Tuesday, October 05, 2021

Ini Bukan Syurga

 Hujan merenyai sejak semalam. Dingin mencengkam, dan seringnya bila dingin-dingin begini ingatan saya akan terlontar ke suatu masa yang telah tiada. Masa lalu, masa bahagia yang saya rindu.

Ayah, emak dan keluarga. Juga rumah papan yang terbina dari keringat ayah yang masih utuh tersergam di tapaknya, seperti menggamit saya pulang ke sana. Manis wajah ayah dan mesra senyuman emak seperti tidak terhakis oleh masa. Ia ada di mana-mana.

Dahulu, setiap kali pulang bercuti saya akan disambut dengan riuh mesra gurau senda adik-adik kecil saya, yang kini sudah dewasa dan membina kehidupan sendiri. Dahulu, rumah papan itu sangat nyaman walaupun tiada berpendingin hawa. Hidangan emak pula sangat enak walaupun cuma ulam-ulaman yang dipetik di belakang rumah. Tanpa hiburan lain, saya bahagia ditemani adik beradik yang jika berkelahi pun tidak pernah mahu berlarutan. Sekejap saja kami akan saling berbaik semula.

Kehidupan saya kini bukanlah derita, tetapi rindu bahagia pada masa lalu tidak pernah mahu hilang. Saat bertandang ke rumah itu, bertemu emak yang kesepian saya seperti enggan pulang. Saya seperti mahu lupakan dunia masa kini dan kembali mengharungi masa lalu bersama semua yang saya sayang. Tetapi kenyataannya ini bukan syurga, saya tidak boleh memilih apa yang saya mahu sebaliknya perlu meneruskan hidup seperti garis takdir yang telah ditulis Tuhan.

Liku-liku di hadapan yang entah bagaimana, perlu saya hadap dengan sabar dan reda kerana dalam liku yang pelbagai inilah terselit rahmat Tuhan yang misteri. Syurga itu mahal, saya perlu keras dalam berusaha dan tidak boleh sering-sering dipengaruhi emosi rindu yang tidak bertepi ini.

Saya mahu jumpa ayah di syurga, saya mahu bersama emak juga, dan membina bahagia abadi bersama-sama saudara-saudara saya. Di syurga nanti.

No comments:

Post a Comment