Monday, August 06, 2018

Corat Coret

Sepulang dari bercuti Sabtu itu, jiwa saya kering. Melihat rumah yang kacau bilau, kain baju yang memenuhi bakul - yang kotor belum berbasuh, yang kering belum berlipat, yang mahu dipakai belum bergosok - saya biarkan sahaja. Betapa kemalasan sudah mula menguasai.

Ternampak barisan buku-buku baru yang belum berbaca di meja saya, terliur juga mahu menelaah. Tetapi setiap kali mahu menjamah, akan datanglah suara-suara mengingatkan kerja-kerja yang belum sudah itu. Lalu saya tega tidak melakukan apa-apa.

Mengapa ya, hati selalu mengharap pada perkara yang tidak mungkin?

Maafkanlah. Tetapi begitulah.

Hari ini sudah Isnin. Kisah semalam sudah berlalu. Bangkitlah wahai diri, mencari warna-warna indah. Abaikan setiap aura negatif dalam diri. 

Sebenarnya jadual saya hari ini padat. Bermula 9.40 sehingga 10.40 saya ke kelas 5 Ibnu Haitam. Jam 11.10 sehingga 11.40 ke kelas 4 Ibnu Khaldun pula. Dan sepatutnya jam 12.10 sehingga 2.10 petang saya perlu mengajar 5 Ibnu Rushd dan 5 Ibnu Sina. Untungnya kedua-dua kelas itu berbengkel Biologi hari ini dan masa saya menjadi percuma.

Jika difikirkan kerja, ada berbondong-bondong. Sijil penceramah, RPH, tapak analisis PT3, dan melengkapkan borang ECER. Tetapi jiwa masih kering. Ditemani suara merdu M Nasir mengalunkan Suatu Masa pada laptop ini, saya menulis hantaran ini. Bilik ini sepi sebenarnya dan saya suka bersepi-sepi. Sebentar lagi bila ada rakan guru yang datang untuk berbual-bual, sepi akan hilang dari saya. Biar saya manfaatkan sepi ini seketika.

Rindu pula pada emak dan adik-adik. Terasa lama benar tidak bermesra-mesraan. Semoga Allah sedang menjaga mereka dengan sebaik jagaan. Saya mahu sahaja ke rumah emak tetapi kesempatan tiada. Jika hujung minggu diisi dengan bercuti, ruang itu akan hilang. Sebab itu saya malas benar bercuti ke mana-mana kerana bahagia saya ada di sisi keluarga.

Cukuplah dahulu. Jumpa lagi nanti.

No comments:

Post a Comment