Sunday, January 06, 2019

Teknologi


Assalamualaikum. 

Tuan Puan yang bergelar guru, izinkan saya memberi sedikit ceramah tentang bidang tugas yang Tuan Puan sedang pikul sekarang, iaitu seorang Guru Malaysia.

Dalam komitmen kita menggalas tugas hakiki kita iaitu mengajar anak-anak didik yang kita kasihi, kita sangat perlu untuk meningkatkan kemahiran kita dalam segala bidang yang berkaitan dengan tugas mulia ini. Janganlah faktor usia dijadikan alasan untuk berhenti menambah ilmu di dada. Dalam era millenium ini, tidak dapat tidak kita mesti malah wajib mendalami sedalam-dalamnya tentang teknologi maklumat. Penggunaan telefon pintar dan aplikasi komputer sekarang begitu meluas, jika kita enggan mengikut arus, jadilah kita guru yang ketinggalan.

Sebagai guru yang baik, kita mesti peka dan prihatin terhadap segala perubahan dalam kemajuan teknologi. Janganlah apabila orang sudah menggunakan segala perkhidmatan atas talian, kita masih mahu bersusun atur di pejabat pos atau kaunter bank untuk membayar segala bil dengan alasan tidak pandai. Bukan tidak pandai sebenarnya cikgu, tetapi tidak mahu.

Bukanlah dengan menyambung pengajian sehingga ke peringkat Masters dan PhD itu baru dianggap meningkatkan ilmu, kerana masih terlalu banyak ilmu di sekeliling kita yang tidak perlu diletakkan di atas sekeping kertas sebagai bukti kita menguasainya. Hati saya terusik apabila membantu guru-guru yang terlalu takut dengan teknologi. Sehinggakan setiap apa yang saya sebut, mahu disalin dan ditulis. Sebenarnya, menguasai teknologi bukan dengan menghafal wahai cikgu, tetapi dengan melakukan ia berkali-kali dan memahami prosesnya. Cikgu yang punya anak-anak terpelajar, janganlah meminta anak-anak itu melakukan kerja untuk cikgu sebaliknya mintalah mereka membantu cikgu memahami kerja yang sepatutnya cikgu lakukan sendiri.

Maafkanlah saya. Apabila sekolah kita mula melaksanakan e-RPH pada tahun 2019 ini, kedengaran suara-suara yang tidak puas hati dengan pelaksanaan ini. Kata mereka, sekolah menyusahkan golongan guru yang berusia. Juga kata mereka, sepatutnya buatlah berperingkat-peringkat iaitu pilih dulu guru-guru tertentu yang celik komputer untuk memulakan e-RPH, bukan diwajibkan kepada semua. Sekali lagi, maafkanlah saya. Sebagai guru, itu bukan ayat yang sepatutnya dilontarkan. Sebagai guru, kita perlu sentiasa bersedia mengikut arus perubahan. Sebagai guru, mesti proaktif. Saya tidak selesa mendengar keluhan yang tidak bertanggungjawab sebegini.

Ada rasa simpati juga apabila membantu guru-guru yang sebegini, yang sangat tidak mahu mengenali teknologi maklumat dan komunikasi ini. Mereka tidak tahu sungguh dan langsung tidak mahu tahu sebelum ini. Apabila berlaku begini, mereka sangat terkial-kial. Jangan bimbang cikgu, selagi cikgu berkemahuan kami akan cuba membantu. Asalkan rajin dan mahu. 

Harapan saya semoga kualiti kita sebagai guru akan meningkat dan membuka mata-mata mereka yang di luar sana yang selama ini memandang rendah pada kita. Kita bukan bodoh, kita masih mampu mempelajari segala yang terkini.


No comments:

Post a Comment