Sunday, January 06, 2019

Pecah!

Jam menghampiri tiga petang, saya sedang menanti panggilan suami untuk menjemput saya di sekolah. Sambil menanti, saya melayan game di laptop. Ralit juga, maklumlah tiada siapa mengganggu. Telefon saya letak di sebelah laptop, senang dicapai. Selalu pun begitulah. 

Apabila terdengar nada dering milik suami di telefon, bergegas saya mencapai. Kali ini malang menimpa apabila ia terlepas dari pegangan dan terhempas ke lantai. Tergamam saya seketika tetapi saya tidak mahu panik, terus saya ambil dari lantai dan menjawab panggilan suami. Mujur ia masih berfungsi seperti biasa. 

Selesai bercakap, saya melihat rupa telefon itu. Ada retak di bahagian bawah sebelah kanan dan pada cermin juga ada beberapa jalur kesan pecah. Tidak tahu mahu gambarkan bagaimana perasaan saya saat melihat kecederaan telefon saya yang agak serius ini. Kenapa saya cuai sangat?

Oh Samsung Galaxy A9 Pro ku!

Dalam kereta saya tahankan diri daripada bercerita kepada suami. Kami berbicara perkara lain - tentang erph, tentang makan tengah hari dan tentang urusan kerja. Sabar, tunggu nanti di rumah barulah sesuai untuk mengadu kesedihan. Barulah sempat saya tenangkan perasaan. Barulah nampak macho. Haha!

Sebaik kami berehat, saya mulakan bicara dengan berkata, "betullah orang kata malang itu tidak berbau." Suami pun mula bertanya kenapa. Saya bercerita dengan terperinci dan menunjukkan rupa telefon retak saya itu.

Suami saya bertanya mahu yang barukah? Tiba-tiba saya menjadi baik hati dan berkata tak apa, masih boleh diguna lagi. Biarlah dahulu.

Eh?

Sebentar tadi dia mengulang tanya dan saya menjawab yang serupa. Entah ikhlas entah tidak saya ini!

Tak mengapa. Sungguh saya tidak apa-apa. Saya masih sayangkan telefon ini dan dalam masa terdekat ini saya masih mahu menggunakannya.

Tidak tahulah berapa lama masa terdekat itu.

😁😁😁😁



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment