Thursday, June 23, 2022

Peringatan Ini

Banyak cerita kematian yang mengejutkan saya terima dalam minggu ini. Ia berkisar di sekitar saya, orang-orang yang saya kenal dan kasih.

Bermula dengan kepulangan penyanyi Adibah Noor pada Isnin 19 Jun yang amat menyentap rasa kerana saya baru sahaja melihat dia di laman sosialnya mengacara satu majlis di Dectar, UKM. Walaupun nampak fizikalnya seperti berubah, tidak pula diketahui yang dia sedang sakit. 

Seterusnya Ustaz Sayuti Rajab, rakan guru saya yang juga sahabat adik saya, turut berpulang pada Selasa 20 Jun. Dia bercuti sakit kerana demam pada hari tersebut, dan apabila isterinya pulang dari kerja pada tengah hari, didapati suaminya sudah tidak bernyawa. Allahuakbar! Tidak terbayang bagaimana perasaan isterinya saat menghadapi kenyataan sepedih ini.

Semalam, tanggal 22 Jun, seorang murid sekolah saya meninggal sewaktu pulang dari sekolah kerana kemalangan. Muhammad Farish Iman bin Abdul Muhaimin baru berusia 14 tahun, sedang belajar di tingkatan dua di sekolah ini. Dia yang menunggang motosikal telah dirempuh oleh kereta X70 sewaktu memotong kereta di hadapannya. Dia meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

Allahuakbar. Sesungguhnya mati itu benar, dan jadikanlah sebagai peringatan untuk kita kerana kita juga sedang menanti masa. Semoga Allah menempatkan mereka di tempat yang terbaik, amin.

No comments:

Post a Comment