah lagi suami saya seorang yang suka bercerita.

Malam ini in shaa Allah waktu itu ada. Sementelah esok Jumaat, saya tidak perlu menggosok pakaian kerja jadi ruang itu boleh saya gunakan untuk membaca. Kemungkinan besar juga ada majlis tahlil yang akan suami saya hadiri jadi saya tidak perlu memasak. Masa untuk membaca pun bertambah.

Harapnya begitulah. Harapnya saya boleh menghabiskan buku ini malam nanti. In shaa Allah.

No comments:

Post a Comment