Sunday, September 20, 2020

Esok

Jantung saya berdegup, tetapi tidaklah kencang. Saya baru sampai ke kelas dari bilik saya yang jaraknya cuma 100 meter tetapi perlu menaiki tangga dua aras. Memang naik tangga ini satu penyeksaan untuk saya, tetapi saya melangkah juga perlahan-lahan.

Hari ini peperiksaan Tingkatan 4 bermula. Legalah sedikit rasanya kerana boleh duduk-duduk di bangku semasa murid menjawab soalan. Sambil itu, saya menulisi ini.

Ada dua tiga hal saya mahu kongsi kali ini.

Hal satu, pengisian Hrmis Job Description yang diarah untuk selesai sebelum 27 haribulan ini. Tidaklah susah pun, boleh saja saya siapkan pengisian untuk saya dan untuk suami pada pagu semalam. Leceh, sebab banyak benar salin tampalnya tetapi susah tu tidaklah. Alhamdulillah selesai. Cuma rungutan-rungutan yang kedengaran memang perkara biasa. Sudah jadi budaya, merungut itu sebahagian daripada kerja.

Hal dua, tiba-tiba tarikh deadline markah SAPS dicepatkan ke esok, awal selinggu dari tarikh yang diberi sebelum ini. Tuan Pengetua yang mengubahnya atas kuasa dia. Saya ok saja, menurut perintah, walaupun baru 35 peratus siap. Arahan itu dimaklum pada Khamis, dan saya sudah pulang ke rumah. Malaslah saya mahu ke sekolah mengambil kertas. Jadi saya rancang untuk siapkan hari ini. Alhamdulillah dah siap 67 peratus. Tinggal lagi 33 peratus dan insya Allah jam 4 petang nanti semua beres.

Dan hal tiga, esok saya akan masuk wad HUSM 7 Utara untuk angiogram. Doakan semoga semuanya dipermudahkan. Mungkin saya nampak rileks, tetapi hati di dalam hanya Allah maha tahu.

No comments:

Post a Comment