Sunday, September 27, 2020

Berkongsi

"Nah, ambil ni buat minum air dalam perjalanan nanti.."

Suami saya menghulur sekeping not lima puluh kepada anak saudaranya yang akan bertolak balik ke Johor esok, dan sekeping lagi kepada si adik yang akan balik ke UPSI hujung minggu nanti.

Kedua-duanya kelihatan teruja, dan berterima kasih kepada suami saya. Apa tidaknya, si abang sudah pun berusia tiga puluh tahun dan ada isteri, seperti tidak sesuai lagi dihulur begini. Si adik pula walaupun masih belajar, tetapi kan ada PTPTN? Begitu agaknya perasaan hati mereka.

"Alah, Pakcik ni duit dia macam kertas je.."

Tiba-tiba si ibu bersuara. Saya faham maksudnya. Ia satu pujian untuk suami saya yang tidak lokek berbagi apa yang ada. Terima kasih (bagi pihak).

Alhamdulillah. Ya, suami saya seorang yang tidak lokek. Berkira mungkin, tetapi sekadar untuk tidak berlebihan dalam berbelanja yang bukan-bukan. Tetapi bab memberi, dia sungguh pemurah. Buktinya, gajinya sebulan sepenuhnya dibawah seliaan saya. Dia tidak kisah saya mahu buat apa dengan gajinya. Saya bebas mengurus setiap sen duitnya dan dia tidak pernah curiga.

Dengan kepercayaannya itu, saya menjadi begitu bijak menyusun bajet. Memang semua urusan bayaran bil dan pinjaman saya buat dengan berhati-hati agar seimbang antara kami. Jangan nanti hanya dia menanggung semuanya, sedang saya berjoli sakan dengan gaji sendiri. Tidaklah saya seteruk itu. 

Apabila pinjaman rumah dan dua buah kereta serta bil-bil sudah dibayar dengan gaji suami, maka tidaklah salah jika saya menyudikan diri untuk memberi duit belanja bulanan kepada ibunya dan ibu saya, juga membayar untuk barangan dapur setiap kali kami membeli belah pada hujung minggu. 

Selain itu, kami turut ingin bersedekah sebanyak yang boleh pada setiap bulan. Dalam era teknologi zaman sekarang, perkara ini tidak susah. Saya boleh sahaja mencari maklumat tentang badan kebajikan tempatan atau luar negara untuk menyumbang secara berkala. Untuk kaum kerabat sendiri tentu lebih mudah kerana hanya perlu menggunakan perbankan internet yang di hujung jari sahaja.

Alhamdulillah, kami bersyukur amat dengan kurniaan rezeki dari Allah ini. Semoga kami dapat terus berkongsi seupaya yang boleh, dan membantu mereka yang memerlukan.


No comments:

Post a Comment