Wednesday, October 16, 2019

Maggi

Saya cepat benar lapar, dan jika di sekolah kantin adalah tempat kegemaran saya. Sarapan pagi tentulah sesuatu yang wajib dan saya tetap akan setia menikmatinya di kantin biar apa pun berlaku. Seawal jam 7.45 saya sudah terpacul di kantin tanpa segan silu. Menjelang jam dua belas tengah hari, perut saya akan meminta untuk diisi lagi. Jika tahun lepas, saya akan ke kantin mencari mihun sup atau kue teow goreng, mungkin juga jika lapar benar saya meminta nasi dan tom yam. Kiranya siaplah makan tengah hari saya. 

Sejak awal tahun ini, kantin saya meragam. Entah kenapa makanan yang dijual kurang rasa dan jam 11.30 sudah ditutup. Saya yang kelaparan ini begitu sedih dan kecewa. 

Awalnya, saya keluar mencari makanan di gerai di hadapan sekolah. Nasi air, cucur udang, pisang goreng, ayam lidi dan keropok lekor sahaja yang ada. Lama-lam jemu juga. Makanan itu sebenarnya disasarkan untuk murid sekolah, jadi tidak memenuhi selera orang tua seperti saya ini. Pun apabila kelaparan, saya tiada pilihan. Saya redah juga dalam cuaca tengah hari yang panas terik menyeberang jalan mencari sedikit juadah.

Lama-lama, saya terfikir untuk menyediakan coffee corner saya sendiri. Dengan kemudahan Lazada dan Shopee yang ada, saya membeli segalanya di situ. Jug kettle, minuman 3 in 1, gula peket, gelas dan kole, juga maggi cawan. Biskut, kekacang dan roti juga ada.

Wah! Saya seronok sungguh! Saya mengajak kawan-kawan saya untuk berkongsi ruang ini dengan saya. Mereka bebas untuk membancuh air minuman di sini, bila-bila mereka mahu. Tentu saya akan gembira dan puas hati dapat berkongsi begini. Nanti jika sambutan menggalakkan, saya mahu membeli air fryer pula. Bolehlah kami menggoreng apa-apa yang segera untuk mengisi perut sementara menanti makan tengah hari.





No comments:

Post a Comment