Selasa lepas, Pengetua sekolah saya melalui Google Meet pada jam 2.30 petang meminta kami para guru SMK Kamgpong Chengal untuk hadir ke sekolah pada Rabu dan Khamis bagi memastikan kesiapan menerima murid pada hari persekolahan tidak lama lagi. Kehadiran kami tentulah dengan mematuhi SOP dan hanya untuk persiapan bilik dan kelas, tidak boleh berkumpul ramai-ramai apa lagi berjamu makan.
Walaupun dalam SOP yang ketat, saya sungguh teruja. Hampir enam bulan saya melupai sekolah saya, rindu yang dikandung sarat sungguh. Rindunya pada persekitaran kerja saya, pada aroma yang hanya saya tahu.
Jam 8.30 pagi Rabu itu, dengan hati berbunga-bunga saya menuju ke sekolah dihantar suami. Setiba di pagar, saya disambut dengan senyuman mesra adik pengawal keselamatan yang kacak itu. Di lobi, sudah menunggu beberapa orang guru tetapi saya menyapa sahaja kerana enggan meramaikan jumlah. Saya terus menuju ke bilik saya di aras dua, dengan penuh rasa teruja.
Langkah diatur, salam dihulur. Suasana masih sama, tiada apa yang berbeza. Meja saya kemas seadanya, cuma pendingin hawa sudah tidak mahu berfungsi.
Saya menuju ke meja komputer, dan menekan butang kuasanya. Gelap. Ah sudah! Mati jugakah komputer ini? Mujur tidak. Selang beberapa minit, ia menyala dan saya pun menguji dengan menekan papan kekunci. Masih berfungsi, Alhamdulillah.
Saya sendirian. Cikgu Yuswadi datang sekejap, kemudian menuju ke kelasnya di aras tiga. Saya enggan bekerja secara fizikal hari ini, saya mahu menghadap analisis peperiksaan yang perlu saya lunaskan. Baru beberapa minit di depan komputer, PK HEM muncul. Kami bersembang lama juga, tentang isu-isu berkaitan yang memerlukan buah fikiran.
Tidak lama, PKP pula datang memberi sedikit pencerahan tentang kemasukan markah dan analisis. Seterusnya saya menyambung tugas dengan penuh santai dan seronok. Kak Safura yang bermasalah dalam memasukkan markah muridnya menggunakan pautan yang saya beri, datang memohon bantuan. Rupanya beliau lupa untuk sign in dahulu menyebabkan tidak dapat mencapai pautan dengan sempurna.
Di koperasi, cikgu Mas Adiera setia melaksanakan tugas dan hari ini saya membawa pulang tiga ekor ayam organik berharga RM33 untuk bekalan beberapa hari. Kak Shamsiah tentunya tidak pernah lupa membawa sedikit makanan untuk kami sama-sama rasa. Donut susu yang lazat, tiada tandingan.
Beberapa maklumat yang terkini turut saya perolehi berkaitan persekolahan kami. Antaranya, seorang guru Matematik telah menerima memo pertukaran dan ini menimbulkan kejutan dan kesedihan di hati kami kerana cikgu Ramli sangatlah kami kasihi dek komitmennya yang tinggi dalam setiap tugas yang diberi. Juga seorang guru wanita yang masih enggan divaksinasi, menimbulkan masalah dalam kalangan pentadbir untuk menyediakan tempat berasingan untuk beliau.
Jam 11.40 saya menghubungi suami untuk datang menjemput saya pulang.
Dan esok, saya akan ke sekolah lagi untuk menyiapkan banyak lagi tugasan yang tertangguh. Saya benar-benar gembira diberi peluang dua hari ini untuk berada di sekolah kerana saya sudah terlalu jemu dengan rutin sama di rumah. Semoga minggu hadapan saya ada lagi ruang untuk bekerja di tempat kecintaan saya ini.
No comments:
Post a Comment