Tuesday, June 14, 2022

Idaman Hati


Sejak lama, saya selalu membantu suami saya menyiapkan tugas sekolahnya. Entah kenapa dia begitu mengharapkan saya dalam banyak perkara berkaitan tugasnya terutama apabila memerlukan penggunaan komputer dan perisian. Saya tidak boleh berkata tidak kerana sebagai isteri saya perlu membantu semampu saya walaupun ada kalanya saya tidak suka.

Minggu lepas, dia meminta bantuan saya lagi untuk menyelesaikan PBPPP nya dan juga pengisian borang keberhasilan. Selagi dia belum pencen, selagi itulah saya akan terus menjadi tempat dia memohon bantuan. Sebaliknya, kerja sekolah saya tidak pernah pula saya meminta dia bantu apa-apa!

Saya cuba untuk ikhlas, dan mohon agar Tuhan beri saya hati yang reda untuk terus memberi yang terbaik buat seorang suami. Penat, jemu, bosan, semuanya silih bertingkah. Aduh! Ampunilah saya ya Allah!

Untuk sedikit penawar rasa, saya meminta hadiah gelang emas. Kali ini saya sungguh-sungguh. Dia kata, sudah banyak kali saya meminta gelang emas darinya tetapi bila dia ajak pergi membeli saya menolak.

Ya, sudah banyak kali saya meminta dan sudah banyak kali dia mengajak, tetapi saya menolak kerana jiwa saya belum mahu. Kali ini saya kata saya sungguh-sungguh mahu.

Lalu pada Khamis itu, dia membawa saya ke kedai emas. Tanpa banyak soal, saya akhirnya mendapat seutas gelang emas pattern sauh seberat 14.7g dengan harga RM4070.

Terima kasih suami, kerana memenuhi permintaan saya.

Dari kedai emas, kami menuju pula ke kedai cermin mata untuk sebuah cermin mata berbingkai jenama Monalisa dan bercermin BBGR (photo grey) berharga RM1750.

Alhamdulillah, saya mendapat dua idaman hati kali ini. Terima kasih encik suami yang tidak lokek berbelanja untuk saya. Nanti saya minta lagi ya!

No comments:

Post a Comment