Salam tahun baharu 2019. Sudah hari ketiga hari ini dan Alhamdulillah saya senang sekali melayari tahun 2019 setakat ini.
Melihat beberapa pembaharuan yang dilakukan dalam persekitaran kerja saya, rasa amat syukur sekali kerana saya mampu menggalas setiap yang diberi dengan minda yang positif. Ada waktunya sedikit terganggu dengan beberapa perkara tetapi keseluruhannya saya boleh menerima dengan baik.
Apabila kami diarahkan menggunakan e-RPH pada tahun ini, saya tidak sedikit pun mahu menolak atau membangkang. Sebagai guru saya menerima setiap perubahan dengan aman dan tenang selagi ia masih dalam suasana yang nyaman dan mampu dicapai. Bagi saya e-RPH ada kelebihan dan kekurangannya dan saya bersedia menerima setiap yang ada.
Hari ini saya sudah menghantar e-RPH minggu pertama untuk pengajaran selama tiga hari ini. Saya rasa bersyukur juga kerana kelas-kelas yang diberi kepada saya adalah kelas-kelas yang menyeronokkan dan memberi semangat kepada saya untuk terus menjadi guru yang baik. Seramai sembilan puluh orang anak murid yang berada dalam empat kelas - dua kelas tingkatan empat dan dua lagi tingkatan lima - menjadi amanah Tuhan untuk saya pada sepanjang tahun 2019 ini. Saya berdoa agar Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan yang baik pada sepanjang tahun untuk saya membantu anak-anak ini mencapai setiap cita-cita mereka.
Meneruskan hari-hari saya di sisi tahun 2019 ini, keazaman tetap saya sematkan dalam hati untuk memberi dan terus memberi seupaya yang ada. Semoga keredhaan Allah mengiring perjalanan saya menuju-Nya, dan semoga tempat saya di sana nanti ialah di syurga.
Cuaca yang redup sehari dua ini dengan ramalan ribut Pabuk melanda Kelantan, menimbulkan juga sedikit resah di hati. Pun saya tetap berdoa agar segalanya berlangsung selamat dan tiada sebarang kesukaran besar yang timbul. Semoga allah melindungi kita semua, amin.
No comments:
Post a Comment