Thursday, October 31, 2019

Dan Penantian Pun Berakhir

Selasa 29 Oktober 2019 lalu menjadi detik bersejarah yang mengakhiri penantian selama tujuh tahun anak saudara saya Norulashikin Sulaiman dan suaminya Wan Nuzaihan Wan Ab Ghani apabila selamat bersalin secara pembedahan di hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Norulashikin yang saya sapa sebagai Kak Long adalah anak sulung kakak ipar saya Rohaizan. Dia dan suaminya diijabkabulkan pada Jun 2012 dan selama tujuh tahun mereka menanti kehadiran cahaya mata pertama. Segalanya terkabul kini dan saya tumpang bahagia.

Saat hantaran ini ditulis, saya masih belum mengetahui sama ada bayi lelaki comel itu sudah bernama atau belum. Kakak ipar saya Rohaizan masih berada di Johor Bahru menemani Kak Long untuk hari-hari awal ini. Saya doakan agar anak ini dewasa dalam dakapan kasih sayang yang membahagiakan dan dewasa sebagai insan dikasihi Tuhan.


Kak Long sehari sebelum pembedahan
Kak Rohaizan dan cucunya



Monday, October 28, 2019

Bangsaku

Hari ini bising lagi apabila jurujual wanita dibebaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan remaja dalam kemalangan pada 2017.

Kenapa bising? Kerana jurujual itu berbangsa Cina dan yang mati semuanya Melayu.

Rasis.

Semenjak PH mengambil alih teraju pemerintahan negara, isu rasis semakin menjadi-jadi. Semua perkara mahu dikaitkan dengan bangsa, dan yang menjadi mangsanya tak lain tak bukan ialah Melayu. Cina dan India sentiasa berpakat untuk menyahkan Melayu dari negara ini.

Kasihan.

Siapa?

Melayulah!

Entah bila harmoni itu akan menjadi nyata jika sentiasa salah menyalah begini. Saya mahu meletakkan punca perkara ini pada politikus-politikus yang mementingkan diri sendiri dan kuasa semata-mata. Golongan inilah sebenarnya yang suka membakar api perkauman, dan mahu melihat rakyat huru hara. Mereka sangat jahat dan tidak layak berada di negara ini jika masih enggan berubah.

Kita tidak boleh memilih mahu jadi bangsa apa, jadi mengapa mahu bertelagah?

Susah sungguh untuk ditaakul, apatah lagi ada pihak yang suka melaga-laga.

Ini petikan status Facebook Tuan Sayuti Azmi:

Lapan nyawa kanak-kanak melayang, dan yang melanggar didapati tak bersalah dari segi undang-undang.

Baca ruang komen berita, ramai tak puas hati dan memaki. Ye lah, lapan nyawa kanak-kanak. Masalahnya, bila komen berbaur politik dan perkauman sedangkan fakta kes dan asas penghakiman langsung tak ambil tahu.

Hakim sudah buat keputusan begitu kerana tiada bukti pemandu mabuk atau menggunakan telefon atau memandu secara laju atau melulu atau berbahaya untuk disabitkan kesalahan.

Akurlah dengan keputusan hakim. Tak puas hati, buat rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Sebelum tu, emosi letak tepi dulu dan fikir secara rasional.

Siapa sangka memandu pukul 3 pagi akan bertembung berpuluh budak-budak bawah umur main basikal lajak tengah jalan besar tanpa lampu keselamatan?

Teringat waktu aku terlanggar kerbau tengah jalan dulu. Lampu jalan tak ada, tanda amaran haiwan ternakan pun tak ada. Aku pandu ikut had laju tetiba ada kerbau hitam tengah jalan. Tekan brek tak sempat berhenti juga. Terlanggar.

Salah aku ke? Salah kerbau ke? Mungkin tidak.

Yang sepatutnya bertanggungjawab ialah tuan kerbau sebab tak tambat atau kurung kerbau di tempat yang selamat.

Sampai sudah tak ada orang mengaku tuan kerbau tu. Sebab yang mati, kerbau. Bukan manusia. Bukan aku.

Bukan aku nak samakan budak-budak dengan kerbau. Nanti ada pulak yang pusing gitu.

Aku nak buat analogi untuk kes ini untuk tunjukkan ibu bapa lapan kanak-kanak malang tersebut yang sepatutnya dipertanggungjawabkan juga. Kenapa tak dakwa mereka?

Sebabnya, ibu bapa sudah menerima hukuman yang berat dengan kehilangan anak masing-masing. Mungkin kerana masih ada kekurangan dalam menjaga amanah Tuhan ini.

Jadi, tanya balik:

Adakah patut pemandu yang memandu mengikut had laju, tidak di bawah pengaruh alkohol dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu perlu dihukum kerana terlanggar sekumpulan kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di tengah jalan raya pukul 3 pagi?

Entah. Aku rasa tak patut.

Lain lah kalau dia mabuk, atau memandu laju, memandu secara melulu, atau menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Fakta kes tidak menunjukkan itu yang berlaku.

Apa pun, pemandu ini pun pasti trauma dengan kejadian. Aku yang terlanggar kerbau pun rasa bersalah sebab kerbau tu mati, tak sempat sembelih, inikan pula lapan nyawa kanak-kanak. Pasti menghantui pemandu itu seumur hidup.

Maka, tak payahlah nak kutuk atau jadi rasis.

Cukup doakan kita dan anak-anak kita tak mengalami situasi sama di masa depan.

Semoga yang terkorban tenang di alam sana.

Friday, October 25, 2019

Cucunda Salman

Selamat tiba ke dunia, anakanda Salman bin Mohamad Faris Adli.



Lahirnya di HRPZ pada Ahad 20 Oktober, sama dengan hari pembedahan Aziah di HUSM. Sehingga ke hari ini saya belum berkesempatan menziarah tetapi dalam hati begitu teruja dan rindu untuk melihat cucu sulung Kak Rohaini itu.

Nama yang diberi ringkas dan indah - Salman. Saya cukup berkenan dengan nama sebegitu, kerana ia mencerminkan kebijaksanaan ibu bapanya yang tidak terikut-ikut dengan trend nama moden dan panjang. Saya percaya nanti dalam kelasnya di sekolah, hanya dialah satu-satunya Salman. Unik. Doa saya semoga jiwanya kental dan gagah untuk dewasa sebagai pejuang.

Esok Tok Cik akan hadir ke majlis aqiqah Salman. Tak sabar rasanya untuk menghidu haruman syurga anak manis ini!
Ibu dan bapa Salman

Lima Hari

Bermula hari ini, Jumaat 25 Oktober 2019 kami diberi cuti selama lima hari sempena Deepavali. Rabu 30 Oktober nanti baru kami kembali bertugas.

Seronoklah kami, tentunya. Alhamdulillah.

Dan seperti selalu, cuti-cuti begini pun jadual kelas tambahan tetap diedar. Apatah lagi SPM sudah tinggal sebelas hari sahaja lagi. Guru-guru yang kalut, sedang murid-murid macam biasa sahaja. Guru-guru seperti tidak rela murid-murid bercuti lalu menghadiahkan mereka kelas tambahan setiap hari! Demi masa depan, murid-murid terima sahajalah.

Saya agak berani kali ini, kerana sepanjang lima hari itu saya tidak mengambil walau satu slot pun untuk anak-anak murid saya. Saya ketepikan diri saya kerana memberi ruang untuk guru-guru mata pelajaran lain yang nampak lebih memerlukan. Dan lima hari ini biarlah saya guna untuk diri sendiri.

Anak-anak murid saya sudah saya pesan agar rajin-rajinlah buat latihan. Tiada kelas tidak mengapa asalkan latihan tidak dilupa.

Semoga Allah memberi yang terbaik untuk mereka. Amin.

Sunday, October 20, 2019

Adinda Aziah


Sebentar lagi - jam dua petang ini - adik perempuan saya Noor Aziah akan menjalani pembedahan membuang fibroid di HUSM Kubang Kerian. Mohon doakan agar perjalanan rawatan ini lancar dan selamat.

Maafkanlah saya yang tidak dapat hadir menziarah walaupun sudah dua hari dia diwadkan sejak Jumaat. Saya bercadang untuk ke sana petang nanti, setamat waktu persekolahan. Ikutkan hati, saya mahu sekali berada di sisinya pada waktu-waktu ini tetapi tertakluk kepada pelbagai kekangan. Semoga Allah sentiasa menjagamu, dik. Doa untukmu tiada hentinya.

Semoga nanti adinda Aziah akan pulih dan sihat kembali, dan kembali berbakti untuk agama dan pertiwi.

Thursday, October 17, 2019

Cardiology

18 Ogos yang lalu, sebaik mendapat keputusan ujian stress (di KPJ Perdana) yang menunjukkan ada salur darah ke jantung saya yang tersumbat, saya segera ke hospital. Kali ini saya memilih HRPZII, kerana mahukan persekitaran yang baru. Entah kerana apa, saya tidak pasti. HUSM sudah terlalu kerap saya kunjungi, tetapi saya bukanlah jemu. Saya cuma mahukan persekitaran baru. Begitu.

Di aras 4, saya menuju ke kaunter pertanyaan. Jururawat itu memberi saya tarikh temujanji pada 20 Oktober. Sembilan minggu lagi saya perlu menunggu. Mampukah?

Saya berdoa agar Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan yang baik sementara menanti tarikh itu. Ada juga rasa risau, tetapi saya yakin Allah mendengar harapan saya. Alhamdulillah, semuanya seperti yang saya harapkan. Tiada degupan jantung yang kencang tiba-tiba, dan pernafasan saya juga semakin baik selama tempoh menunggu itu.

Minggu lepas, pihak HRPZII menghubungi saya memaklumkan perubahan tarikh temujanji saya daripada 20 kepada 17 Oktober - awal tiga hari - tentulah sesuatu yang menggembirakan.

Hari ini tibalah tarikh itu.

Jam 8 pagi kami sudah turun dari rumah dengan harapan sampai awal dan diperiksa awal. Alhamdulillah, lancar sekali perjalanan kali ini. Tidak lama pun saya menunggu, sekitar dua puluh minit sahaja. Ujian ECG dan Ekokardiografi dilakukan dan keputusannya normal. Alhamdulillah.

Angiogram pula atas pilihan saya, doktor hanya mencadangkan. Mulanya saya rasa tidak perlu kerana keputusan yang sudah normal itu, tetapi suami saya kata tiada salahnya meneruskan ujian itu untuk mengetahui sebetulnya ada salur darah tersumbat atau tidak. Saya yang patuh ini akur sahaja. Tarikhnya lama lagi, Februari 2021 dan saya perlu mengisi borang permohonan dahulu. 

Sementara menanti tarikh itu, saya dibekalkan ubat-ubatan yang berjenis-jenis. Semoga Allah memberi kesembuhan jua nanti.

Amin.


Wednesday, October 16, 2019

Maggi

Saya cepat benar lapar, dan jika di sekolah kantin adalah tempat kegemaran saya. Sarapan pagi tentulah sesuatu yang wajib dan saya tetap akan setia menikmatinya di kantin biar apa pun berlaku. Seawal jam 7.45 saya sudah terpacul di kantin tanpa segan silu. Menjelang jam dua belas tengah hari, perut saya akan meminta untuk diisi lagi. Jika tahun lepas, saya akan ke kantin mencari mihun sup atau kue teow goreng, mungkin juga jika lapar benar saya meminta nasi dan tom yam. Kiranya siaplah makan tengah hari saya. 

Sejak awal tahun ini, kantin saya meragam. Entah kenapa makanan yang dijual kurang rasa dan jam 11.30 sudah ditutup. Saya yang kelaparan ini begitu sedih dan kecewa. 

Awalnya, saya keluar mencari makanan di gerai di hadapan sekolah. Nasi air, cucur udang, pisang goreng, ayam lidi dan keropok lekor sahaja yang ada. Lama-lam jemu juga. Makanan itu sebenarnya disasarkan untuk murid sekolah, jadi tidak memenuhi selera orang tua seperti saya ini. Pun apabila kelaparan, saya tiada pilihan. Saya redah juga dalam cuaca tengah hari yang panas terik menyeberang jalan mencari sedikit juadah.

Lama-lama, saya terfikir untuk menyediakan coffee corner saya sendiri. Dengan kemudahan Lazada dan Shopee yang ada, saya membeli segalanya di situ. Jug kettle, minuman 3 in 1, gula peket, gelas dan kole, juga maggi cawan. Biskut, kekacang dan roti juga ada.

Wah! Saya seronok sungguh! Saya mengajak kawan-kawan saya untuk berkongsi ruang ini dengan saya. Mereka bebas untuk membancuh air minuman di sini, bila-bila mereka mahu. Tentu saya akan gembira dan puas hati dapat berkongsi begini. Nanti jika sambutan menggalakkan, saya mahu membeli air fryer pula. Bolehlah kami menggoreng apa-apa yang segera untuk mengisi perut sementara menanti makan tengah hari.





Saturday, October 12, 2019

Surat Ayah

Sejak saya berada jauh dari keluarga pada usia sementah tiga belas, ayah selalu mengirim surat. Uniknya surat ayah, ia bertulis jawi. Tulisan jawi ayah cantik, dan isi surat ayah pula ringkas. Tidak pernah penuh pun sehelai muka surat. Saya selalu ternanti-nanti surat ayah dan hati saya riang sekali menerimanya. Saya akan menunjuk-nunjuk pada kawan-kawan saya surat ayah itu. Rasanya sayalah yang paling kerap menerima surat daripada ayah berbanding kawan-kawan saya. Kenapa? Kerana ayah kawan-kawan saya senang untuk datang melawat, jadi tidak perlulah mengirim surat. Ayah saya sukar meluangkan masa menjenguk saya kerana kekangan tanggungjawab, jadi suratlah sebagai penghubung kata.

Surat-surat ayah terus mendatangi saya sehinggalah saya berada di matrikulasi. Apabila telefon rumah sudah ada pada Januari 1991, surat ayah mula jarang tiba.

Sayangnya, surat-surat itu tiada lagi dalam simpanan saya. Saya tidak pernah membuangnya malah elok tersimpan sehingga saya tamat MRSM dan Matrikulasi, tetapi ia tidak dapat dikesan lagi kini. Saya syak surat-surat itu sudah menjadi abu kerana disangka sampah dan dibakar bersama-sama sampah lain. Tidak mengapalah, walaupun fizikalnya sudah tiada, kenangannya tetap abadi.

Surat ayah yang paling bermakna saya terima pada Disember 1990 sewaktu saya berada di Matrikulasi UKM Kulim. Keputusan peperiksaan saya yang tidak cemerlang, hanya mengutip 2C (English dan Biologi) dan 3D (Matematik, Kimia dan Fizik) mendetikkan keresahan di hati ayah lalu dia menghantar surat bermakna itu untuk saya.

Surat itu masih bertulisan jawi, tetapi kali ini ayah menaipnya. Ada tiga perenggan dalam sehelai muka surat dan setiap perenggan berisi kata-kata nasihat yang sehingga ini masih segar dalam memori saya. Ayah menyebut nama saya pada setiap perenggan, dengan susunan kata-kata yang menyentuh tetapi indah dan menenangkan.

Katanya, saya seorang yang bertuah kerana terpilih belajar di tempat yang saya suka, dan sudah diberi tajaan MARA walaupun dalam bentuk pinjaman. Kata ayah lagi, saya perlu menghargai setiap kurniaan ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi contoh untuk adik-adik. Ayah turut menyelit sepotong ayat Quran dari surah Ibrahim ayat 7.


Juga terlampir bersama surat itu ialah keratan akhbar tentang keputusan peperiksaan SRP 1990 adik saya, Noor Aziah yang cemerlang. Dia berjaya mendapat 7A1 dan 1A2 dalam SRPnya itu dan tertulis di dada akhbar sebagai antara pelajar cemerlang Maahad Muhammadi.

Begitu ayah memberi saya perangsang dan motivasi, tanpa sepatah kata marah pun dengan keputusan saya itu. Saya benar-benar terkesan dan surat itu saya simpan dan tampal di dinding meja belajar saya sehingga ke universiti. Kawan-kawan saya yang membaca surat itu begitu kagum dengan keprihatinan ayah kepada saya. Saya menjadi bangga dalam terharu dan begitu berkobar-kobar untuk memberi yang terbaik untuk ayah dan keluarga.

Walaupun ayah sudah lama pergi, setiap kenangan antara ayah dan saya kekal selamanya dalam ingatan. Semoga Allah menjaga ayah dalam sebaik-baik jagaan di alam sana.


Friday, October 11, 2019

My TV

Mek said, she has been waiting for me to set up her My TV decoder. She has five children and nineteen grandchildren but she still wants me to set up the tv in her house. I feel honoured you know! 

In no time, I unboxed the decoder and read the inserted manual. Not that hard actually, it was very easy installation and I finished the task in no more then ten minutes, alone. Mek was just watching me doing it and my husband tried to help but he had to rush to the mosque for Jumaat prayer. 

Then I taught mek how to operate the decoder remote control. She hesitated at first but I convinced her that it is just a simple thing and mek will get used to it eventually.

Now I want to buy a new TV for my mom to replace the 22 years old Panasonic TV she is using, and make sure that she will be happy having me just like mek does.

Wednesday, October 09, 2019

Susah?

Saya baru sahaja keluar dari kelas Matematik Tingkatan 5 Ibnu Haitam dan kepala saya sedikit pusing. Pening. Penat. Aduh!

Bagaimana tidak penat, apa yang saya terangkan di papan putih dengan penuh perasaan untuk soalan pertama, mereka tidak dapat faham pun. Seorang demi seorang datang ke meja saya meminta saya menerangkan semula. Secara individu. Satu persatu. Berkali-kali. Mahu tidak penat?

Hairan saya. Begitukah mereka belajar? Pada hal saya bukan memulakan pelajaran baru. Ini ulangkaji bab yang sudah dipelajari sejak tingkatan dua. Teruk benar!

Mahu kata apa lagi, penat-penat begini terpacul juga kata-kata yang tidak enak walaupun sehabis daya saya bertahan. Terasa geram kerana mereka seperti tidak tahu apa-apa. Tidak tahu langsung, susah mahu saya jelaskan. Tajuk Penjelmaan bukanlah perlukan pengiraan pun, hanya pemerhatian sahaja. Soalan (a) cuma menentukan imej sahaja. Soalan (b) mengenalpasti gabungan penjelmaan yang terlibat apabila diberi objek dan imej. Soalan (c) mengira luas imej apabila diberi luas objek. Semua sepuluh soalan yang saya beri itu begitulah susunannya. Soalan satu saya terangkan sebagai contoh dengan harapan soalan-soalan seterusnya mereka dapat buat sendiri.

Rupanya tidak. Salahkah jika saya kecewa?

Ini Matematik. Bukan Matematik Tambahan. Matematik yang sangat asas, tetapi mereka tidak nampak dan saya menjadi buntu. Terasa seperti tidak masuk akal benda mudah seperti ini pun tidak faham. Entah bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan? Pemikiran logik mereka tiada langsung, begitu kesimpulan saya.

Jika beginilah cara berfikir anak-anak zaman ini, saya tidak tahu bagaimana mahu mengharap pada kepimpinan generasi mereka pada masa hadapan.


Monday, October 07, 2019

Terpedaya

Tarikh 22 Ogos 2019, saya diperdaya oleh seorang rakan. Betapa tergamak dia melakukan saya sebegitu. Saya sangat benci dengan perbuatan menipu. Benci yang sungguh-sungguh, apatah lagi ia dilakukan oleh seorang sahabat yang bergelar guru. Sangat jelek, sangat buruk!

"Kak Ti, saya nak minta Kak Ti book tiket Air Asia untuk saya. Saya nak ke KL Jumaat ni." Nadanya seperti arahan tanpa mengira saya sibukkah, ada urusan lainkah, atau malaskah. Sejak lama pun saya memang tidak gemar orang yang suka mengambil kesempatan, mereka seperti orang malas yang bodoh. Susah untuk diajar. Tetapi memikirkan persahabatan kami, saya hanya mengangguk setuju dengan syarat dia ada bersama-sama saya semasa tempahan dibuat. Saya pernah tersilap tempah suatu waktu dahulu kerana menempah sendirian, dan dialah orangnya yang meminta saya membuat tempahan itu. Saya tanggung sebahagian kerugian kerana memikirkan ia faktor kecuaian saya. Sedang dia? Tidak pernah mahu mengambil iktibar, masih mahu meneruskan perangai menyuruh orang.

Diringkaskan cerita, saya pun menempah tiket Air Asia untuknya, pergi balik KBR-KUL dengan harga RM249.40. Barang diingat, saya bukan setakat menempah tetapi juga siap check in dan mencetak boarding pass dia sebab dia memang tak reti langsung bab ni walaupun usia dia jauh lebih muda daripada saya. Kira full package lah dia guna pakai saya.

"Tiket saya ni ada kawan nak sponsor. Kak Ti bagi nombor akaun bank ya, nanti kawan saya bank in duit tu ke akaun kak Ti."

Saya cuak. Kalau betul pun kawan dia nak sponsor, kenapa perlu libatkan saya. Bayarlah dulu harga tiket pada saya. Saya tiada kena mengena pun dalam hal ini, cuma tolong tempah sahaja. Nampak tak permainan dia?

Saya dah tahu sangat dia ni bukan boleh percaya. Selama ini pun saya perasan dia jenis yang bercakap macam bagus, macam mulia benar, macam tak ada dosa. Dah banyak kes yang tidak sedap didengar tentang dia sampai ke pengetahuan saya. Sebab itu saya sedikit curiga dan berasa dia sedang menggunakan saya.

Saya menunggu.

Sehinggalah dia balik dari Kuala Lumpur, tetapi duit saya masih belum bayar. Setiap hari saya menyemak akaun saya dan tiada pun pemindahan wang masuk berlaku. Saya yakin benar dia sedang menipu saya.

Isnin 23 September, selepas sebulan berlalu saya menghantar pesanan WhatsApp ini.


Teruk kan? Lupa rupanya. Tidak mengapalah. Saya menunggu lagi dan hampa lagi. Saya perlu terus bermain dengannya kerana dia yang memulakan permainan ini. Dia seperti mengelak dari pada bertemu dengan saya di sekolah. Itu yang saya rasa tetapi saya tidak pula mahu mencarinya. Saya ada cara saya.

Rabu, 2 Oktober, saya menghantar lagu pesanan WhatsApp.



Oh, Khamis esok ya. Ok. Saya tunggu.

Nampaknya dia masih mengelak. Khamis yang dijanjikan berlalu begitu sahaja. Ahad semalam dia berada di bengkel SPM dan tiada kesempatan kami bertemu. Hari ini Isnin, dia bercuti sakit.

Esok bagaimana pula? Permainan akan diteruskan. Bukan kerana saya kisah sangat dengan RM249.40 itu, tetapi kerana saya sakit hati dengan penipuan dia yang selamba gila.




Saturday, October 05, 2019

Bahasa



Riuh pula berkicauan di media sosial hari ini apabila Maya Karin menulis di Twitternya tentang seorang anak Terengganu yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Ramai marah-marah, menganggap teguran itu tidak kena.

Ya, mungkin Maya sedikit tersasar kerana menegur dengan nada sebegitu seolah-olah Bahasa Inggeris itu lebih utama di negara kita. Mungkin juga adik itu sengaja tidak mahu menjawab kerana tidak selesa berbahasa asing di negeri sendiri.

Banyak kemungkinan yang kita boleh tebak, tetapi kebenarannya hanya adik itu yang tahu.

Saya sendiri agak sensitif dengan bahasa. Saya terlalu cintakan bahasa Melayu kerana ia bahasa ibunda saya tetapi tetap tidak mahu ketepikan kepentingan bahasa lain untuk dipelajari. Saya akan berasa sakit hati jika bahasa kebangsaan saya tidak dijaga - diguna dengan salah atau ditulis dengan ejaan yang punah. Ia cukup menggambarkan peribadi yang tiada jati diri.

Saya mempunyai ramai saudara rapat di Selatan Thai kerana ibu bapa saya berasal dari sana. Kami boleh berwacana dengan baik kerana kami menggunakan bahasa Melayu loghat Kelantan yang sama, cuma berbeza slanga. Tetapi situasi di sana kini agak membimbangkan saya. Sepupu-sepupu saya sudah mula bertutur sepenuhnya dalam bahasa Thai dengan anak-anak kecilnya, dan anak-anak itu langsung tidak tahu berbahasa Melayu. Saya khuatir bahasa Melayu akan hilang di sana sedikit masa lagi jika sepupu-sepupu saya ini berterusan enggan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di rumah.

Saya nampak bezanya dengan kaum Cina dan India di Malaysia yang tidak pernah meminggirkan bahasa ibunda mereka walaupun dilahirkan di sini. Itu cara mereka menjaga jati diri mereka.

Harap sepupu-sepupu saya tidak leka menanam semangat cintakan bahasa Thai dalam jiwa anak-anak mereka sehingga melenyapkan bahasa Melayu dalam jiwa generasi bangsa Melayu itu.