Wednesday, January 23, 2019

Peranti

Wanita yang bernama Noorhayati ini sesungguhnya dikurniakan keinginan terhadap peranti yang begitu tinggi. Seingat saya, sejak saya mengenali komputer saya selalu tidak sabar untuk menerokainya. Pertama kali menyentuh dan mengoperasi komputer pada 1985 di MRSM Terengganu semakin menjadikan saya tidak puas dan mahu yang lebih lagi. Sama sahaja apa-apa peranti pun, sama ada komputer, kamera, telefon, jam dan segalanya. 

Pada usia sekarang, saya masih gagal menyahkan perasaan itu. Jikalah saya ini menurut hati dan perasaan tentunya koleksi peranti saya tidak terhitung. Tentunya saya punya pelbagai jenama komputer, telefon dan kamera tetapi fikiran saya masih dalam kewarasan jadi daya mampu mengawal keinginan yang tidak perlu itu.

Pun yang terkini, saya telah dengan sengaja membeli telefon pintar di Lazada. Asalnya saya sangat mahukan Samsung Galaxy Note 9 tetapi entah kenapa saya rasa seperti harganya akan menyebabkan saya menyesal kerana jenama lain yang setara menawarkan harga yang jauh lebih murah. Demi memuaskan hati, saya menggelintar mencari maklumat dan saya bertemu peranti Asus Zenfone 5z yang spesifikasinya menghampiri Galaxy Note 9 tetapi ditawarkan pada haraga RM1999 sahaja.

Untung juga ada Lazada, saya boleh banding membanding dengan sepuasnya sebelum membuat pembelian. Alhamdulillah, LazMall memang tidak mengecewakan dan saya menerima telefon saya selepas dua hari membuat tempahan. Semuanya memuaskan hati, dengan keupayaan 8GB ROM dan 256GB RAM, saya tidak perlu tambahan SD Card lagi. 

Seronok rasanya, walaupun hati masih merindui Galaxy Note 9. Saya faham, mencintai tidak semestinya memiliki. Semoga peranti baru ini memberi khidmat terbaik untuk saya dan mampu memenuhi keinginan seorang penggila peranti.

Peranti = Gadget

Sunday, January 20, 2019

Harapan

Azam saya pada tahun 2019 ini ialah untuk mengurangkan rungutan dalam apa situasi sekali pun. Sebagai manusia normal, saya punya keinginan tersendiri dalam melalui kehidupan saya sebagai guru, sebagai isteri, sebagai anak dan sebagai wanita muslimah. Apa pun keinginan saya, semuanya tertakluk dalam landasan agama yang saya anuti, pekerjaan dan status saya iaitu Islam, guru dan isteri. 

Dalam melaksanakan tugas sebagai guru, saya tentunya mahukan tanggungjawab yang lebih ringan, tugasan yang kurang dan ruang yang lebih bebas. Itu harapan, sedang kenyataannya tentulah tidak langsung seperti itu. Di sinilah saya mahu mendidik diri untuk tidak merungut, sentiasa berfikiran positif dalam menerima tugasan dan cuba memberi yang sehabis baik.

Pada 2019 ini, tugasan yang diberi kepada saya kelihatan tidak berbeza dari tahun lepas dan tentunya ia sesuatu yang menggembirakan. Saya masih diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Setiausaha Jadual Ganti dan Setiausaha Peperiksaan bahagian Analisis dan Headcount. Itu dua tugas utama saya selain mengajar. Selebihnya saya memegang tugas sebagai guru penasihat Kelab Pengguna, guru penasihat Pengakap, guru penasihat PERTIMA, guru penasihat Rumah Biru, Setiausaha Panitia Matematik Tambahan, Guru Back-Up 5 Ibnu Khaldun, Setiausaha Jawatankuasa Pelan Strategik dan AJK Bilik Peperiksaan.

In shaa Allah saya akan mencuba untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lepas. Semoga Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan yang baik untuk merealisasikan hasrat ini. 

Amin.

In shaa Allah.

Sebagai isteri pula, saya tahu saya bukanlah isteri yang terbaik dan sungguh saya tidak mampu menjadi yang terbaik tetapi saya akan mencuba ke arah sesuatu yang lebih baik. Saya mahu sentiasa berkongsi segala perkara dengan suami, meluangkan lebih masa untuk berbual-bual dan berbincang dengannya dalam segala hal dan tidak terlalu emosional. Saya mahu menjadi isteri yang menyenangkan dan boleh menerima setiap teguran dengan hati yang terbuka.

Allah telah memberi saya anugerah ini - suami yang menerima segala kekurangan saya - maka saya wajib menjaga dan menyemai kasih bersamanya setiap masa. Kami sama-sama manusia yang penuh kekhilafan, saya tidak mahu menjadi isteri yang terlalu meminta-minta tetapi mahu sentiasa redha dengan segala yang tiba.

Sebagai anak, saya mahu lebih berbakti kepada emak yang bersendirian kini. Rasanya inilah azam yang paling sukar untuk saya laksanakan dek kekangan masa saya sebagai wanita yang tidak memandu. Hati selalu meronta-ronta mahu bersantai dan menemani emak lama-lama tetapi sentiasanya saya tertakluk kepada masa dan tanggungjawab kepada suami. Saya berdoa semoga Allah memberi ruang yang lebih kepada saya untuk bersama emak dan keluarga. Saya tahu emak tidak meminta banyak, hanya memenuhi keperluannya yang bukanlah selalu dan meluangkan masa bersamanya.

Ya Allah, perkenankanlah!




Saturday, January 19, 2019

Rai


Mohamad Faris Adli bin Mahadi ialah anak saudara suami saya yang baru sahaja berkahwin dengan pilihan hatinya, Husna Hassan pada 8 Disember 2018 lalu. Majlis resepsi pula berlangsung pada 22 Disember 2018 di rumah kakak ipar saya, Kak Rohaini.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan menggembirakan semua. Sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik yang bertugas di Putrajaya, Faris tidak bercuti panjang. Selepas beberapa hari selesai majlis dia kembali bertugas. Saya dan suami tidak sempat menjemput mereka suami isteri bertandang ke rumah kami dek pelbagai perkara yang tidak dapat dielak.

Jadi, apabila mendapat tahu Faris pulang bercuti di kampung pada Khamis lepas, suami saya menjemput mereka suami isteri berserta ahli keluarga Kak Rohaini untuk makan malam di rumah kami pada Jumaat.

Jam 9.00 malam mereka sekeluarga tiba - Faris dan isteri, Kak Rohaini dan Mek, juga Afiqah, Aiman, Syahirah dan Ilina. Saya terus menghidangkan makanan yang telah saya sediakan sendirian sejak tengah hari tadi lagi. Sup tulang, ikan bawal masak merah, sayur campur, telur itik goreng dan tembikai ditemani air teh o suam.

Alhamdulillah masakan saya menjadi dan tidak berlebihan. Sedang elok diberi sedikit untuk Mek bawa pulang. Agaknya Mek suka dengan masakan saya sebab dia yang bertanya, " kalau ada lagi lauk Mek nak sikit ya.."

Sebelum pulang saya hadiahkan sepasang kain untuk ahli keluarga baru kami, Husna. Semoga rumah tangga Husna dan Faris bahagia sampai syurga dan dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah. 

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, January 14, 2019

Idaman

Beberapa hari lepas, sahabat baik saya menunjukkan set barang kemas terbaru yang dibelinya, seutas gelang dan sebentuk cincin dengan harga RM12050. Yang kelakarnya, lama dia berbual-bual dengan saya sambil menggerak-gerakkan tangannya di hadapan saya tetapi saya tidak perasan langsung gelang dan cincin baharu yang dipakainya itu, sehinggalah dia bertanya, "Ti, nampak tak?" 

Benarlah saya ini kurang benar pekanya dengan barang perhiasan seolah-olah ia bukan keutamaan seorang wanita seperti saya. Hakikatnya saya suka, tetapi tidak menganggap ia satu yang utama. Pada saya ia sekadar hiasan, mahu dipakai banyak-banyak seperti tidak sesuai jadi cukuplah seutas dua yang saya ada ini. Jika mahu yang baharu pun, saya akan jual dahulu yang sedia ada supaya tidak terlalu sukar untuk disimpan. Tidak seperti wanita lain yang gemar memiliki perhiasan emas dalam kadar yang banyak, pada saya memadailah seurat dua sahaja. 

Kata orang untung menyimpan emas, harganya tidak susut malah sentiasa menokok. Nilainya juga kekal dan diterima di seluruh dunia. Benarlah, saya tidak menafikannya. Cuma saya tidak selesa untuk menyimpan emas banyak-banyak kerana faktor keselamatan. Biarlah saya menyimpan wang sebagai pelaburan masa hadapan saya, walaupun risikonya tetap ada. Wang lebih cair dan mudah dicapai berbanding emas. Lagi pun apa yang saya perhatikan, wanita seperti terlalu sayangkan emas mereka sehingga mereka menyimpan sebagai pusaka untuk anak cucu. Sesukar mana pun kedudukan kewangan mereka, menjual emas adalah langkah terakhir. Jadi di mana untungnya?

Apa yang sedang saya idamkan pada saat dan ketika ini ialah Samsung Galaxy Note 9. Berbanding emas, telefon pintar lebih saya gemari. Saya amat mendambakan telefon itu tetapi saya seram untuk meminta izin daripada suami tersayang, dek harganya yang mencecah RM3500. Semalam saya bertanya suami, bolehkah jika saya mahu telefon baru kerana telefon saya ini sudah pecah? Dia mengizinkan. Tetapi tahukah dia telefon bagaimana yang saya mahu?

Saya perlu mencari ruang masa yang terbaik supaya dia merestui pilihan saya. Walaupun saya akan menggunakan wang saya sendiri, keizinannya tetap saya pinta kerana sebagai isteri itu lebih manis. Saya tahu dia tidaklah cerewet sangat, cuma saya yang berfikir macam-macam.


Aduhai! Cantik dan bergaya sungguh kelihatannya. Walaupun semua orang meminati Iphone, saya tetap setia dengan Samsung. Semoga Allah mengizinkan saya memiliki telefon idaman saya ini, atau pun setidak-tidaknya telefon baharu yang berkeupayaan menyamai Note 9 ini walaupun jenama berbeza. Mungkin Huawei, atau Asus, atau juga apa sahaja jenama dengan kamera yang cantik, RAM dan ROM yang besar. Mungkin dengan keupayaan 8GB RAM dan 256GB ROM akan memuaskan hati saya.

Amin!

Sunday, January 13, 2019

Bintang

Seperti lama benar saya tidak menonton hiburan sebegini, yang ada hos dan ada jemputan. Kecil dahulu saya tertunggu-tunggu saban Sabtu untuk menonton rancangan hiburan malam minggu. Jika hosnya Uji Rashid dan Hail Amir atau Sudirman dan Noorkumalasari saya akan tidak sabar-sabar menanti. 

Memang saya akui saya minat sungguh dengan lagu dan nyanyian, sampai kini. Kecuali dangdut, hindustan dan dikir barat, semua yang lain saya suka. Sang Saka Biru yang bergenre rap itu pun sedap di telinga saya. Apatah lagi Jutaan Purnama dendangan Alyah dan Anta Permana dari Dato' Siti. Tetapi kalau lagu-lagu yang liriknya seperti tidak cerdik saya akan tolak juga.

Lalu malam ini saya mohon suami saya menonton bola di ruang tamu kerana saya mahu menonton Misha Omar dan Amy Mastura. Dihoskan oleh Jihan yang kelakar, saya amat terhibur. Saya seperti kembali ke suatu masa yang indah bila mendengar lagu-lagu mereka. 

Saat ini Misha sedang mendendangkan Nafas Cahaya dengan merdu sekali. Masih ada setengah jam untuk saya menikmati rancangan ini. Izinkan saya.

Sebelum bintang ada sana
Menatap cahaya
Jawablah pemuja
Jika benar kau cinta
Tanpa berkerana
Bisikkanlah buatku
Jika terbukti
Rindumu

Lama ku menanti
Sabda rindumu kasih
Membelai nurani
Biar sempat ku bermimpi
Keindahan malam seri

Cinta bukan kata
Rindu bukan madah
Dalam nafas ku tersimpan cahaya

Kalimah
Cinta bersakti
Melamar hati
Yang suci

Kalimah
Cinta berperi
Melamar kasih
Ke sisi

Kalimah
Cinta sejati
Menguji diri
Di sini

Kalimah
Cinta Terpatri
melayar Hari insani

Redahkan gelora…

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, January 11, 2019

9 Januari

Masih tentang hari lahir saya.

Saya suka sungguh dengan angka 9. Banyak maksud tersirat yang boleh saya kutip dari angka ini. Mungkin tidak elok untuk mengatakan ia sebagai nombor bertuah saya tetapi jika ditanya nombor kesukaan tentulah saya memilih 9.

Tarikh lahir saya boleh di'matematik'kan. 9.1.72 saya anggap sebagai 9x1=7+2. Sekadar suka-suka saja. Bolehkah anda me'matematik'kan tarikh lahir anda? Cubalah, tentu anda sukakan cabaran ini dan hasilnya.

Antara selebriti yang mengongsi tarikh lahir pada 9 Januari ialah Cheah Soon Kit, pemain badminton negara yang mula membina nama pada 1988 di kejohanan Piala Thomas, lahir pada 9 Januari 1968.



Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga memiliki tarikh lahir pada 9 Januari 1979.



Duchess of Cambridge, Kate Middleton, yang juga bakal permaisuri Britain iaitu isteri kepada Prince William lahir pada  9 Januari 1982.



Richard Nixon, Presiden USA yang ke-37 lahir pada 9 Januari 1913.





Thursday, January 10, 2019

Hari Jadi

Semalam ialah hari ulangtahun saya yang keempat puluh tujuh. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan atas kurnia yang sungguh indah ini. Selama empat puluh tujuh tahun ini terlalu banyak keindahan dan kebahagiaan yang Engkau berikan, walaupun tanpa aku meminta.

Terima kasih juga pada emak dan arwah ayah kerana mendewasakan anak kecil ini pada garis landasan yang terbaik. Allah jualah yang akan memberi ganjaran sebaik-baiknya buat ibuku Rahmah dan arwah ayahku, Muhyiddin. Ya Allah, Engkau kumpulkanlah mereka di syurga-Mu nanti. Limpahilah mereka dengan segala kebahagiaan dan keindahan. Merekalah anugerah-Mu yang amat-amat aku syukuri.

Buat semua yang turut sama mendoakan saya pada hari ulangtahun saya ini, saya mohon agar Allah memberi yang sama jua buat kalian. Impian saya pada hari kelahiran saya ini ialah semoga kita sekalian rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang prasangka dan kebencian sesama kita. Juga semoga kebahagiaan kita semua berpanjangan ke syurga.

Terima kasih suami kerana masih sudi untuk terus bersama-sama isteri yang sudah berusia ini untuk tahun yang kedua puluh dua. Tempoh yang agak panjang untuk hanya berdua, tetapi kita sama-sama menikmatinya tanpa sedikit pun resah dan gundah. Kesetiaan ini tidak pernah saya ragukan, dan saya akan tetap berdoa agar kita akan menjadi pasangan bahagia sehingga ke syurga.

Saudara-saudaraku, kalian adalah kekuatan buat saya meneruskan kehidupan. Semoga irama kasih sayang sesama kita terus berlagu indah sampai bila-bila. Semoga Allah memberkati perjalanan hidup kita menuju-Nya, dan akan terus bersama-sama sehingga ke Syurga.

Sahabat-sahabatku, kalian juga permata anugerah terindah buatku. Persahabatan ini biarlah berkekalan dalam kebahagiaan dan kasih sayang berpanajangan.

Terima kasih semua, memberi sinar bahagia selama hidup saya. Semoga sinar itu terus memancar sampai bila-bila, sentiasa.




Sunday, January 06, 2019

Pecah!

Jam menghampiri tiga petang, saya sedang menanti panggilan suami untuk menjemput saya di sekolah. Sambil menanti, saya melayan game di laptop. Ralit juga, maklumlah tiada siapa mengganggu. Telefon saya letak di sebelah laptop, senang dicapai. Selalu pun begitulah. 

Apabila terdengar nada dering milik suami di telefon, bergegas saya mencapai. Kali ini malang menimpa apabila ia terlepas dari pegangan dan terhempas ke lantai. Tergamam saya seketika tetapi saya tidak mahu panik, terus saya ambil dari lantai dan menjawab panggilan suami. Mujur ia masih berfungsi seperti biasa. 

Selesai bercakap, saya melihat rupa telefon itu. Ada retak di bahagian bawah sebelah kanan dan pada cermin juga ada beberapa jalur kesan pecah. Tidak tahu mahu gambarkan bagaimana perasaan saya saat melihat kecederaan telefon saya yang agak serius ini. Kenapa saya cuai sangat?

Oh Samsung Galaxy A9 Pro ku!

Dalam kereta saya tahankan diri daripada bercerita kepada suami. Kami berbicara perkara lain - tentang erph, tentang makan tengah hari dan tentang urusan kerja. Sabar, tunggu nanti di rumah barulah sesuai untuk mengadu kesedihan. Barulah sempat saya tenangkan perasaan. Barulah nampak macho. Haha!

Sebaik kami berehat, saya mulakan bicara dengan berkata, "betullah orang kata malang itu tidak berbau." Suami pun mula bertanya kenapa. Saya bercerita dengan terperinci dan menunjukkan rupa telefon retak saya itu.

Suami saya bertanya mahu yang barukah? Tiba-tiba saya menjadi baik hati dan berkata tak apa, masih boleh diguna lagi. Biarlah dahulu.

Eh?

Sebentar tadi dia mengulang tanya dan saya menjawab yang serupa. Entah ikhlas entah tidak saya ini!

Tak mengapa. Sungguh saya tidak apa-apa. Saya masih sayangkan telefon ini dan dalam masa terdekat ini saya masih mahu menggunakannya.

Tidak tahulah berapa lama masa terdekat itu.

😁😁😁😁



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Teknologi


Assalamualaikum. 

Tuan Puan yang bergelar guru, izinkan saya memberi sedikit ceramah tentang bidang tugas yang Tuan Puan sedang pikul sekarang, iaitu seorang Guru Malaysia.

Dalam komitmen kita menggalas tugas hakiki kita iaitu mengajar anak-anak didik yang kita kasihi, kita sangat perlu untuk meningkatkan kemahiran kita dalam segala bidang yang berkaitan dengan tugas mulia ini. Janganlah faktor usia dijadikan alasan untuk berhenti menambah ilmu di dada. Dalam era millenium ini, tidak dapat tidak kita mesti malah wajib mendalami sedalam-dalamnya tentang teknologi maklumat. Penggunaan telefon pintar dan aplikasi komputer sekarang begitu meluas, jika kita enggan mengikut arus, jadilah kita guru yang ketinggalan.

Sebagai guru yang baik, kita mesti peka dan prihatin terhadap segala perubahan dalam kemajuan teknologi. Janganlah apabila orang sudah menggunakan segala perkhidmatan atas talian, kita masih mahu bersusun atur di pejabat pos atau kaunter bank untuk membayar segala bil dengan alasan tidak pandai. Bukan tidak pandai sebenarnya cikgu, tetapi tidak mahu.

Bukanlah dengan menyambung pengajian sehingga ke peringkat Masters dan PhD itu baru dianggap meningkatkan ilmu, kerana masih terlalu banyak ilmu di sekeliling kita yang tidak perlu diletakkan di atas sekeping kertas sebagai bukti kita menguasainya. Hati saya terusik apabila membantu guru-guru yang terlalu takut dengan teknologi. Sehinggakan setiap apa yang saya sebut, mahu disalin dan ditulis. Sebenarnya, menguasai teknologi bukan dengan menghafal wahai cikgu, tetapi dengan melakukan ia berkali-kali dan memahami prosesnya. Cikgu yang punya anak-anak terpelajar, janganlah meminta anak-anak itu melakukan kerja untuk cikgu sebaliknya mintalah mereka membantu cikgu memahami kerja yang sepatutnya cikgu lakukan sendiri.

Maafkanlah saya. Apabila sekolah kita mula melaksanakan e-RPH pada tahun 2019 ini, kedengaran suara-suara yang tidak puas hati dengan pelaksanaan ini. Kata mereka, sekolah menyusahkan golongan guru yang berusia. Juga kata mereka, sepatutnya buatlah berperingkat-peringkat iaitu pilih dulu guru-guru tertentu yang celik komputer untuk memulakan e-RPH, bukan diwajibkan kepada semua. Sekali lagi, maafkanlah saya. Sebagai guru, itu bukan ayat yang sepatutnya dilontarkan. Sebagai guru, kita perlu sentiasa bersedia mengikut arus perubahan. Sebagai guru, mesti proaktif. Saya tidak selesa mendengar keluhan yang tidak bertanggungjawab sebegini.

Ada rasa simpati juga apabila membantu guru-guru yang sebegini, yang sangat tidak mahu mengenali teknologi maklumat dan komunikasi ini. Mereka tidak tahu sungguh dan langsung tidak mahu tahu sebelum ini. Apabila berlaku begini, mereka sangat terkial-kial. Jangan bimbang cikgu, selagi cikgu berkemahuan kami akan cuba membantu. Asalkan rajin dan mahu. 

Harapan saya semoga kualiti kita sebagai guru akan meningkat dan membuka mata-mata mereka yang di luar sana yang selama ini memandang rendah pada kita. Kita bukan bodoh, kita masih mampu mempelajari segala yang terkini.


Thursday, January 03, 2019

Pembaharuan

Salam tahun baharu 2019. Sudah hari ketiga hari ini dan Alhamdulillah saya senang sekali melayari tahun 2019 setakat ini.

Melihat beberapa pembaharuan yang dilakukan dalam persekitaran kerja saya, rasa amat syukur sekali kerana saya mampu menggalas setiap yang diberi dengan minda yang positif. Ada waktunya sedikit terganggu dengan beberapa perkara tetapi keseluruhannya saya boleh menerima dengan baik.

Apabila kami diarahkan menggunakan e-RPH pada tahun ini, saya tidak sedikit pun mahu menolak atau membangkang. Sebagai guru saya menerima setiap perubahan dengan aman dan tenang selagi ia masih dalam suasana yang nyaman dan mampu dicapai. Bagi saya e-RPH ada kelebihan dan kekurangannya dan saya bersedia menerima setiap yang ada.

Hari ini saya sudah menghantar e-RPH minggu pertama untuk pengajaran selama tiga hari ini. Saya rasa bersyukur juga kerana kelas-kelas yang diberi kepada saya adalah kelas-kelas yang menyeronokkan dan memberi semangat kepada saya untuk terus menjadi guru yang baik. Seramai sembilan puluh orang anak murid yang berada dalam empat kelas - dua kelas tingkatan empat dan dua lagi tingkatan lima - menjadi amanah Tuhan untuk saya pada sepanjang tahun 2019 ini. Saya berdoa agar Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan yang baik pada sepanjang tahun untuk saya membantu anak-anak ini mencapai setiap cita-cita mereka.

Meneruskan hari-hari saya di sisi tahun 2019 ini, keazaman tetap saya sematkan dalam hati untuk memberi dan terus memberi seupaya yang ada. Semoga keredhaan Allah mengiring perjalanan saya menuju-Nya, dan semoga tempat saya di sana nanti ialah di syurga.

Cuaca yang redup sehari dua ini dengan ramalan ribut Pabuk melanda Kelantan, menimbulkan juga sedikit resah di hati. Pun saya tetap berdoa agar segalanya berlangsung selamat dan tiada sebarang kesukaran besar yang timbul. Semoga allah melindungi kita semua, amin.