Friday, June 03, 2022

Pertama

Selamat bercuti cikgu-cikgu.

Hari ini hari pertama cuti sekolah bagi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor. Kami diberi cuti seminggu sahaja, tapi pada saya sudah mencukupi.

Sememangnya cuti kali ini sarat dengan agenda, sehingga kami tiada ruang untuk mencuri masa sehari dua pergi berehat di mana-mana. Tidak mengapa, saya ok sahaja.

Pengetua sekolah kami sangat memahami keinginan kami yang baru terlepas dari kurungan PKP selama dua tahun - ingin bercuti - jadi dia tidak mewajibkan kelas tambahan pun. Terima kasih.

Agenda sepanjang cuti ini sememangnya padat. Esok kami sudah berjanji untuk membawa mek ke klinik pada pagi dan hadir kenduri rakan guru saya, Hj Zawawi di Kadok pada tengah hari. Ahad pula suami saya ada dua jemputan kenduri rakannya, dan saya bolehlah bertandang ke rumah Ma.

Isnin, kami akan menyertai rombongan pernikahan Azrie, anak saudara suami saya. Selasa pula majlis kenduri mereka di pihak perempuan berlangsung.

Rabu, suami saya bertugas di sekolahnya (sekali lagi saya berpeluang ke rumah Ma) dan Khamis ialah hari untuk kami menyelesaikan urusan pejabat. Suami saya mahu ke pejabat tanah untuk urusan bayaran cukai manakala saya mahu ke bank untuk pembaharuan kad debit CIMB.

Jumaat kami berehat dahulu sementara menanti Sabtu yang akan diisi dengan majlis kenduri Azrie di rumah ibunya.

Begitulah.

Dan hari ini sudah selesai saru hari. Seawal pagi kami keluar bersarapan di Kedai Nasi Kerabu Nusuk di Kok Lanas. Kemudian kami menuju ke rumah Ma, juga ke rumah mek sebelum ke G-Orange Mall untuk berbelanja keperluan rumah tangga.

Pulang ke rumah, jam sudah menghampiri dua belas. Anak saudara suami saya, Rahimi dan Zaki datang untuk melihat kambing yang suami saya mahu hadiahkan untuk majlis solat hajat rumah Rahimi minggu depan. Saya hidangkan air oren dan kek untuk mereka.

Seterusnya, suami saya bersiap ke masjid untuk solat Jumaat manakala saya memasak. Daging goreng, ikan kering goreng, sayur kacang panjang goreng dan sambal belacan saya sediakan untuk hidangan tengah hari kami.

Minum petang selepas Asar hanya roti dan teh o ais. Untuk malam pula, saya sediakan kuetiau goreng.

Begitulah bila cuti, saya penat memasak.

No comments:

Post a Comment