Sedikit geram saya tadi. Kisahnya apabila seorang ustazah mengulang tanya apa pentingnya belajar Matematik yang susah-susah pada hal dalam kehidupan seharian tidak digunakan pun. Kalkulator juga yang ditekan apabila mengira.
Pada kali pertama dia bertanya, saya enggan kisah. Tapi bila dia mengulang, tentunya dia mahukan peneguhan. Isu ini timbul apabila sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah yang terbaru ini ditinggikan arasnya. Anak-anak mula kalut tidak faham konsep dan tidak tahu menyelesaikan.
Benarlah, saya juga hairan kenapa sukatan terkini ini disusahkan begitu sekali. Hilang sudah keseronokan anak-anak kecil menjalani hidup apabila disumbat dengan pelajaran berat sebegini. Tidak dipeduli, nanti ketinggalan. Mahu ditekan nanti terganggu mental pula.
Berbalik kepada soalan ustazah itu tadi, jujurnya saya sudah jemu dengan pemikiran sebegini. Mereka membeza-bezakan ilmu Tuhan hanya kerana mereka tidak mampu menguasainya. Sangat jelek. Dan persoalan sebegitu wujud begitu subur dalam minda orang kita. Melayu. Islam.
Sebab itulah segala kehebatan sains dan teknologi pada masa kini terhasil dari tangan orang bukan Islam. Orang kafir. Terciptanya GPS, yang memudahkan perjalanan adalah daripada orang kafir. Kereta, kapal terbang, media sosial, internet, sistem perbankan atas talian dan segalanya, cuba sebut mana yang dihasilkan oleh orang Islam?
Tiada.
Kerana ilmu bagi orang Islam ialah yang berkaitan dengan pengajian pondok, sekolah tahfiz dan yang seumpamanya. Yang nanti boleh melahirkan imam dan ulama. Dan tentunya mengheret ibu bapa mereka ke syurga. Sejukkan perut ibu?
Saya bukan melekehkan mana-mana institusi pengajian. Belajarlah ilmu apa sahaja yang anda mahu, atas minat dan kecenderungan sendiri, tetapi tolong jangan memandang ilmu yang tidak seperti ilmu agama itu sesuatu yang kesamping. Tidak utama. Sedangkan setiap perkara dalam hidup perlu ada keseimbangan.
Kepada ustazah itu, saya menjawab begini.
Dik, memanglah dalam kehidupan seharian tiada trigonometri, tiada kalkulus. Itu hanya penting jika mahu menjadi jurutera, angkasawan atau pencipta mesin-mesin baru. Tetapi percayalah, belajar Matematik ini amat mementingkan logik, kesabaran dan kemahiran berfikir. Seseorang yang bijak Matematik sebenarnya hebat dalam mencari penyelesaian masalah, dan logik dalam menaakul keputusan. Dengan kebolehan itu, mereka lebih mudah mempelajari ilmu-ilmu lain kerana minda mereka terasuh dengan berkesan. Umumnya, seorang pelajar yang bijak Matematik akan bijak mata pelajaran lain tetapi pelajar yang bijak mata pelajaran lain tidak semestinya bijak matematik.
Cukuplah jawapan itu untuk dia.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment