Hari ini bising lagi apabila jurujual wanita dibebaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan remaja dalam kemalangan pada 2017.
Kenapa bising? Kerana jurujual itu berbangsa Cina dan yang mati semuanya Melayu.
Rasis.
Semenjak PH mengambil alih teraju pemerintahan negara, isu rasis semakin menjadi-jadi. Semua perkara mahu dikaitkan dengan bangsa, dan yang menjadi mangsanya tak lain tak bukan ialah Melayu. Cina dan India sentiasa berpakat untuk menyahkan Melayu dari negara ini.
Kasihan.
Siapa?
Melayulah!
Entah bila harmoni itu akan menjadi nyata jika sentiasa salah menyalah begini. Saya mahu meletakkan punca perkara ini pada politikus-politikus yang mementingkan diri sendiri dan kuasa semata-mata. Golongan inilah sebenarnya yang suka membakar api perkauman, dan mahu melihat rakyat huru hara. Mereka sangat jahat dan tidak layak berada di negara ini jika masih enggan berubah.
Kita tidak boleh memilih mahu jadi bangsa apa, jadi mengapa mahu bertelagah?
Susah sungguh untuk ditaakul, apatah lagi ada pihak yang suka melaga-laga.
Ini petikan status Facebook Tuan Sayuti Azmi:
Lapan nyawa kanak-kanak melayang, dan yang melanggar didapati tak bersalah dari segi undang-undang.
Baca ruang komen berita, ramai tak puas hati dan memaki. Ye lah, lapan nyawa kanak-kanak. Masalahnya, bila komen berbaur politik dan perkauman sedangkan fakta kes dan asas penghakiman langsung tak ambil tahu.
Hakim sudah buat keputusan begitu kerana tiada bukti pemandu mabuk atau menggunakan telefon atau memandu secara laju atau melulu atau berbahaya untuk disabitkan kesalahan.
Akurlah dengan keputusan hakim. Tak puas hati, buat rayuan di mahkamah lebih tinggi.
Sebelum tu, emosi letak tepi dulu dan fikir secara rasional.
Siapa sangka memandu pukul 3 pagi akan bertembung berpuluh budak-budak bawah umur main basikal lajak tengah jalan besar tanpa lampu keselamatan?
Teringat waktu aku terlanggar kerbau tengah jalan dulu. Lampu jalan tak ada, tanda amaran haiwan ternakan pun tak ada. Aku pandu ikut had laju tetiba ada kerbau hitam tengah jalan. Tekan brek tak sempat berhenti juga. Terlanggar.
Salah aku ke? Salah kerbau ke? Mungkin tidak.
Yang sepatutnya bertanggungjawab ialah tuan kerbau sebab tak tambat atau kurung kerbau di tempat yang selamat.
Sampai sudah tak ada orang mengaku tuan kerbau tu. Sebab yang mati, kerbau. Bukan manusia. Bukan aku.
Bukan aku nak samakan budak-budak dengan kerbau. Nanti ada pulak yang pusing gitu.
Aku nak buat analogi untuk kes ini untuk tunjukkan ibu bapa lapan kanak-kanak malang tersebut yang sepatutnya dipertanggungjawabkan juga. Kenapa tak dakwa mereka?
Sebabnya, ibu bapa sudah menerima hukuman yang berat dengan kehilangan anak masing-masing. Mungkin kerana masih ada kekurangan dalam menjaga amanah Tuhan ini.
Jadi, tanya balik:
Adakah patut pemandu yang memandu mengikut had laju, tidak di bawah pengaruh alkohol dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu perlu dihukum kerana terlanggar sekumpulan kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di tengah jalan raya pukul 3 pagi?
Entah. Aku rasa tak patut.
Lain lah kalau dia mabuk, atau memandu laju, memandu secara melulu, atau menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Fakta kes tidak menunjukkan itu yang berlaku.
Apa pun, pemandu ini pun pasti trauma dengan kejadian. Aku yang terlanggar kerbau pun rasa bersalah sebab kerbau tu mati, tak sempat sembelih, inikan pula lapan nyawa kanak-kanak. Pasti menghantui pemandu itu seumur hidup.
Maka, tak payahlah nak kutuk atau jadi rasis.
Cukup doakan kita dan anak-anak kita tak mengalami situasi sama di masa depan.
Semoga yang terkorban tenang di alam sana.
No comments:
Post a Comment