Wednesday, June 01, 2022

Sihat dan Sakit

Seorang rakan guru saya, jarang benar demam atau sakit. Walaupun usianya sudah menghampiri pencen wajib, dia sangat cergas ke sana ke mari. Memang dia bersemangat dalam mengajar dan begitu aktif dalam bekerja. Saya sangat kagum melihat kerja buatnya yang kemas dan teratur serta komitmennya yang amat tinggi pada kerjaya.

Kerana jarang sakit, dia jarang ke klinik. Jika setakat pening atau sakit kepala, dia bertahan sahaja dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak. Katanya, jus epal berkesan menghilangkan sakit kepala. Itulah yang dia amalkan.

Baru-baru ini, sewaktu hadir ke pusat vaksinasi untuk dos pertama Pfizer, seperti biasa bacaan tekanan darah akan diambil. Terkejut besar dia apabila bacaan tekanan darahnya sangat tinggi, melebihi 180/95. Langsung dia tidak menjangka bacaan boleh setinggi itu kerana dia sentiasa sihat.

Doktor menasihatkan dia berehat di wad dahulu sebelum divaksinasi. Lama juga dia berada di wad kerana tekanan darahnya tidak mahu turun.

Bermula hari itu, dia mengambil pil Amlodipine setiap hari untuk mengawal tekanan darahnya. Alhamdulillah sehingga hari ini dia sihat tanpa apa-apa kesan sampingan.

Apa yang dapat saya iktibarkan dari kisah ini ialah, usah terlalu yakin dengan kesihatan kita apabila usia meningkat. Buatlah pemeriksaan berkala, ujian darah dan ujian-ujian lain agar kita peka dengan status kesihatan sendiri. Jangan ingat tidak pernah sakit demam itu tanda kita tidak berisiko. Darah tinggi tiada gejala. Bimbang nanti tiba-tiba kita rebah dan mengalami stroke tanpa sempat berbuat apa-apa.

Benar, kita semua menuju mati tetapi Allah menyuruh kita menjaga diri.

No comments:

Post a Comment