Baru sebentar tadi saya selesai membaca coretan pengalaman seorang jemaah haji pada tahun lepas. Sungguh ia amat berbeza daripada apa yang saya lalui pada lapan tahun dahulu.
Memanglah setiap pengalaman insan yang yang melaksanakan ibadah haji tidak sama - bergantung suasana, musim dan usia. Syukurlah saya sebanyak-banyaknya kepada Allah yang maha mulia kerana mengizinkan saya menunaikan haji pada usia yang masih kuat dan sihat, juga pada musim yang tidak terlalu panas.
Di Arafah, angin yang menghembus di luar khemah nyaman sungguh. Saya lebih suka berada di luar khemah kerana ia lebih sejuk. Kepadatan dalam khemah juga biasa-biasa sahaja, dan ruang untuk berbaring sentiasa ada.
Membaca coretan saudara saya itu, cuaca di Arafah pada tahun lepas panas menyengat, dan kepadatan khemah sangat luar biasa. Dia dan suami memilih untuk mencari ruang di luar khemah walaupun dalam kepanasan. Dia terpaksa menggunakan kipas bateri dan menyapu badan dengan ketulan ais untuk mengelak panas terlampau.
Di Muzdalifah katanya, ada jemaah yang pengsan dan meracau-racau kerana cuaca panas walaupun malam. Suhu mencecah 46 darjah dan padat pula dengan manusia yang ramai.
Saya dahulu, tiba di muzdalifah sekitar jam 10 malam dan dapat berbaring dengan selesa walaupun tidak lena kerana kepala saya sakit sedikit. Angin malam dingin dan tidak terlalu sejuk, sedang-sedang elok sahaja. Keramaian manusia memang tidak dapat dielakkan tetapi tidaklah sehingga kami kelemasan. Alhamdulillah.
Di Mina, khemah kami berpendingin hawa dan sejuknya mencengkam. Ulang alik ke jamrah juga tidak sedikit pun memenatkan kerana jarak 7 km pergi balik itu tidak langsung terasa. Berjalan beriringan dengan suami sebenarnya sangat indah dan membahagiakan. Terasa selamat dan dilindungi. Saudara saya itu bercerita, dia dan suaminya pulang ke Mekah kerana tidak begitu selesa di khemah yang padat. Mereka berulang dari Mekah-Mina sejauh 10 km selama beberapa hari. Allahu!
Begitu aturan Tuhan. Setiap yang diberi adalah ujian dan setiap ujian yang berjaya dilalui tanpa keluh kesah tentulah ada ganjarannya. Ujian pula berbeza-beza, dan Allah jua maha mengetahui hikmahnya.
Apa yang boleh diambil pengajaran ialah, apa pun ujian, terimalaj sebagai suatu kesempatan untuk mengumpul pahala. Semoga ibadah haji kita diterima Allah. Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment