Wednesday, September 23, 2020

Angiogram

Semalam, jam 11.50 pagi bertempat di HUSM saya melalui prosedur ujian Angiogram untuk mendiagnos salur darah pada kawasan jantung saya.

Kenapa doktor mencadangkan saya menjalani prosedur ini?



Sejak 2014 lagi jantung saya berdegup kencang secara tiba-tiba. Denyutan sehingga mencapai bacaan 156 seminit, menyebabkan saya berpeluh, tercungap-cungap dan hanya mampu terbaring. Jika bangun bergerak saya akan mengah dan kepenatan. Dada juga berasa sakit.

Semakin tahun ia berlaku semakin kerap sehingga mengganggu aktiviti harian saya. Bila ke klinik, pemeriksaan ECG saya normal, jadi saya tidak teruskan dengan rawatan di hospital.

Sehinggalah pada Julai 2019, saya melakukan pemeriksaan ECG di klinik Ehsan, Ketereh dan kata doktor ada 'changes' pada bacaan ECG itu dan saya dirujuk ke HUSM.

Selama 3 hari saya diwadkan dan doktor mendiagnos saya mengalami unstable angina. Saya diberi temujanji untuk stress test dan angiogram. Dan tarikh temujanji itu tersangatlah lambat.

Pada Ogos 2019, saya ke KPJ Perdana untuk melakukan stress test di sana, dan keputusannya positif. Dr. Suhairi merujuk saya ke HRPZ untuk angiogram. Seperti biasa, tarikh angiogram yang saya terima sangat lambat iaitu pada Februari 2021.

Dalam menanti tarikh itu, saya berkali-kali mengalami degupan jantung kencang tiba-tiba. Ada yang sekejap hanya sejam dua, dan ada yang lama berjam-jam.

6 Ogos lepas, ia berlaku lagi dan kali ini ia sangat lama. Jam 2 petang saya mengalaminya, 7 malam pun belum pulih. Saya lalu menuju ke HUSM, wad kecemasan.

Kali ini doktor mendiagnos saya mengalami SVT dan mencepatkan tarikh angiogram saya ke 22 September. Dan semalam saya melaluinya.

Jam 12.25 tengah hari prosedur angiogram saya selesai dan keputusannya normal. Tiada salur darah yang tersumbat.

Jadi apa seterusnya?

Doktor mengatakan kemungkinan ada masalah signal yang tidak normal pada jantung saya. Rawatan saya akan disambung di HRPZ kerana kepakaran SVT ada di sana.

Doakanlah segalanya dipermudahkan untuk saya.



No comments:

Post a Comment