Thursday, January 10, 2019

Hari Jadi

Semalam ialah hari ulangtahun saya yang keempat puluh tujuh. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan atas kurnia yang sungguh indah ini. Selama empat puluh tujuh tahun ini terlalu banyak keindahan dan kebahagiaan yang Engkau berikan, walaupun tanpa aku meminta.

Terima kasih juga pada emak dan arwah ayah kerana mendewasakan anak kecil ini pada garis landasan yang terbaik. Allah jualah yang akan memberi ganjaran sebaik-baiknya buat ibuku Rahmah dan arwah ayahku, Muhyiddin. Ya Allah, Engkau kumpulkanlah mereka di syurga-Mu nanti. Limpahilah mereka dengan segala kebahagiaan dan keindahan. Merekalah anugerah-Mu yang amat-amat aku syukuri.

Buat semua yang turut sama mendoakan saya pada hari ulangtahun saya ini, saya mohon agar Allah memberi yang sama jua buat kalian. Impian saya pada hari kelahiran saya ini ialah semoga kita sekalian rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang prasangka dan kebencian sesama kita. Juga semoga kebahagiaan kita semua berpanjangan ke syurga.

Terima kasih suami kerana masih sudi untuk terus bersama-sama isteri yang sudah berusia ini untuk tahun yang kedua puluh dua. Tempoh yang agak panjang untuk hanya berdua, tetapi kita sama-sama menikmatinya tanpa sedikit pun resah dan gundah. Kesetiaan ini tidak pernah saya ragukan, dan saya akan tetap berdoa agar kita akan menjadi pasangan bahagia sehingga ke syurga.

Saudara-saudaraku, kalian adalah kekuatan buat saya meneruskan kehidupan. Semoga irama kasih sayang sesama kita terus berlagu indah sampai bila-bila. Semoga Allah memberkati perjalanan hidup kita menuju-Nya, dan akan terus bersama-sama sehingga ke Syurga.

Sahabat-sahabatku, kalian juga permata anugerah terindah buatku. Persahabatan ini biarlah berkekalan dalam kebahagiaan dan kasih sayang berpanajangan.

Terima kasih semua, memberi sinar bahagia selama hidup saya. Semoga sinar itu terus memancar sampai bila-bila, sentiasa.




No comments:

Post a Comment