Tersenyum saya. Bahagia bila doktor ingat kewujudan kita. Ya, ada bahagia juga walaupun terpaksa bertapa di sini, di tempat yang tak siapa pun suka.
Hari ini, suami tersayang menghantar saya kembali ke wad 7 Utara untuk menanti rawatan Angiogram pada esok. Seawal jam 7.05 pagi kami turun, dan tiba di HUSM pada jam menghampiri lapan. Kami bersarapan di Kopitiam Lestari di sini, dan seterusnya menuju ke klinik Kardio untuk ujian Echo. Jam sembilan setengah lebih kurang, kami ke wad 7 Utara tetapi katil penuh. Saya diminta menanti di transit bay, dan pada jam 12.55 barulah dipanggil masuk untuk menghuni katil 35. Alhamdulillah.
(Sempat saya dan suami turun minum di Gloria Jeans Coffee di aras bawah hospital ini, sekadar mahu mencuba tetapi mahal gila!)
Apabila sudah diberi katil, saya bolehlah berehat dan suami pun bolehlah pulang. Katanya petang nanti dia datang lagi.
Saya makan tengah hari dengan nasi yang dibeli kerana nasi hospital sudah diagih sebelum saya check in tadi. Kemudian saya selesaikan solat Zohor dan Asar secara jamak tamam kerana selepas ini rawatan saya akan datang bertimpa-timpa.
Benarlah, bermula dengan mengambil tekanan darah, menjawab soalan-soalan doktor tentang sejarah penyakit saya, saya dibawa pula dengan kerusi roda ke tempat x-ray. Lamalah juga menunggu, hampir tersengguk saya. Rasa segan pula kita yang sihat ini ditolak dengan kerusi roda. Dahlah misi tu kiut benar, kesian dia menolak si badan besar ini.
"Sampai sini je lah dik, akak boleh jalan ke katil". Setiba di kaunter wad itu, saya mohon untuk turun dari kerusi roda.
"Tak pe ke kak?"
Saya kesian tengok dia, biarlah saya berjalan dua tiga langkah. Tak apa dik!
Sebaik tiba di katil, tekanan darah saya diambil lagi. Kemudian lengan pula dicucuk untuk ujian darah, juga bacaan gula diambil (5.7).
Tidak sempat lena, mereka datang untuk ECG pula. Begitulah. Siapa kata saya boleh tidur? Harapnya malam ini tidaklah terlalu banyak gangguan.
Sekarang jam 5:18 petang. Saya menanti suami tiba, dan juga makan malam saya.
No comments:
Post a Comment