Saturday, June 04, 2022

Klinik

Untuk kali yang entah ke berapa, Mek kami bawa lagi ke klinik ini - Klinik Dr. Wan Mohd Noor, Kok Lanas.

Mek selalu mengadu yang badannya sakit-sakit. Setiap hari bila bangun pagi, sakitnya mencucuk-cucuk. Mek tidak tahan. Diurut pun tidak menjadi. 

Sudah banyak kali kami bawa mek ke klinik. Doktor memeriksa mek dan memaklumkan keadaan mek baik. Ujian darah mek normal. Jantung dan paru-paru mek pun molek. Tekanan darah mek stabil.

Jadi, doktor cuma memberi mek ubat penahan sakit. Selalunya doktor akan suntik dahulu, dan mek dibekalkan dengan ubat-ubatan untuk beberapa hari.

Mek akan lega sebentar. Bila ubat habis, mek sakit semula. Begitulah. Kami tidak tahu cara bagaimana lagi untuk merawat mek selain membawa mek ke klinik apabila mek meminta.

Di klinik ini sesak, orang sangat ramai. Selalu kami kena menunggu berjam-jam lamanya. Tetapi ini klinik yang mek suka. Mek kata ubatnya bagus. Kalau klinik lain mek tak mahu.

Memang klinik ini masyhur sungguh. Pesakit yang menunggu di sebelah saya ini datang dari Jerteh. Katanya ada orang beritahu dia klinik ini bagus, jadi dia datanglah. Saya tanya dia sakit apa, katanya letih dan tidak bermaya kerana diabetes. 

Terfikir juga, doktor-doktor ini memberi ubat yang berbeza-bezakah? Bukankah mereka memiliki kelulusan perubatan yang sama? Mungkin masing-masing mempunyai aura tersendiri yang menjadikan mereka disukai pesakit. 

Selalunya apabila saya menerima ubat di kaunter klinik, saya akan mengenalpasti nama ubat itu dan mencari maklumat di Google. Nanti bila perlu, boleh saja saya membelinya di farmasi atau klinik lain. Maklumlah, suatu waktu dahulu saya bercita-cita mahu menjadi doktor juga tetapi tiada rezeki, jadi minat tentang ubat itu seperti ada secara semulajadi dalam diri saya. Di klinik Dr Wan ini berbeza, ubat yang diberi semuanya secara loose (tidak dalam paket yang ada ditulis jenama) jadi saya tidak dapat mengenalpasti nama ubat-ubat yang diberi. 

Semoga Allah memberi mek kesembuhan jua.

No comments:

Post a Comment