Saturday, January 19, 2019

Rai


Mohamad Faris Adli bin Mahadi ialah anak saudara suami saya yang baru sahaja berkahwin dengan pilihan hatinya, Husna Hassan pada 8 Disember 2018 lalu. Majlis resepsi pula berlangsung pada 22 Disember 2018 di rumah kakak ipar saya, Kak Rohaini.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan menggembirakan semua. Sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik yang bertugas di Putrajaya, Faris tidak bercuti panjang. Selepas beberapa hari selesai majlis dia kembali bertugas. Saya dan suami tidak sempat menjemput mereka suami isteri bertandang ke rumah kami dek pelbagai perkara yang tidak dapat dielak.

Jadi, apabila mendapat tahu Faris pulang bercuti di kampung pada Khamis lepas, suami saya menjemput mereka suami isteri berserta ahli keluarga Kak Rohaini untuk makan malam di rumah kami pada Jumaat.

Jam 9.00 malam mereka sekeluarga tiba - Faris dan isteri, Kak Rohaini dan Mek, juga Afiqah, Aiman, Syahirah dan Ilina. Saya terus menghidangkan makanan yang telah saya sediakan sendirian sejak tengah hari tadi lagi. Sup tulang, ikan bawal masak merah, sayur campur, telur itik goreng dan tembikai ditemani air teh o suam.

Alhamdulillah masakan saya menjadi dan tidak berlebihan. Sedang elok diberi sedikit untuk Mek bawa pulang. Agaknya Mek suka dengan masakan saya sebab dia yang bertanya, " kalau ada lagi lauk Mek nak sikit ya.."

Sebelum pulang saya hadiahkan sepasang kain untuk ahli keluarga baru kami, Husna. Semoga rumah tangga Husna dan Faris bahagia sampai syurga dan dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah. 

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment