Ada beberapa perkara yang saya mahu luahkan di sini, untuk saya simpan sebagai pengalaman dalam mengurus perasaan sendiri. Bekerja dalam persekitaran yang pelbagai tentunya ada banyak yang perlu saya lalui dan ketabahan hati itu adalah sesuatu yang mesti ada.
Sejak beberapa minggu lalu, ada pelajar praktikal yang datang menjalani latihan perguruan di sekolah ini. Bukanlah praktikal mengajar pun, sekadar orientasi sekolah sahaja selama beberapa hari dan minggu. Dua daripada mereka ialah anak saudara saya iaitu Farah Ayuni (selama lima hari) dan Khairul Aiman (selama empat minggu) bermula 25 Ogos. Mereka tidak diberi jadual mengajar, hanya mengganti guru yang tiada sahaja.
Apabila pelajar-pelajar ini ada, maka wujudlah guru-guru yang mula mengambil kesempatan. Ada urusan sedikit, minta pelajar ini menggantikan. Pernah dalam sehari mereka menggantikan sehingga enam kelas dan ini sangat tidak patut. Jika keadaan memang mendesak, mungkin ia boleh dipertimbangkan tetapi jika memang mengambil kesempatan, guru-guru berkenaan sudah hilang nilai integriti. Lebih meresahkan, apabila saya sentiasa menjadi perantara dalam meminta pertolongan. Maklumlah, saya ini ibu saudara jadi tolong beritahu anak saudara tu gantikan kelas saya pada pukul sekian sekian sebab saya ada urusan. Eh, tak boleh ke beritahu sendiri?
Mungkin itu antara fungsi guru praktikal yang saya tidak tahu.
Seterusnya, apabila aplikasi SAPS sudah perlu diisi, saya sebagai guru yang bertanggungjawab menguruskan SAPS meminta semua guru menyelesaikan pengisian markah TOV dan ETR dengan kadar segera. Saya sudah lampirkan nama pengguna dan kata laluan di dalam grup WhatsApp sekolah dan memaklumkan markah PKBS1 perlu menjadi TOV untuk tingkatan 1 dan 4. Rasanya sudah cukup jelas.
Apa yang berlaku seterusnya merobek jiwa saya. Satu demi satu panggilan dan pesanan saya terima bertanyakan nama pengguna dan kata laluan walaupun sudah ditulis dalam grup. Lebih menyedihkan, mereka turut meminta markah PKBS1 daripada saya untuk diisi dalam SAPS. Hairan, sebagai guru bukankah markah murid wajib disimpan dalam fail? Lalu apa yang mereka buat selama ini dengan markah ujian murid? Bayangkan berapa banyak kertas membazir hanya untuk mencetak markah daripada perisian saya yang sepatutnya sudah mereka ada. Saya bertanya juga, jawapan mereka malas mahu cari. Aduh!
Sekarang musim peperiksaan bagi tingkatan lima. Jadual pengawasan adalah berdasarkan jadual peribadi dan guru tiada di sekolah, jadualnya akan ada pengganti. Nampaknya banyak kali juga guru yang menjadi pengganti itu alpa dan gagal hadir ke kelas pada waktu yang sepatutnya. Ini sangat menyedihkan dan setiap kali peperiksaan masalah ini sukar diatasi. Sungguh saya tidak tahu kenapa.
Dan begitu luahan saya kali ini. Semoga pada hari-hari mendatang masalah sebegini akan ada penyelesaiannya.
No comments:
Post a Comment