Saturday, October 30, 2021

Tersirat

Masih teringat kecoh juga pada sekitar setahun lalu apabila DBP mengongsi pantun di atas pada laman Facebooknya. Ramai wanita menganggap betapa tidak adil serta rendahnya pandangan terhadap wanita apabila membaca pantun ini.
Saya pun, sekali baca memang begitulah yang saya fahami. Umpama martabat wanita itu terletak pada urusan dapur sahaja.

Mujur ada penjelasan tuntas dari Puan Nisah Haron, pencerahannya melegakan saya. Rupanya tersirat maksud yang lebih mendalam yang bila direnung dan ditenung, itulah yang sebenarnya yang mahu ditegaskan dalam pantun lama ini.

Mari kita teroka. Kita lihat dahulu pembayangnya. 

"Apa guna berkain batik, kalau tidak memakai capal."

Jelas di sini teguran ini ialah untuk seorang individu yang berkain batik tetapi tidak memakai capal. Individu itu seorang sahaja. Dia berkain batik, dan dia tidak memakai capal.

Seterusnya kita baca maksudnya pula, 

"Apalah guna beristeri cantik, kalau tak pandai menumbuk sambal."

Kata-kata ini dituju kepada seorang lelaki, iaitu apa guna "lelaki" beristeri cantik kalau "lelaki" tak pandai menumbuk sambal. Jelas, tak pandai menumbuk sambal bukan dituju pada isteri cantik tetapi kepada lelaki yang beristeri cantik. Sama seperti dalam pembayang, tidak memakai capal dituju kepada individu yang berkain batik.

Boleh nampak?

Tetapi persoalannya, kenapa lelaki menumbuk sambal pula? Bukankah dalam masyarakat Melayu tugas lelaki mencari nafkah, manakala menyediakan makanan di rumah pula tugas isterinya?

Rupanya menumbuk sambal itu bahasa kiasan. Orang dulu memang sungguh berlapik dalam berkata-kata untuk mengekalkan kesopanan. Menumbuk sambal di sini maksudnya ialah seni hubungan intim suami dan isteri.

Jadi maksud pantun ini sebenarnya dituju kepada lelaki, sebagai sindiran kepada mereka yang selalu bercita-cita mahukan isteri cantik tetapi seni melayan isteri tidak pernah dipentingkan.

Sekian.

Friday, October 29, 2021

Sos Cili

Dah bertahun-tahun rasanya saya tidak membeli sos cili. Entah kenapa, dari saya kecil hingga sudah tua kini saya seperti tidak mesra dengan sos cili. Pada saya, sos cili itu tidak sedap.

Makan KFC, saya tidak ambil pun sos cili. Makan keropok keping atau keropok lekor, saya lebih suka sos pencicah (dipping sauce) atau sos yang diberi bersama keropok ( sos cili kering) atau saya makan begitu saja, tak payah sos.

Dalam masakan, saya langsung tak pakai sos cili. Mihun goreng, mi goreng, nasi goreng, semua saya buat tanpa sos cili.

Memang saya tak suka sungguh sos cili.

Saya tengok kawan saya, kalau makan mi goreng atau mihun goreng mesti dituangnya sos cili. Eh, sedap ke? Nasi goreng pattaya pun, kalau saya pesan di kantin mesti saya beritahu tukang masak jangan letak sos cili.

Kenapa saya tak suka sos cili?

Entah. Mungkin rasanya yang manis, menyebabkan hilang kesedapan asal makanan utama. Contohnya, ayam KFC sedap kerana rempah ratusnya. Bila dicicah sos, hilang rasa asal rempah, yang terasa hanyalah sos cili. Jadi rosaklah keenakan ayam itu.

Tak gitu?

Eh, pasal sos cili pun nak dikongsi ya. Haha!

Thursday, October 28, 2021

Mohon Doa

Bekas Pengetua SMK Kampong Chengal, Tuan Haji Un bin Mat sekarang sedang berada dalam keadaan kritikal di Wad 1 Kristal HUSM.
Beliau menjalani pembedahan jantung  pada 9 Oktober lalu, kerana saluran jantungnya tersumbat. Selepas beberapa hari, beliau pulih dan sudah boleh berjalan perlahan-lahan, tetapi takdir Allah yang tidak terduga, pada dua hari lepas beliau tiba-tiba muntah darah. Doktor menidurkan beliau, dan sedang berusaha memberi rawatan terbaik agar beliau pulih kembali.

Doakanlah untuknya. Isteri dan anak-anaknya sedang menanti dalam harapan. Semoga beliau sembuh kembali, dan dapat terus menyumbang bakti di dunia ini.

Tuesday, October 26, 2021

Mutawwif

Sekarang umrah sudah dibuka untuk rakyat Malaysia, ramai yang mula mencari ruang dan masa untuk menziarah tanah haram. Saya pun teringin juga, tetapi nanti-nantilah. Insya Allah ada rezeki saya ingin ke sana lagi. Semoga Allah izinkan.

Setelah lima kali menjejak kaki ke bumi Makkah dan Madinah, saya ingin simpulkan beberapa perkara di sini. Semoga ada manfaat dari apa yang saya kongai ini.

Pertama, apabila ada yang bertanya saya, mahu haji dahulu atau umrah dahulu, jawapan saya ialah terpulang. Rezeki saya Allah beri haji dahulu kerana giliran saya tiba sewaktu usia masih muda - 38 tahun. Bagi yang masih menunggu giliran yang entah bila, saya sarankan berumrahlah dahulu jika mampu. Keberkatan menziarahi tanah suci sangat banyak, dan usahlah dilewatkan jika masa sudah ada. Selalu orang kita beralasan dengan kesukaran untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil, tetapi pada saya, hendak seribu daya. Usah bertangguh jika sudah ada masa dan wang, kerana berada di tanah suci adalah impian semua umat Islam. Sekali kita merasai aura Haramain, kita akan merindu sepanjang hayat.

Kedua, mahu memilih agensi yang bagaimana? Nasihat saya, pilihlah agensi yang boleh dipercayai untuk mengelak ditipu. Bukan sedikit orang Malaysia yang terpedaya dengan agensi jadi-jadian, beribu ringgit duit terbang begitu sahaja. Di sini kita perlu bijak mencari maklumat. Usah terpedaya dengan harga murah, sebaliknya pilihlah agensi yang sudah ada nama, dan terbukti kecekapannya. Saya suka mencari maklumat dahulu sebelum memilih agensi dan Alhamdulillah, Al-Quds dan Emraz memang terbaik dalam pengurusan jemaahnya.

Ketiga, saya sarankan agar persediaan untuk berumrah dititik beratkan dalam segala aspek iaitu ilmu, disiplin dan kesihatan kita. Jangan terlalu bergantung kepada mutawwif kerana mereka perlu menjaga jemaah yang ramai. Saya kasihan melihat mutawwif bekerja, sangat penat. Kadang-kadang saya seperti mahu menyuruh mereka berehat, tetapi begitulah. Cubalah kita ringankan sedikit tugas mutawwif dengan bekal ilmu di dada kita, serta patuh pada jadual yang ditetapkan.

Mutawwif ini ada pelbagai sikap. Alhamdulillah semua mutawwif yang saya ikuti baik-baik dan prihatin belaka. Saya masih ingat nama semuanya. Ustaz Alias Daud (haji 2010 - muassasah), Ustaz Abdul Bari (umrah 2013 - Al-Quds), Ustaz Tarmizi (umrah 2014 - Al-Quds), Ustaz Adni (umrah 2017 - Al-Quds) dan Ustaz Abu Dzar (umrah 2020 - Emraz). Semoga Allah merahmati mereka semua di dunia dan di akhirat.

Seterusnya, mahu masuk Madinah atau Makkah dahulu? Saya sudah merasa kedua-duanya dan pada saya, lebih selesa jika ke Makkah dahulu. Tetapi jika kali pertama menziarah, ke Madinah dahulu ada kelebihannya. Penerbangan yang lama memang memenatkan. Jika masuk Makkah dahulu kita tidak sempat berehat kerana sesampai di sana perlu terus selesaikan rukun umrah dengan bertawaf dan saie yang memerlukan tenaga. Jika masuk Madinah, kita boleh berehat dahulu sebelum mengumpul kembali tenaga untuk berumrah. 

Akhir sekali, mahu memilih hotel mana? Jika anda mampu, pilihlah hotel yang dekat iaitu kurang 300 meter dari masjid. Tetapi jika mampu, tiada salahnya jauh sedikit kerana pada saya seronok juga berjalan kaki pada jarak sehingga 600 meter. Selain membakar kalori, dapat juga singgah di kedai-kedai yang berderet sepanjang jalan. Jika hotel kita dekat, kita perlu mencari masa lain pula untuk membeli belah, seperti yang berlaku sewaktu saya menginap di Anjum dahulu. Walaupun membeli belah itu bukan agenda utama, tetapi apa salahnya membantu ekonomi mereka bukan?

Sewaktu haji dahulu, hotel saya hampir 800 meter dari masjid. Setiap hari saya berjalan pergi balik, empat kali. Natijahnya, selepas 7 minggu di sana, saya pulang ke Malaysia dengan berat cuma 76 kg. Saya membakar lemak saya hampir 10 kg. Siapa tak seronok begitu?

Friday, October 22, 2021

My Wish

I am going to be fifty in less then three months, and very proud to be in this five series age. Of course I am ageing, no denying in it. I can see more deeper lines on my forehead, and my strength has deteriorated but I will never forget to thank Allah for all His blessings, and let me still be in this world today. Life has been beautiful for me, even though many things change. 

I am so blessed to be surrounded by nice and kind people - be it from my own family, or those who came later in my life as friends, colleagues, students, in laws, and social media contacts. Not forgotten those sellers who are very kind to offer me various items that I can access just in minutes and at fingertips!

Everyone is special to me. They come into my life as God's gifts and I do appreciate the colors they paint, the joy they bring and the experience they give. They are very precious in their own ways, and I will make sure that Allah will reward all of them with Jannah for making my life beautiful.

Alhamdulillah. I pray to Allah to protect us all from any harmful things, and let us live in this world peacefully, without any wars and pandemics.

Thursday, October 21, 2021

Nafsu

Satu video yang viral semalam, yang memaparkan beberapa artis lelaki bergelak ketawa tentang isu rogol sambil menyebarkan aib seorang pelakon wanita sangat jijik dan memalukan.
 
Penceritaan sebodoh itu boleh pula lepas untuk tayangan di saluran 107 Astro. 
 
Bagi mereka begitulah gurauan. Begitulah lawak. Dan begitulah perempuan - hanya objek untuk dilawak dan diketawakan. Dijadikan jenaka pemuas nafsu serakah lelaki-lelaki yang tidak boleh diharap langsung untuk berwatak sebagai seorang pelindung.

Dalam diri perempuan saya, seorang lelaki yang saya dambakan ialah lelaki matang yang nafsunya bukan raja. Lelaki budiman di pandangan saya ialah lelaki yang ada malu dan segan untuk berbicara tentang batang tubuh perempuan, lebih-lebih lagi di khalayak. Lelaki yang saya hormati ialah lelaki bijak yang melindungi perempuan sama ada perempuan itu ahli keluarganya atau bukan.

Itu lelaki saya, tetapi entah di mana.

Lelaki yang saya temui di persekitaran kini hanyalah lelaki-lelaki yang menganggap nafsu mereka itu terlalu penting dan memerlukan perempuan untuk diguna. Perempuan pula perlu berdikari menjaga diri sendiri, menjaga anak-anak dan menjaga suami. Peranan perempuan menjadi sangat kompleks, tiada definisi tepat boleh diberi kerana lelaki-lelaki yang ada kini terlalu bodoh dan mementingkan nafsu semata.

Lelaki yang saya maksudkan ini terlalu ramai spesisnya di Malaysia, dan terdiri dari golongan Melayu Islam. Sungguh!

Saya malu.

Tetapi begitulah. Mengenali lelaki-lelaki sekitar saya, saya menjadi fobia dan trauma. Mereka bukan lelaki dambaan yang boleh melindung perempuan!

Monday, October 18, 2021

Logik

Lama benar saya tidak menonton drama baru di tv. Selalu yang saya ulang tonton ialah filem-filem Melayu lama yang ditayang hampir setiap malam di saluran Awesome (CH123 Astro).

Okay lah, sebenarnya tidaklah lama sangat, tetapi sudah jarang-jarang. Yang paling baru saya tengok ialah Cik Ayu Mee Sanggul sekitar sebulan yang lepas. Drama itu okay, tiada babak tidak logik yang menyebabkan saya tukar siaran. 

Apabila saya menonton sesuatu cerita, saya membayangkan sebuah realiti. Saya tahu ia hanya lakonan, tetapi saya mahu sesuatu yang hidup dalam logik. Itulah yang sudah semakin tiada dalam drama sekarang.

Apa logiknya tidur memakai tudung? Itu contoh yang paling kerap dan sangat biasa dalam drama sekarang.

Saya faham mereka mahu patuh syariah, tetapi kenapa diadakan babak dalam bilik tidur bagi artis berhijab? Galilah idea lain supaya artis berhijab ini tidak terlibat dalam adegan bilik tidur. Kemesraan pasangan suami isteri bukanlah hanya boleh digambarkan di bilik sahaja. Jika perlu juga ada babak di bilik tidur dan berhijab, perahlah idea agar ia nampak logik. Baru lepas solat ke, tengah bersiap nak keluar kerja ke, atau baru balik rumah dan belum sempat tukar baju ke. Baru logik.

Adegan berbaju tidur tetapi bertudung di atas katil di sebelah suami sangatlah tidak boleh saya terima!

Thursday, October 14, 2021

Konsep

Tahun 1988, saya melangkah ke Tingkatan 4.

Saya berkenalan dengan Matematik Tambahan dan jatuh cinta pada cabaran dan keindahannya. Guru yang bertanggungjawab membina kasih saya pada mata pelajaran ini ialah Cikgu Ahmad Kamal. Dia seorang yang selamba, tetapi hebat. Saya menggemari cara penerangannya terutama apabila membuktikan identiti trigonometri. Sangat seronok!

Cuma, pada bab-bab awal, sebelum ujian Mac (kalau tidak silap) berlangsung, kami ketinggalan sedikit. Bab persamaan serentak tidak sempat habis sebelum ujian. Jadi persamaan serentak tiga pembolehubah tidak sempat lagi diajar tetapi ada soalan berkenaan dalam ujian.

Saya dapat menjawab dan memperoleh markah penuh untuk soalan itu walaupun cikgu belum ajar.

Terasa hebat pula!

Sebenarnya, saya mengaplikasi sahaja apa yang sudah saya belajar. Apabila saya benar-benar faham konsep penghapusan dan penggantian bagi penyelesaian persamaan serentak dalam dua pembolehubah (yang sudah dipelajari sewaktu menengah rendah), saya sesuaikan dengan yang tiga pembolehubah pula dan ia menjadi. Waktu itu saya seronok, dan sekarang saya dapat kaitkan dengan kefahaman konsep.

Bila pelajar faham konsep, pusinglah soalan macam mana pun dia akan dapat jawab. Add Maths bukan hafalan, tetapi kefahaman dan kemahiran. Kefahaman dan kemahiran lebih tahan lama berbanding hafalan. Contohnya, sampai sekarang saya tidak pernah menghafal nilai nisbah trigonometri bagi sudut asas, tetapi saya boleh menyatakannya dengan tepat (tanpa kalkulator) apabila ditanya dengan cara melukis rajah segitiga kerana saya faham konsep segitiga dan nisbah trigonometri.

Begitu pentingnya memahami konsep, dan begitu rapuhnya hafalan dalam belajar Add Maths. Sayangnya, kita gagal membina kefahaman sebegini dalam kalangan pelajar kita. Kita sibuk dengan teknik menjawab, sedangkan itu bukan pokok utama.

Saya cintakan Add Maths, tetapi semakin hari kualiti pelajar saya semakin teruk. Saya tidak tahu di mana silapnya.

Monday, October 11, 2021

Balik Kampung

Jam 3 petang semalam, secara langsung di kaca tv, Perdana Menteri yang kita kasihi, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob mengumumkan yang kerajaan telah bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran PDRM bermula Isnin 11 Oktober 2021.
Semua pun gembira dan bahagia dengan pengumuman ini, yang menamatkan resah rindu sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap keluarga di kampung masing-masing. Tidak terkata syukur dan terima kasih, dan mereka pastinya tidak sabar-sabar untuk memulakan persiapan pulang bertemu ayah bonda.
Dah rupa hari raya pula!
Maka berkumandanglah lagu Balik Kampung di corong-corong radio, mengiringi kegembiraan semua. Eh, lagu raya tu! Kata semua orang.
 
Bukan. Lagu Balik Kampung sebetulnya bukan lagu raya. Lagu ini terkandung dalam album Sudirman yang berjudul "Lagu dari Sebuah Bilik" yang diterbitkan pada 1984, dan lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh Sudirman sendiri (melodi dan lirik). Lagu ini selalu ada di radio pada tahun 1984 dan 1985, sehingga saya menjadi hafal liriknya dengan sendiri.

Sebelum ia djadikan lagu hari raya, saya selalu menyanyikan lagu ini semasa berada di MRSM dulu setiap kali mahu pulang ke kampung. Memang liriknya sangat kena dan tepat atas batang hidung kami anak-anak asrama yang setiap hari teringatkan kampung. 
 
Tiba-tiba, sekitar tahun 90-an, lagu ini selalu disiar apabila raya menjelang. Malah dalam album raya yang saya beli pun terkandung lagu ini, pada hal sepatah kata raya dan kata maaf pun tiada dalam liriknya. Mungkin kerana sinonimnya hari raya dan balik kampung dalam kalangan rakyat Malaysia, dan iramanya yang catchy dan seronok dilayan menyebabkan ia serasi dengan hari raya.

Jadi apabila radio memutarkan lagu ini bukan pada musim raya, ia kedengaran janggal. Dalam media sosial ramai yang menyuarakan tentang pelik mereka mendengar lagu ini pada hal bukan hari raya. Begitu masa dan suasana mengubah banyak perkara. Sungguhlah dunia ini ialah siri perubahan dan semua benda akan berubah kecuali perubahan jualah yang tetap. Eh?

Perjalanan jauh tak kurasa
kerana hatiku melonjak sama
ingin berjumpa sanak saudara
yang selalu bermain di mata
 
Nun menghijau gunung ladang dan rimba
langit yang tinggi bertambah birunya
deru angin turut sama berlagu
semuanya bagaikan turut gembira
 
Balik kampung, balik kampung, balik kampung
hati girang
 
Balik kampung, balik kampung, balik kampung
hati girang
 
Terbayang wajah-wajah yang kusayang
satu-satu tersemat di kalbu
pasti terubat rindu di hati
menyambut kepulanganku nanti

Friday, October 08, 2021

Sekolah


Selasa lepas, Pengetua sekolah saya melalui Google Meet pada jam 2.30 petang meminta kami para guru SMK Kamgpong Chengal untuk hadir ke sekolah pada Rabu dan Khamis bagi memastikan kesiapan menerima murid pada hari persekolahan tidak lama lagi. Kehadiran kami tentulah dengan mematuhi SOP dan hanya untuk persiapan bilik dan kelas, tidak boleh berkumpul ramai-ramai apa lagi berjamu makan.

Walaupun dalam SOP yang ketat, saya sungguh teruja. Hampir enam bulan saya melupai sekolah saya, rindu yang dikandung sarat sungguh. Rindunya pada persekitaran kerja saya, pada aroma yang hanya saya tahu.

Jam 8.30 pagi Rabu itu, dengan hati berbunga-bunga saya menuju ke sekolah dihantar suami. Setiba di pagar, saya disambut dengan senyuman mesra adik pengawal keselamatan yang kacak itu. Di lobi, sudah menunggu beberapa orang guru tetapi saya menyapa sahaja kerana enggan meramaikan jumlah. Saya terus menuju ke bilik saya di aras dua, dengan penuh rasa teruja.

Langkah diatur, salam dihulur. Suasana masih sama, tiada apa yang berbeza. Meja saya kemas seadanya, cuma pendingin hawa sudah tidak mahu berfungsi.

Saya menuju ke meja komputer, dan menekan butang kuasanya. Gelap. Ah sudah! Mati jugakah komputer ini? Mujur tidak. Selang beberapa minit, ia menyala dan saya pun menguji dengan menekan papan kekunci. Masih berfungsi, Alhamdulillah.

Saya sendirian. Cikgu Yuswadi datang sekejap, kemudian menuju ke kelasnya di aras tiga. Saya enggan bekerja secara fizikal hari ini, saya mahu menghadap analisis peperiksaan yang perlu saya lunaskan. Baru beberapa minit di depan komputer, PK HEM muncul. Kami bersembang lama juga, tentang isu-isu berkaitan yang memerlukan buah fikiran.

Tidak lama, PKP pula datang memberi sedikit pencerahan tentang kemasukan markah dan analisis. Seterusnya saya menyambung tugas dengan penuh santai dan seronok. Kak Safura yang bermasalah dalam memasukkan markah muridnya menggunakan pautan yang saya beri, datang memohon bantuan. Rupanya beliau lupa untuk sign in dahulu menyebabkan tidak dapat mencapai pautan dengan sempurna.

Di koperasi, cikgu Mas Adiera  setia melaksanakan tugas dan hari ini saya membawa pulang tiga ekor ayam organik berharga RM33 untuk bekalan beberapa hari. Kak Shamsiah tentunya tidak pernah lupa membawa sedikit makanan untuk kami sama-sama rasa. Donut susu yang lazat, tiada tandingan.

Beberapa maklumat yang terkini turut saya perolehi berkaitan persekolahan kami. Antaranya, seorang guru Matematik telah menerima memo pertukaran dan ini menimbulkan kejutan dan kesedihan di hati kami kerana cikgu Ramli sangatlah kami kasihi dek komitmennya yang tinggi dalam setiap tugas yang diberi. Juga seorang guru wanita yang masih enggan divaksinasi, menimbulkan masalah dalam kalangan pentadbir untuk menyediakan tempat berasingan untuk beliau.

Jam 11.40 saya menghubungi suami untuk datang menjemput saya pulang.

Dan esok, saya akan ke sekolah lagi untuk menyiapkan banyak lagi tugasan yang tertangguh. Saya benar-benar gembira diberi peluang dua hari ini untuk berada di sekolah kerana saya sudah terlalu jemu dengan rutin sama di rumah. Semoga minggu hadapan saya ada lagi ruang untuk bekerja di tempat kecintaan saya ini.


Tuesday, October 05, 2021

Ini Bukan Syurga

 Hujan merenyai sejak semalam. Dingin mencengkam, dan seringnya bila dingin-dingin begini ingatan saya akan terlontar ke suatu masa yang telah tiada. Masa lalu, masa bahagia yang saya rindu.

Ayah, emak dan keluarga. Juga rumah papan yang terbina dari keringat ayah yang masih utuh tersergam di tapaknya, seperti menggamit saya pulang ke sana. Manis wajah ayah dan mesra senyuman emak seperti tidak terhakis oleh masa. Ia ada di mana-mana.

Dahulu, setiap kali pulang bercuti saya akan disambut dengan riuh mesra gurau senda adik-adik kecil saya, yang kini sudah dewasa dan membina kehidupan sendiri. Dahulu, rumah papan itu sangat nyaman walaupun tiada berpendingin hawa. Hidangan emak pula sangat enak walaupun cuma ulam-ulaman yang dipetik di belakang rumah. Tanpa hiburan lain, saya bahagia ditemani adik beradik yang jika berkelahi pun tidak pernah mahu berlarutan. Sekejap saja kami akan saling berbaik semula.

Kehidupan saya kini bukanlah derita, tetapi rindu bahagia pada masa lalu tidak pernah mahu hilang. Saat bertandang ke rumah itu, bertemu emak yang kesepian saya seperti enggan pulang. Saya seperti mahu lupakan dunia masa kini dan kembali mengharungi masa lalu bersama semua yang saya sayang. Tetapi kenyataannya ini bukan syurga, saya tidak boleh memilih apa yang saya mahu sebaliknya perlu meneruskan hidup seperti garis takdir yang telah ditulis Tuhan.

Liku-liku di hadapan yang entah bagaimana, perlu saya hadap dengan sabar dan reda kerana dalam liku yang pelbagai inilah terselit rahmat Tuhan yang misteri. Syurga itu mahal, saya perlu keras dalam berusaha dan tidak boleh sering-sering dipengaruhi emosi rindu yang tidak bertepi ini.

Saya mahu jumpa ayah di syurga, saya mahu bersama emak juga, dan membina bahagia abadi bersama-sama saudara-saudara saya. Di syurga nanti.

Sunday, October 03, 2021

Menanda

Pentaksiran secara dalam talian dijalankan di sekolah saya untuk semua tingkatan bermula pada 27 September lepas. Awalnya saya agak ragu dan risau kerana murid-murid hanya belajar secara PdPR, tentu sekali tahap penguasaan mereka agak rendah, Guru pula tidak dapat memantau mereka secara bersemuka, dan tugasan mereka juga hanya yang mudah-mudah. Tetapi saya tetap positif, pentaksiran sebegini sebenarnya perlu juga untuk memberi ruang mereka mengulangkaji dengan lebih tekun.

Markah perlu dimasukkan secara dalam talian selewat-lewatnya pada 5 Oktober 2021. Begitu arahan pentadbir. Makluman sudah diberi sejak minggu lepas, dan tapak pengisian markah juga sudah saya siapkan untuk guru-guru capai melalui link yang mudah.

Apabila tarikh akhir sudah dimaklumkan, secara logiknya kita yang menurut perintah ini akan merangka jadual secara peribadi untuk menyiapkan markah supaya tidak terlewat dari tarikh itu. Saya seperti selalu, sangat tidak suka menyusahkan siapa-siapa. Sepantas kilat saya menyusun waktu untuk menyiapkan tugasan menanda yang sememangnya agak sukar kerana semua perlu ditanda secara maya. Tidaklah saya rajin mencetak jawapan murid-murid, sudahnya saya menanda di skrin telefon sahaja. Memang memeritkan mata tua saya tetapi tidak mengapa, saya buat secara slow and steady. Masa yang diberi tidaklah singkat, malah lebih daripada mencukupi asalkan kita bijak mengendali.

Alhamdulillah, hari ini saya selesai memarkahkan keempat-empat kelas saya, dua hari lebih awal dari tarikh akhir. Lega rasanya. Bolehlah saya memberi tumpuan untuk PdPR pula.

Tiba-tiba, seorang sahabat menghubungi saya. Katanya ada guru memohon tarikh akhir dilewatkan lagi kerana dia tidak sempat menyiapkan markah. Kan masih ada dua hari? Entah, tidak sempat katanya.

Saya sebagai SU Peperiksaan yang akan menganalisis, tidaklah mampu memberi apa-apa keputusan. Dia perlu menghubungi Penolong Kanan Pentadbiran untuk memaklumkan apakah masalah yang dia hadapi dan PKP lah yang akan memberi keizinan untuk dia menghantar markah lewat.

Dan guru ini, memang biasa begini. Sentiasa tidak mampu menyiapkan markah dalam tempoh yang diberi. Saya terfikir, kenapa dia suka benar memberi masalah kepada orang lain? Adakah masalahnya sangat besar sehingga boleh sewenang-wenangnya melanggar masa yang diberi?

Cukup-cukuplah hidup dengan mementingkan diri sendiri wahai sahabatku. Tarikh yang diberi sudah difikir lama, sudah dipertimbang seadilnya. Mengapa masih mahu mengutamakan diri kita?

Masa kita, kita yang uruskan. Janganlah menjadi manusia yang diketawakan masa.

Saturday, October 02, 2021

SPM?

Ini tulisan Ustaz Hasrizal dalam media Facebooknya "My Learning Journey" bertarikh 2 Oktober 2019. 

Simpan di sini untuk dibaca berkali-kali.

-------------------------------------

"Bolehkah berjaya dalam hidup kalau tak lulus SPM?"

Jawapannya bukan ya, bukan tidak.

Selepas saya tanya soalan ini, ada pelajar kata boleh, ada pelajar kata tak boleh. Mereka berhujah, Tan Sri Boon Siew big boss Honda tak ada SPM pun tapi jutawan dan kaya raya. Saya tanya, kalau Boon Siew tidak miskin dan mampu ke sekolah, rasanya dia akan ke sekolah ke tidak?

Dia kaya dan berjaya, bukan sebab dia tak ada SPM. Dia tidak ada SPM sebab dia orang susah. Tak mampu sekolah. Jadinya, walaupun tanpa SPM, dia adalah seorang yang rajin berusaha, bekerja keras. Dan itu kualiti kehebatan dia.

Maknanya, kalau berusaha bersungguh-sungguh, belajar dengan bijak, tapi for some reason masih tak dapat A, kita tetap sudah membina kualiti orang yang berjaya di dalam diri.

Tapi kalau tak lulus SPM sebab tidur memanjang, melepak, buang masa, usahkan SPM, buat apa pun semua tak menjadi.

Itulah antara butiran ceramah saya dengan budak sekolah setiap kali saya tanya "boleh ke berjaya dalam hidup kalau tak lulus SPM?" Isi kandungan ceramah itu bukannya "tak apa dapat E asalkan tak stress"

Apabila saya diminta bercakap dengan budak sekolah calon peperiksaan, objektif saya ialah tolong budak-budak tu cari makna peperiksaan itu untuk diri mereka. Sebab manusia ini 'meaning maker'.

Persoalan ini tak berapa penting zaman saya SPM tahun 1992 dahulu sebab masa itu SPM ialah untuk saya, bukan untuk sekolah, PPD atau JPN. Walaupun SRP saya tahun 1990 dapat 8A1, saya masih boleh ambil bidang yang saya suka iaitu sains sosial dan perdagangan yang membolehkan juga saya ambil bahasa Arab di dalam SPM. Saya sebutkan ini supaya anda faham saya bercakap di atas premis pengalaman yang saya analisis. Bukan bergebang kosong.

Tetapi 20 tahun kemudian, benda ni berubah. Sekolah sudah mula gila ranking. Masyarakat sudah mula gila membandingkan keputusan peperiksaan anak-anak. Dulu takat sembang bawah pokok rambutan je. Tapi zaman internet, bendanya dah jadi viral sana sini. Ekoran daripada itu, budak 'pandai' yang minat sastera tak dibenarkan ambil bidang yang tak menguntungkan sekolah. Kena ambil aliran yang sekolah tetapkan. Hak milik (ownership) pelajar ke atas pembelajaran dan dirinya sendiri dinafikan. Itu belum lagi result cemerlang nak masuk vokasional. Layak buat perubatan tetapi pilih nak belajar Syariah.

Apabila budak-budak dipaksa berusaha keras untuk sesuatu yang bagi dia meaningless, formula itu tak menjadi. Salah dari semua segi. Mak ayah boleh paksa anak belajar sampai mata lebam supaya anak boleh jadi doktor. Dia boleh lulus sekolah perubatan dengan paksaan itu. Tetapi dia nak ke jadi doktor? Yang suka dengan kerjanya? Kalau kerja doktor tapi benci kerja itu, apa implikasinya? Saya jumpa profesional yang kata setiap hari lepas habis kerja di akan lalu pintu pejabatnya dengan gaya meludah ke pintu tu sebab dia benci kerjanya. Itu kisah peribadi dia, tetapi ia mendorong saya berfikir.

Sudahlah belajar di sekolah kena paksa aliran apa yang nak dipelajari, keputusan peperiksaan pula adalah untuk KPI dan kebanggaan sekolah dan emak ayah. Habis yang aku sampai sakit tulang belakang study tak habis-habis ini, untuk puaskan hati korang aje ke? Aku macam mana? Itu yang budak-budak itu rasa. Bukan semua. Tapi selalu jumpa. Ramai.

Menggunakan usaha gigih pelajar dan keputusan peperiksaan mereka untuk menilai prestasi guru, prestasi pengetua, prestasi sekolah, prestasi PPD, prestasi JPN, adalah acuan yang menjatuhkan moral pendidikan. Ia adalah formula yang merosakkan polisi pendidikan awam di USA zaman Bush.

Sudahlah SPM dan persekolahan tidak bermakna, kemudian kena pula solat hajat dan baca yasin, puasa, untuk benda yang tiada makna kepada pelajar.

Maka soalan "boleh ke berjaya dalam hidup kalau tak lulus SPM?" itu adalah soalan untuk tolong pelajar cari makna untuk diri mereka sendiri. Supaya mereka boleh ada objektif. Dengan objektif itu mereka lebih bermotivasi dengan motivasi dari dalam diri mereka. Bukan motivasi yang penceramah paksa mereka melalui hype di pentas, melalui menangis dalam gelap, memanipulasi kisah kesusahan mak ayah dan balas jasa mak ayah dengan keputusan SPM. Sedangkan Tuhan pun di dalam al-Quran, timbulkan kisah kesusahan ibu mengandung, bukan supaya taat ibu, tapi supaya bersyukur kepada Allah. Dengan mentaati Allah, kebaikan anak akan turun kepada ibu kepada bapa. Tetapi kita ugut anak-anak dengan susu kita, dengan nasi yang kita suap, dengan yuran yang kita bayar. 

Kita dibentuk oleh pengalaman. Dan pengalaman saya bertemu dengan pelajar pintar yang benci emak ayah dengan 1001 sebab, mendorong saya mencari jalan, bagaimana dilema ini boleh diperbaiki.

Bagi anda yang follow tulisan saya mungkin anda ingat kisah yang pernah kongsikan sebelum ini, apabila saya diminta  berceramah kepada calon PMR paling teruk dalam sejarah sekolah berkenaan. Saya kunci pintu dewan agar cikgu tak masuk. Sembang hati ke hati. Nak faham kenapa trial PMR teruk bebenor.

"Saya nak buktikan walaupun saya tak lulus PMR saya tidak bodoh!"

"Kerajaan nak hapuskan PMR, buat apa saya bersusah payah untuk benda yang kerajaan pun tahu ia tak berguna."

"Saya minat rugby. Saya nak result PMR yang just nice untuk saya masuk sekolah yang power rugby. Kalau cemerlang nanti parents paksa masuk MRSM."

"Kalau result saya cemerlang pun, mak ayah sibuk. Tak ada siapa nak celebrate kejayaan saya."

Itu antara luahan hati mereka.

Apabila sekolah sibuk dengan ranking, nak memuaskan hati orang dewasa, luahan hati budak-budak ni ada sapa kisah?

Saranan saya:

Tingkatkan nilai pembelajaran. Kurangkan nilai peperiksaan.

Kembalikan peperiksaan kepada fungsi asalnya iaitu menilai prestasi pelajar dan seterusnya menggunakan SPM itu untuk pembelajaran beliau yang berikutnya.

Hentikan penggunakan keputusan SPM sebagai KPI guru, pengetua, sekolah, malah menteri. Itulah racun yang menyebabkan 'A' hilang makna, dan mengurangkan nilai pembelajaran di dalam pendidikan kita.

Bersedia ke untuk berubah, wahai orang dewasa?

(Semua perkara ini sudah secara akademiknya saya masukkan di dalam usul Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara dan dipulangkan kepada Menteri Pendidikan pada 2 Mei 2019. Jika Menteri Pendidikan inginkan perubahan, adakah ia disambut positif oleh semua?)

Friday, October 01, 2021

Tiga Suku Tahun

Hari ini, bermulalah bulan kesepuluh dalam tahun masehi 2021. Sembilan bulan sudah berlalu, yang menyamai tiga suku tahun. Pantas sungguh masa bergerak. Itulah yang saya rasa.

Hari ini, Jumaat 24 Safar 1443 Hijrah. Hari yang sunyi dan tenang, juga nyaman. Hujan masih merenyai di luar dan saya menghabiskan hampir seharian hari ini hanya bersendirian di bilik.

Saya tidak ke mana-mana hari ini. Saya menjadikan hari ini hari saya berhibernasi.

Seawal pagi, usai solat Subuh saya akan kembali memanjakan diri di katil. Lena tidak, tetapi saya menatap telefon sambil televisyen terpasang di saluran 106 Oasis yang selalunya pagi-pagi begini ada alunan ayat suci Al-Quran. Kali ini bacaan oleh Ustaz Wan Najdi pada juz dua. Suami saya selalu bersolat di bilik sebelah (jika tidak ke masjid) dan selesai solat dia akan menguruskan kucingnya, juga turun ke tanah memberi makan kambing. Kemudian sekitar jam 7 pagi dia akan keluar membeli sarapan.

Dan saya di rumah benar-benar berehat hari ini. Ada juga saya menghadap kertas soalan ujian murid tingkatan 4 sebentar tetapi tidak betah pula. Malas. Lalu yang enaknya ialah menghadap media sosial. Jam 12 tengah hari baru saya ke dapur bersiap untuk memasak seringkas mungkin. Hanya ikan gelama goreng dan sotong rebus serai.

Begitu seharian hari ini. Aktiviti santai tanpa faedah. Semoga Allah mengampuni saya. Hujan turun agak lebat pada jam 3 petang, dan masih merenyai sehingga kini.

Tiada apa yang penting pun berlaku hari ini. Santai sungguh, tetapi saya bahagia.

Alhamdulillah.