18 Ogos yang lalu, sebaik mendapat keputusan ujian stress (di KPJ Perdana) yang menunjukkan ada salur darah ke jantung saya yang tersumbat, saya segera ke hospital. Kali ini saya memilih HRPZII, kerana mahukan persekitaran yang baru. Entah kerana apa, saya tidak pasti. HUSM sudah terlalu kerap saya kunjungi, tetapi saya bukanlah jemu. Saya cuma mahukan persekitaran baru. Begitu.
Di aras 4, saya menuju ke kaunter pertanyaan. Jururawat itu memberi saya tarikh temujanji pada 20 Oktober. Sembilan minggu lagi saya perlu menunggu. Mampukah?
Saya berdoa agar Allah memberi saya kekuatan dan kesihatan yang baik sementara menanti tarikh itu. Ada juga rasa risau, tetapi saya yakin Allah mendengar harapan saya. Alhamdulillah, semuanya seperti yang saya harapkan. Tiada degupan jantung yang kencang tiba-tiba, dan pernafasan saya juga semakin baik selama tempoh menunggu itu.
Minggu lepas, pihak HRPZII menghubungi saya memaklumkan perubahan tarikh temujanji saya daripada 20 kepada 17 Oktober - awal tiga hari - tentulah sesuatu yang menggembirakan.
Hari ini tibalah tarikh itu.
Jam 8 pagi kami sudah turun dari rumah dengan harapan sampai awal dan diperiksa awal. Alhamdulillah, lancar sekali perjalanan kali ini. Tidak lama pun saya menunggu, sekitar dua puluh minit sahaja. Ujian ECG dan Ekokardiografi dilakukan dan keputusannya normal. Alhamdulillah.
Angiogram pula atas pilihan saya, doktor hanya mencadangkan. Mulanya saya rasa tidak perlu kerana keputusan yang sudah normal itu, tetapi suami saya kata tiada salahnya meneruskan ujian itu untuk mengetahui sebetulnya ada salur darah tersumbat atau tidak. Saya yang patuh ini akur sahaja. Tarikhnya lama lagi, Februari 2021 dan saya perlu mengisi borang permohonan dahulu.
Sementara menanti tarikh itu, saya dibekalkan ubat-ubatan yang berjenis-jenis. Semoga Allah memberi kesembuhan jua nanti.
Amin.
No comments:
Post a Comment