Wednesday, June 29, 2022

Bersukan

Sejak Ahad, kami di SMKKC dihidangkan dengan kisah dan cerita sukan tahunan sekolah yang ke-15 atau SUKTAS 15.

Sukantara memulakan minggu, diikuti sukan terdahulu pada Isnin dan semalam raptai perbarisan berlangsung bersekali dengan menghias khemah. Kemeriahan mula mewarnai suasana yang menyaksikan semua murid dan guru bersatu hati menyumbang tenaga untuk rumah masing-masing.

Saya tidak terkecuali. Dalam sibuknya saya menyelesaikan target SPM yang diarahkan oleh PPD yang deadlinenya sudah terlalu hampir, sempat lagi saya menyelit memberi sokongan kepada rakan dan anak-anak didik yang bertungkus lumus bekerja. Cuma, saya tidak dapat membantu banyak. Selain kurang kreatif dalam hias menghias, saya juga perlu menyediakan diri sebagap pegawai di bahagian statistik, yang akan mengeluarkan keputusan rasmi kejohanan.

Hari ini, segalanya berlangsung gemilang. Setelah dua tahun tertangguh dek pandemik, hari ini ia direalisasikan sebaiknya oleh Tuan PK Ko kami yang begitu bersemangat dan penih dedikasi - Tuan Haji Zawawi.

Terima kasih dan tahniah semua. Esok sekolah kami bercuti peristiwa sempena SUKTAS ini.

Kita Serupa

Orang Intovert, dia tak boleh diatur dan disuruh ikut buku/ skrip. Dia juga jadi tak pandai kalau ada orang campur kerja yang dia nak/ sedang buat. Orang Introvert tak suka "terikat" @ dikawal. Mereka suka berkarya dengan bebas di ruangan sendiri.

Dia tak pandai kalau berniaga, kena ikut skrip yang Leader ajar dan tak boleh/ dilarang jadi kreatif cara sendiri, dia akan jadi blank. Sebab cara dia ada seni yang tersendiri. Dia akan perhati cara Leader dan Ahli Group lain tapi dia tak boleh jadi macam orang lain, dia akan keluar dengan identiti sendiri juga, cara tersendiri. Kalau terlalu disekat-sekat, dia sanggup keluar team dan bergerak solo. Sebab dia tak boleh berkembang dan bertumbuh dalam suasana yang mengekang kreativiti.

Dia juga tak boleh kalau orang campur kerja dia, terus jadi tak pandai. Macam dia nak memasak. Dari potong bawang pun dia akan pilih bawang. Kalau orang lain potong, terus rasa blank.

Orang Introvert kebanyakan tak dapat bekerja dengan orang lain. Rata-ratanya memilih bekerja sendiri. Dan kelemahannya, memang dia lebih suka buat semua kerja sendiri sebab tak yakin orang lain boleh buat sehalus, seteliti kerja mereka. Dan mereka memang ENJOY buat kerja dalam suasana tenang, bersendirian, maka kerja mereka kadangkala SLOW tapi hasilnya halus. 

Orang Introvert, bukan sahaja "takut" dengan deringan telefon, malahan deringan call/ notificatioon group whatsapp, telegram, notification media sosial pun mereka tak gemar nak dengar. Ada yang silent semua bunyi dan hanya enable yang penting sahaja. Sebenarnya, Introverts pun tak berapa gemar nak berada dalam group-group yang aktif. Biasanya mereka "mute" kan saja.

Introvert ni akan balas mesej bila betul-betul waktu yang sesuai. Kalau tengah kalut-kalut, diorang rela tak jawab call/ mesej, sebab minda tak dapat fokus serta nak elak dari tersalah vibes yang mungkin boleh buatkan penerima tersalah faham.

Sejak 2010, saya silent kan phone saya. Sehingga kahwin dengan suami sekarang, kena marah sebab selalu tak jawab call. Jadi, baru saya pilih-pilih, yang mana saya nak enable tone.

Kredit :Nurul Marjan


Saturday, June 25, 2022

Di Sisi Ibu

Maafkan aku, ibu
seperti ada satu jurang yang dalam
melintang antara kita

Bukan aku tidak mahu, ibu
berada di sisimu
Malah aku ingin selalu-selalu
tetapi tidak mampu

Aku hanyalah sekeping kertas
ringan dan nipis
mudah terbang ditiup angin
ke sana ke sini bertebaran
tidak berkesudahan

Aku rindu, ibu
tapi sekadar rindu
terucap di hati
terkurung dalam sepi

Maafkan aku, ibu
kuserah dikau dalam jagaan Tuhan
dalam doa setiap malam
namamu tidak terlupakan

Hanya itu, ibu.

Thursday, June 23, 2022

Peringatan Ini

Banyak cerita kematian yang mengejutkan saya terima dalam minggu ini. Ia berkisar di sekitar saya, orang-orang yang saya kenal dan kasih.

Bermula dengan kepulangan penyanyi Adibah Noor pada Isnin 19 Jun yang amat menyentap rasa kerana saya baru sahaja melihat dia di laman sosialnya mengacara satu majlis di Dectar, UKM. Walaupun nampak fizikalnya seperti berubah, tidak pula diketahui yang dia sedang sakit. 

Seterusnya Ustaz Sayuti Rajab, rakan guru saya yang juga sahabat adik saya, turut berpulang pada Selasa 20 Jun. Dia bercuti sakit kerana demam pada hari tersebut, dan apabila isterinya pulang dari kerja pada tengah hari, didapati suaminya sudah tidak bernyawa. Allahuakbar! Tidak terbayang bagaimana perasaan isterinya saat menghadapi kenyataan sepedih ini.

Semalam, tanggal 22 Jun, seorang murid sekolah saya meninggal sewaktu pulang dari sekolah kerana kemalangan. Muhammad Farish Iman bin Abdul Muhaimin baru berusia 14 tahun, sedang belajar di tingkatan dua di sekolah ini. Dia yang menunggang motosikal telah dirempuh oleh kereta X70 sewaktu memotong kereta di hadapannya. Dia meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

Allahuakbar. Sesungguhnya mati itu benar, dan jadikanlah sebagai peringatan untuk kita kerana kita juga sedang menanti masa. Semoga Allah menempatkan mereka di tempat yang terbaik, amin.

Saturday, June 18, 2022

Tentang Anugerah

Jikalah saya ini seorang Pengetua, pelajar-pelajar yang cemerlang SPM akan saya panggil untuk menerima anugerah kecemerlangan pada majlis mesyuarat agung PIBG. Pada hari keputusan diumumkan, saya tidak akan adakan apa-apa hadiah. Pada hari itu, saya mahu biarkan mereka melayan emosi sendiri.

Mungkin ada pelajar yang hanya mendapat 1A atau tiada A langsung, tetapi hati mereka sangat gembira kerana sewaktu peperiksaan percubaan, gred terbaik mereka hanyalah C tetapi dalam SPM sebenar ada gred B+ dan B yang banyak. Siapa mahu meraikan peningkatan mereka?

Kita hanya nampak bilangan A di slip pelajar cemerlang, sedangkan gred C di slip pelajar kelas belakang juga satu kejayaan. Siapa mahu meraikan mereka?

Pada hari keputusan SPM itu, saya akan beri ucapan tahniah kepada semua pelajar yang datang, walau apa pun keputusan mereka. Mereka telah berjaya menamatkan persekolahan menengah mereka, dan bakal melangkah ke fasa seterusnya, walau apa pun keputusan mereka. Ada yang akan sambung belajar sehingga ke peringkat tertinggi, dan ada juga yang akan mencari kerja. Apa pun pilihan mereka, selagi ia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara, saya akan menyokong.

Semua pelajar SPM akan saya rai, akan saya minta mereka naik ke pentas untuk bergambar dan berjumpa guru-guru mereka, walau apa pun keputusan mereka.

Mereka adalah generasi yang akan mencorak masa depan negara. Bukan hanya dalam bidang profesional tetapi juga dalam segala ruang yang memerlukan mereka. Saya sentiasa ingatkan diri saya yang negara memerlukan mereka semua, walau apa pun keputusan mereka.

Teruskanlah perjalanan kalian wahai anak-anak. Jadilah apa sahaja asalkan Allah reda.

Cikgu tetap mengirim doa, kerana kalian adalah anugerah yang sentiasa cikgu syukuri.

Thursday, June 16, 2022

Debar yang Indah

Sejak malam tadi, dada saya seperti berkocak-kocak. Mulanya saya enggan kisah, tetapi lama-lama ia makin kuat terasa. Saya tahu, itu debar menanti keputusan SPM esok.

Bukan saya kisah sangat pun tentang apa keputusan yang akan saya dapat, baik ke tidak saya ok saja, tetapi debar itu tetap ada. Hairan.

Pagi ini, langkah saya ke sekolah seperti menakutkan. Ada risau yang tiba-tiba. Setiba di bilik kerja saya, saya mulakan tugas biasa dengan menyiapkan jadual ganti. Keputusan dan analisis SPM boleh mula dimuat turun pada jam 7 pagi dan diserahkan kepada murid selepas jam 10 pagi. 

Jadual ganti belum selesai, jam sudah ke angka 7 pagi. Saya tinggalkan sekejap urusan jadual ganti untuk membuka laman SPPAT dan melihat analisis.

Demi terpampang gred purata sekolah - 4.63 - hati saya melonjak gembira. Ada peningkatan! Terus saya mencari lagi keputusan lain, dan semuanya menggembirakan hati saya. 

Alhamdulillah.

Barulah lega segala debar yang ada. 

Tahniah anak-anak, cikgu bersyukur sesungguhnya.

Semoga laluan di hadapan kalian dimudahkan Tuhan. Amin.



Tuesday, June 14, 2022

Idaman Hati


Sejak lama, saya selalu membantu suami saya menyiapkan tugas sekolahnya. Entah kenapa dia begitu mengharapkan saya dalam banyak perkara berkaitan tugasnya terutama apabila memerlukan penggunaan komputer dan perisian. Saya tidak boleh berkata tidak kerana sebagai isteri saya perlu membantu semampu saya walaupun ada kalanya saya tidak suka.

Minggu lepas, dia meminta bantuan saya lagi untuk menyelesaikan PBPPP nya dan juga pengisian borang keberhasilan. Selagi dia belum pencen, selagi itulah saya akan terus menjadi tempat dia memohon bantuan. Sebaliknya, kerja sekolah saya tidak pernah pula saya meminta dia bantu apa-apa!

Saya cuba untuk ikhlas, dan mohon agar Tuhan beri saya hati yang reda untuk terus memberi yang terbaik buat seorang suami. Penat, jemu, bosan, semuanya silih bertingkah. Aduh! Ampunilah saya ya Allah!

Untuk sedikit penawar rasa, saya meminta hadiah gelang emas. Kali ini saya sungguh-sungguh. Dia kata, sudah banyak kali saya meminta gelang emas darinya tetapi bila dia ajak pergi membeli saya menolak.

Ya, sudah banyak kali saya meminta dan sudah banyak kali dia mengajak, tetapi saya menolak kerana jiwa saya belum mahu. Kali ini saya kata saya sungguh-sungguh mahu.

Lalu pada Khamis itu, dia membawa saya ke kedai emas. Tanpa banyak soal, saya akhirnya mendapat seutas gelang emas pattern sauh seberat 14.7g dengan harga RM4070.

Terima kasih suami, kerana memenuhi permintaan saya.

Dari kedai emas, kami menuju pula ke kedai cermin mata untuk sebuah cermin mata berbingkai jenama Monalisa dan bercermin BBGR (photo grey) berharga RM1750.

Alhamdulillah, saya mendapat dua idaman hati kali ini. Terima kasih encik suami yang tidak lokek berbelanja untuk saya. Nanti saya minta lagi ya!

Tuesday, June 07, 2022

Perempuan

..selalu betul.

Inilah ungkapan yang saya paling benci. Sangat benci. Terlalu!

Ungkapan ini menggambarkan betapa lemah dan bodohnya lelaki yang kehabisan idea dan tidak mampu mempertahankan hujah mereka lalu mengguna pakai ungkapan tidak berguna ini.

Baiklah, kalau perempuan selalu betul, maka sesungguhnya lelaki semua bodoh.

Anak-anak Kecil

Anak-anak saudara saya ramai, sudah dua puluh orang bilangannya. Mendekati mereka terutama pada usia kanak-kanak mereka sangat mengujakan. Mereka adalah penghibur terbaik. Kata-kata yang terungkap dari petah bibir mereka sentiasanya begitu mulus, penuh tulus.

Saya selalu mencari ruang waktu untuk berada bersama mereka. Sukar, kerana waktu kami sentiasa penuh dengan agenda-agenda yang tidak dapat ditepikan sebegitu saja, tetapi saya tetap akan berusaha.

Semakin mereka didekati, semakin saya kagum dengan anugerah Tuhan. Daya fikir mereka, pemerhatian mereka, kesimpulan mereka seringkali menakjubkan saya.

Berteka teki dan berlawan kata dengan mereka sebetulnya membina kemahiran mereka berfikir. Ada kalanya, saya yang belajar perkara baru dari mereka. Bahkan, mereka lebih banyak memberi saya penemuan-penemuan tentang sikap dan sifat kanak-kanak. Seumpamanya, mereka adalah responden pada soalan-soalan penyelidikan saya. Begitu.

Doa dan harapan saya, agar mereka terus dijaga Tuhan dan diberi hati dan fikiran yang baik-baik, bernas dan bertanggungjawab. Mereka aset masa depan, yang akan memimpin dan menjadi teladan.

Berbahagialah ibu bapa mereka dikurniakan anak-anak pintar yang mudah belajar. Jagalah amanah ini sebaiknya.



Sunday, June 05, 2022

Self-reliance

I am not good at asking for help because I'm so used to being a helper.

Throughout my life, I have experienced an unbalanced give and take, so my instinct is usually "I will figure it out on my own". 

The self-reliance is all I have ever known.

Saturday, June 04, 2022

Klinik

Untuk kali yang entah ke berapa, Mek kami bawa lagi ke klinik ini - Klinik Dr. Wan Mohd Noor, Kok Lanas.

Mek selalu mengadu yang badannya sakit-sakit. Setiap hari bila bangun pagi, sakitnya mencucuk-cucuk. Mek tidak tahan. Diurut pun tidak menjadi. 

Sudah banyak kali kami bawa mek ke klinik. Doktor memeriksa mek dan memaklumkan keadaan mek baik. Ujian darah mek normal. Jantung dan paru-paru mek pun molek. Tekanan darah mek stabil.

Jadi, doktor cuma memberi mek ubat penahan sakit. Selalunya doktor akan suntik dahulu, dan mek dibekalkan dengan ubat-ubatan untuk beberapa hari.

Mek akan lega sebentar. Bila ubat habis, mek sakit semula. Begitulah. Kami tidak tahu cara bagaimana lagi untuk merawat mek selain membawa mek ke klinik apabila mek meminta.

Di klinik ini sesak, orang sangat ramai. Selalu kami kena menunggu berjam-jam lamanya. Tetapi ini klinik yang mek suka. Mek kata ubatnya bagus. Kalau klinik lain mek tak mahu.

Memang klinik ini masyhur sungguh. Pesakit yang menunggu di sebelah saya ini datang dari Jerteh. Katanya ada orang beritahu dia klinik ini bagus, jadi dia datanglah. Saya tanya dia sakit apa, katanya letih dan tidak bermaya kerana diabetes. 

Terfikir juga, doktor-doktor ini memberi ubat yang berbeza-bezakah? Bukankah mereka memiliki kelulusan perubatan yang sama? Mungkin masing-masing mempunyai aura tersendiri yang menjadikan mereka disukai pesakit. 

Selalunya apabila saya menerima ubat di kaunter klinik, saya akan mengenalpasti nama ubat itu dan mencari maklumat di Google. Nanti bila perlu, boleh saja saya membelinya di farmasi atau klinik lain. Maklumlah, suatu waktu dahulu saya bercita-cita mahu menjadi doktor juga tetapi tiada rezeki, jadi minat tentang ubat itu seperti ada secara semulajadi dalam diri saya. Di klinik Dr Wan ini berbeza, ubat yang diberi semuanya secara loose (tidak dalam paket yang ada ditulis jenama) jadi saya tidak dapat mengenalpasti nama ubat-ubat yang diberi. 

Semoga Allah memberi mek kesembuhan jua.

Friday, June 03, 2022

Pertama

Selamat bercuti cikgu-cikgu.

Hari ini hari pertama cuti sekolah bagi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor. Kami diberi cuti seminggu sahaja, tapi pada saya sudah mencukupi.

Sememangnya cuti kali ini sarat dengan agenda, sehingga kami tiada ruang untuk mencuri masa sehari dua pergi berehat di mana-mana. Tidak mengapa, saya ok sahaja.

Pengetua sekolah kami sangat memahami keinginan kami yang baru terlepas dari kurungan PKP selama dua tahun - ingin bercuti - jadi dia tidak mewajibkan kelas tambahan pun. Terima kasih.

Agenda sepanjang cuti ini sememangnya padat. Esok kami sudah berjanji untuk membawa mek ke klinik pada pagi dan hadir kenduri rakan guru saya, Hj Zawawi di Kadok pada tengah hari. Ahad pula suami saya ada dua jemputan kenduri rakannya, dan saya bolehlah bertandang ke rumah Ma.

Isnin, kami akan menyertai rombongan pernikahan Azrie, anak saudara suami saya. Selasa pula majlis kenduri mereka di pihak perempuan berlangsung.

Rabu, suami saya bertugas di sekolahnya (sekali lagi saya berpeluang ke rumah Ma) dan Khamis ialah hari untuk kami menyelesaikan urusan pejabat. Suami saya mahu ke pejabat tanah untuk urusan bayaran cukai manakala saya mahu ke bank untuk pembaharuan kad debit CIMB.

Jumaat kami berehat dahulu sementara menanti Sabtu yang akan diisi dengan majlis kenduri Azrie di rumah ibunya.

Begitulah.

Dan hari ini sudah selesai saru hari. Seawal pagi kami keluar bersarapan di Kedai Nasi Kerabu Nusuk di Kok Lanas. Kemudian kami menuju ke rumah Ma, juga ke rumah mek sebelum ke G-Orange Mall untuk berbelanja keperluan rumah tangga.

Pulang ke rumah, jam sudah menghampiri dua belas. Anak saudara suami saya, Rahimi dan Zaki datang untuk melihat kambing yang suami saya mahu hadiahkan untuk majlis solat hajat rumah Rahimi minggu depan. Saya hidangkan air oren dan kek untuk mereka.

Seterusnya, suami saya bersiap ke masjid untuk solat Jumaat manakala saya memasak. Daging goreng, ikan kering goreng, sayur kacang panjang goreng dan sambal belacan saya sediakan untuk hidangan tengah hari kami.

Minum petang selepas Asar hanya roti dan teh o ais. Untuk malam pula, saya sediakan kuetiau goreng.

Begitulah bila cuti, saya penat memasak.

Wednesday, June 01, 2022

Sihat dan Sakit

Seorang rakan guru saya, jarang benar demam atau sakit. Walaupun usianya sudah menghampiri pencen wajib, dia sangat cergas ke sana ke mari. Memang dia bersemangat dalam mengajar dan begitu aktif dalam bekerja. Saya sangat kagum melihat kerja buatnya yang kemas dan teratur serta komitmennya yang amat tinggi pada kerjaya.

Kerana jarang sakit, dia jarang ke klinik. Jika setakat pening atau sakit kepala, dia bertahan sahaja dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak. Katanya, jus epal berkesan menghilangkan sakit kepala. Itulah yang dia amalkan.

Baru-baru ini, sewaktu hadir ke pusat vaksinasi untuk dos pertama Pfizer, seperti biasa bacaan tekanan darah akan diambil. Terkejut besar dia apabila bacaan tekanan darahnya sangat tinggi, melebihi 180/95. Langsung dia tidak menjangka bacaan boleh setinggi itu kerana dia sentiasa sihat.

Doktor menasihatkan dia berehat di wad dahulu sebelum divaksinasi. Lama juga dia berada di wad kerana tekanan darahnya tidak mahu turun.

Bermula hari itu, dia mengambil pil Amlodipine setiap hari untuk mengawal tekanan darahnya. Alhamdulillah sehingga hari ini dia sihat tanpa apa-apa kesan sampingan.

Apa yang dapat saya iktibarkan dari kisah ini ialah, usah terlalu yakin dengan kesihatan kita apabila usia meningkat. Buatlah pemeriksaan berkala, ujian darah dan ujian-ujian lain agar kita peka dengan status kesihatan sendiri. Jangan ingat tidak pernah sakit demam itu tanda kita tidak berisiko. Darah tinggi tiada gejala. Bimbang nanti tiba-tiba kita rebah dan mengalami stroke tanpa sempat berbuat apa-apa.

Benar, kita semua menuju mati tetapi Allah menyuruh kita menjaga diri.