Setiap tahun pun tidak pernah gagal sekolah kami menganjurkan Kem Kecemerlangan Akademik untuk pelajar-pelajar Tingkatan lima yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi.
Objektif kem sebegini tentunya untuk memberi input tentang format soalan, kaedah menjawab dan teknik pemarkahan. Penceramah yang dijemput terdiri daripada guru-guru yang kaya pengalaman dalam pemeriksaan kertas SPM. Perkongsian mereka amat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar kami yang sangat cetek pengetahuan dalam kaedah menjawab.
Kem berlangsung dari 12 Ogos sehingga 14 Ogos dan bertempat di IPG Kampus Kota Bharu. Senarai AJK dan guru bertugas diedarkan lebih awal untuk membolehkan kami merancang sebaiknya bagaimana untuk ke sana nanti.
Nama saya tertera pada dua tempat. Pertama sebagai penyedia sijil untuk penceramah dan guru dan yang kedua sebagai guru bertugas pada 13 Ogos dari jam dua petang sehingga sembilan malam. Saya akur menerima tanpa sedikit pun bangkangan.
Pada saya, apa sahaja tugasan yang diberi, saya akan pastikan untuk memenuhinya dengan sebaik yang boleh. Apa pun alasan, saya ketepikan dahulu kerana tugas ini adalah demi anak-anak yang saya kasihi. Cuma saya sedikit ralat kerana kem sebegini diadakan pada hari persekolahan, tidak seperti tahun-tahun sudah yang berlangsung pada hujung minggu. Ruginya ialah apabila sesi PdP saya bersama pelajar-pelajar saya terbuang begitu sahaja, sedangkan saya sangat mahukan ruang waktu bersama mereka pada saat-saat hampir peperiksaan ini.
Tidak mengapalah. Mungkin untuk tahun hadapan kem ini akan kembali berjalan pada hujung minggu. Harap begitulah.
Pada Isnin 13 Ogos itu, saya menumpang kak Rohana dan kami bertolak sekitar jam 12.45 tengah hari kerana slot Matematik Tambahan akan bermula pada jam 2.30 petang. Segalanya berlangsung baik sehinggalah kami menyedari yang kunci bilik rehat untuk guru bertugas telah dibawa pulang oleh guru yang bertugas sebelum kami, menyebabkan kami tidak dapat masuk berehat selepas tamat slot kami pada jam 5 petang.
Saya sedikit kesal, maklumlah dengan badan yang panas dan kepenatan alangkah nikmatnya jika boleh mandi dan berehat sementara menunggu acara malam nanti. Tetapi tidak mengapalah, kak Rohana mengajak saya keluar meronda-ronda dan menuju ke rumah adiknya di PCB. Walaupun keberatan, saya tiada pilihan.
Di rumah adik kak Rohana pun saya tidak mandi dan tidak berbaring. Bayangkan saya berpakaian yang sama sejak dari pagi tadi, dan penat pun usah cerita. Jam 8.15 malam baru kami keluar menuju kembali ke IPG untuk meneruskan tugas di sana. Mujur anak-anak pelajar itu sangat berdikari. Tanpa guru pun mereka tidak banyak karenah. Cikgu Marina, Cikgu Rasida dan Cikgu Rohani yang bertugas sesi malam sudah tiba lebih awal. Kunci bilik yang terbawa pulang juga sudah diserah kepada cikgu Rasida. Saya dan kak Rohana terus menuju ke dewan seminar untuk bersama anak-anak mengikuti slot Matematik pula.
Suami saya tiba untuk menjemput saya pulang pada jam 10.35 malam. Sebaik sampai di rumah, saya terus mandi dan tidur. Penat sungguh, dan esok kena kerja juga!
No comments:
Post a Comment