Saturday, June 18, 2022

Tentang Anugerah

Jikalah saya ini seorang Pengetua, pelajar-pelajar yang cemerlang SPM akan saya panggil untuk menerima anugerah kecemerlangan pada majlis mesyuarat agung PIBG. Pada hari keputusan diumumkan, saya tidak akan adakan apa-apa hadiah. Pada hari itu, saya mahu biarkan mereka melayan emosi sendiri.

Mungkin ada pelajar yang hanya mendapat 1A atau tiada A langsung, tetapi hati mereka sangat gembira kerana sewaktu peperiksaan percubaan, gred terbaik mereka hanyalah C tetapi dalam SPM sebenar ada gred B+ dan B yang banyak. Siapa mahu meraikan peningkatan mereka?

Kita hanya nampak bilangan A di slip pelajar cemerlang, sedangkan gred C di slip pelajar kelas belakang juga satu kejayaan. Siapa mahu meraikan mereka?

Pada hari keputusan SPM itu, saya akan beri ucapan tahniah kepada semua pelajar yang datang, walau apa pun keputusan mereka. Mereka telah berjaya menamatkan persekolahan menengah mereka, dan bakal melangkah ke fasa seterusnya, walau apa pun keputusan mereka. Ada yang akan sambung belajar sehingga ke peringkat tertinggi, dan ada juga yang akan mencari kerja. Apa pun pilihan mereka, selagi ia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara, saya akan menyokong.

Semua pelajar SPM akan saya rai, akan saya minta mereka naik ke pentas untuk bergambar dan berjumpa guru-guru mereka, walau apa pun keputusan mereka.

Mereka adalah generasi yang akan mencorak masa depan negara. Bukan hanya dalam bidang profesional tetapi juga dalam segala ruang yang memerlukan mereka. Saya sentiasa ingatkan diri saya yang negara memerlukan mereka semua, walau apa pun keputusan mereka.

Teruskanlah perjalanan kalian wahai anak-anak. Jadilah apa sahaja asalkan Allah reda.

Cikgu tetap mengirim doa, kerana kalian adalah anugerah yang sentiasa cikgu syukuri.

No comments:

Post a Comment