Wednesday, October 09, 2019

Susah?

Saya baru sahaja keluar dari kelas Matematik Tingkatan 5 Ibnu Haitam dan kepala saya sedikit pusing. Pening. Penat. Aduh!

Bagaimana tidak penat, apa yang saya terangkan di papan putih dengan penuh perasaan untuk soalan pertama, mereka tidak dapat faham pun. Seorang demi seorang datang ke meja saya meminta saya menerangkan semula. Secara individu. Satu persatu. Berkali-kali. Mahu tidak penat?

Hairan saya. Begitukah mereka belajar? Pada hal saya bukan memulakan pelajaran baru. Ini ulangkaji bab yang sudah dipelajari sejak tingkatan dua. Teruk benar!

Mahu kata apa lagi, penat-penat begini terpacul juga kata-kata yang tidak enak walaupun sehabis daya saya bertahan. Terasa geram kerana mereka seperti tidak tahu apa-apa. Tidak tahu langsung, susah mahu saya jelaskan. Tajuk Penjelmaan bukanlah perlukan pengiraan pun, hanya pemerhatian sahaja. Soalan (a) cuma menentukan imej sahaja. Soalan (b) mengenalpasti gabungan penjelmaan yang terlibat apabila diberi objek dan imej. Soalan (c) mengira luas imej apabila diberi luas objek. Semua sepuluh soalan yang saya beri itu begitulah susunannya. Soalan satu saya terangkan sebagai contoh dengan harapan soalan-soalan seterusnya mereka dapat buat sendiri.

Rupanya tidak. Salahkah jika saya kecewa?

Ini Matematik. Bukan Matematik Tambahan. Matematik yang sangat asas, tetapi mereka tidak nampak dan saya menjadi buntu. Terasa seperti tidak masuk akal benda mudah seperti ini pun tidak faham. Entah bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan? Pemikiran logik mereka tiada langsung, begitu kesimpulan saya.

Jika beginilah cara berfikir anak-anak zaman ini, saya tidak tahu bagaimana mahu mengharap pada kepimpinan generasi mereka pada masa hadapan.


No comments:

Post a Comment