Saturday, October 12, 2019

Surat Ayah

Sejak saya berada jauh dari keluarga pada usia sementah tiga belas, ayah selalu mengirim surat. Uniknya surat ayah, ia bertulis jawi. Tulisan jawi ayah cantik, dan isi surat ayah pula ringkas. Tidak pernah penuh pun sehelai muka surat. Saya selalu ternanti-nanti surat ayah dan hati saya riang sekali menerimanya. Saya akan menunjuk-nunjuk pada kawan-kawan saya surat ayah itu. Rasanya sayalah yang paling kerap menerima surat daripada ayah berbanding kawan-kawan saya. Kenapa? Kerana ayah kawan-kawan saya senang untuk datang melawat, jadi tidak perlulah mengirim surat. Ayah saya sukar meluangkan masa menjenguk saya kerana kekangan tanggungjawab, jadi suratlah sebagai penghubung kata.

Surat-surat ayah terus mendatangi saya sehinggalah saya berada di matrikulasi. Apabila telefon rumah sudah ada pada Januari 1991, surat ayah mula jarang tiba.

Sayangnya, surat-surat itu tiada lagi dalam simpanan saya. Saya tidak pernah membuangnya malah elok tersimpan sehingga saya tamat MRSM dan Matrikulasi, tetapi ia tidak dapat dikesan lagi kini. Saya syak surat-surat itu sudah menjadi abu kerana disangka sampah dan dibakar bersama-sama sampah lain. Tidak mengapalah, walaupun fizikalnya sudah tiada, kenangannya tetap abadi.

Surat ayah yang paling bermakna saya terima pada Disember 1990 sewaktu saya berada di Matrikulasi UKM Kulim. Keputusan peperiksaan saya yang tidak cemerlang, hanya mengutip 2C (English dan Biologi) dan 3D (Matematik, Kimia dan Fizik) mendetikkan keresahan di hati ayah lalu dia menghantar surat bermakna itu untuk saya.

Surat itu masih bertulisan jawi, tetapi kali ini ayah menaipnya. Ada tiga perenggan dalam sehelai muka surat dan setiap perenggan berisi kata-kata nasihat yang sehingga ini masih segar dalam memori saya. Ayah menyebut nama saya pada setiap perenggan, dengan susunan kata-kata yang menyentuh tetapi indah dan menenangkan.

Katanya, saya seorang yang bertuah kerana terpilih belajar di tempat yang saya suka, dan sudah diberi tajaan MARA walaupun dalam bentuk pinjaman. Kata ayah lagi, saya perlu menghargai setiap kurniaan ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi contoh untuk adik-adik. Ayah turut menyelit sepotong ayat Quran dari surah Ibrahim ayat 7.


Juga terlampir bersama surat itu ialah keratan akhbar tentang keputusan peperiksaan SRP 1990 adik saya, Noor Aziah yang cemerlang. Dia berjaya mendapat 7A1 dan 1A2 dalam SRPnya itu dan tertulis di dada akhbar sebagai antara pelajar cemerlang Maahad Muhammadi.

Begitu ayah memberi saya perangsang dan motivasi, tanpa sepatah kata marah pun dengan keputusan saya itu. Saya benar-benar terkesan dan surat itu saya simpan dan tampal di dinding meja belajar saya sehingga ke universiti. Kawan-kawan saya yang membaca surat itu begitu kagum dengan keprihatinan ayah kepada saya. Saya menjadi bangga dalam terharu dan begitu berkobar-kobar untuk memberi yang terbaik untuk ayah dan keluarga.

Walaupun ayah sudah lama pergi, setiap kenangan antara ayah dan saya kekal selamanya dalam ingatan. Semoga Allah menjaga ayah dalam sebaik-baik jagaan di alam sana.


No comments:

Post a Comment