Tidak tahu mahu gambarkan bagaimana, apabila adik bongsu kami disunting orang. Asasnya, tentulah hati berbunga bahagia kerana adik comel ini akan meniti hidup berumah tangga di sisi suami tercinta.
Segala persiapan dirancang dan disediakan demi memastikan semuanya berlangsung sempurna. Emak dalam kelam kabut dan resah risaunya, tetap kuat dan tabah memastikan rumah tersusun dan terhias indah, hidangan ditempah sebaiknya dan jemputan dipanggil seadanya.
Kami teruja sebenarnya. Apatah lagi ini yang penghabisan. Selepas ini tidak akan ada majlis walimah lagi dan emak boleh berehat dan bernafas lega. Lapan orang anak emak masing-masing sudah punya keluarga. Emak tidak risau apa-apa lagi.
Pun apabila tiba harinya, ada juga sayu di hati. Adik yang kami tatang ini sudah berpindah ke tangan orang. Sudah menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Kami mengirim doa setiap masa agar rumah tangga adik kesayangan kami ini dilindungi dan diberkati.
Selamat menempuh alam baru dik. Tenang-tenanglah, hadapilah setiap cabaran dengan jiwa waja dan berbahagialah dengan setiap anugerah yang diterima.
Kami tidak akan berhenti berdoa.
Terima kasih kak ti. Dikdah sayang kak ti 💙💙💙
ReplyDelete