Monday, January 14, 2019

Idaman

Beberapa hari lepas, sahabat baik saya menunjukkan set barang kemas terbaru yang dibelinya, seutas gelang dan sebentuk cincin dengan harga RM12050. Yang kelakarnya, lama dia berbual-bual dengan saya sambil menggerak-gerakkan tangannya di hadapan saya tetapi saya tidak perasan langsung gelang dan cincin baharu yang dipakainya itu, sehinggalah dia bertanya, "Ti, nampak tak?" 

Benarlah saya ini kurang benar pekanya dengan barang perhiasan seolah-olah ia bukan keutamaan seorang wanita seperti saya. Hakikatnya saya suka, tetapi tidak menganggap ia satu yang utama. Pada saya ia sekadar hiasan, mahu dipakai banyak-banyak seperti tidak sesuai jadi cukuplah seutas dua yang saya ada ini. Jika mahu yang baharu pun, saya akan jual dahulu yang sedia ada supaya tidak terlalu sukar untuk disimpan. Tidak seperti wanita lain yang gemar memiliki perhiasan emas dalam kadar yang banyak, pada saya memadailah seurat dua sahaja. 

Kata orang untung menyimpan emas, harganya tidak susut malah sentiasa menokok. Nilainya juga kekal dan diterima di seluruh dunia. Benarlah, saya tidak menafikannya. Cuma saya tidak selesa untuk menyimpan emas banyak-banyak kerana faktor keselamatan. Biarlah saya menyimpan wang sebagai pelaburan masa hadapan saya, walaupun risikonya tetap ada. Wang lebih cair dan mudah dicapai berbanding emas. Lagi pun apa yang saya perhatikan, wanita seperti terlalu sayangkan emas mereka sehingga mereka menyimpan sebagai pusaka untuk anak cucu. Sesukar mana pun kedudukan kewangan mereka, menjual emas adalah langkah terakhir. Jadi di mana untungnya?

Apa yang sedang saya idamkan pada saat dan ketika ini ialah Samsung Galaxy Note 9. Berbanding emas, telefon pintar lebih saya gemari. Saya amat mendambakan telefon itu tetapi saya seram untuk meminta izin daripada suami tersayang, dek harganya yang mencecah RM3500. Semalam saya bertanya suami, bolehkah jika saya mahu telefon baru kerana telefon saya ini sudah pecah? Dia mengizinkan. Tetapi tahukah dia telefon bagaimana yang saya mahu?

Saya perlu mencari ruang masa yang terbaik supaya dia merestui pilihan saya. Walaupun saya akan menggunakan wang saya sendiri, keizinannya tetap saya pinta kerana sebagai isteri itu lebih manis. Saya tahu dia tidaklah cerewet sangat, cuma saya yang berfikir macam-macam.


Aduhai! Cantik dan bergaya sungguh kelihatannya. Walaupun semua orang meminati Iphone, saya tetap setia dengan Samsung. Semoga Allah mengizinkan saya memiliki telefon idaman saya ini, atau pun setidak-tidaknya telefon baharu yang berkeupayaan menyamai Note 9 ini walaupun jenama berbeza. Mungkin Huawei, atau Asus, atau juga apa sahaja jenama dengan kamera yang cantik, RAM dan ROM yang besar. Mungkin dengan keupayaan 8GB RAM dan 256GB ROM akan memuaskan hati saya.

Amin!

No comments:

Post a Comment