11 Julai 2024, 6:26 pagi saya menulis catatan ini seusai solat subuh dan mengaji, di katil 22 wad 3 Utara HUSM.
Hati saya masih tenang. Malam tadi pun saya lena elok. Alhamdulillah.
Petang ini, jam 2 pm saya akan masuk lagi dewan bedah untuk kali kelima dalam hidup saya. Kali ini kerana hempedu saya pecah. Patutlah sakitnya tidak terkata, rupanya bukan sekadar bengkak dan ada batu, tetapi sudah pecah!
Ia bermula pada malam Rabu, 26 Jun 2024. Saya makan nasi berlaukkan daging goreng, dan selepas itu terus tidur. Perut rasa tidak selesa sepanjang malam, tetapi selepas membuang air besar pada paginya, ia lega. Jadi saya dapat ke sekolah seperti biasa.
Pun ia berulang lagi pada malam Jumaat dan sakitnya sampai ke pagi. Saya ke klinik, doktor bagi suntikan dan ia sembuh. Alhamdulillah. Gastrik lah ni, sangka saya.
Dan sejak itu, setiap tengah malam saya sakit, tetapi tidak berpanjangan. Selalunya menjelang pagi saya ok semula dan dapat ke sekolah.
Sehinggalah pada pagi Khamis 4 Julai, sakitnya enggan kebah. Suami saya mencadangkan kami ke kecemasan saja, dan kami menuju ke HUSM pada jam 7:15 pagi. Darah diuji, dan dada diimbas. Doktor nampak hempedu bengkak, jadi dia bagi ubat dan temujanji di klinik radiologi yang tarikhnya belum ada. Saya kena telefon pada Rabu untuk dapatkan tarikh itu.
Pulanglah saya ke rumah dengan sakit yang belum kebah sepenuhnya. Di rumah pada Khamis, Jumaat dan Sabtu, saya hanya terbaring lesu. Makan pun tidak lalu kerana rasa loya.
Ahad, saya rasa agak sihat. Saya cuba untuk makan seperti biasa, dan sempat bertandang ke rumah ma untuk bermesra dengan adik beradik dan anak-anak saudara. Saya ceria dan gembira sekali dengan suasana begini dan lupa langsung yang saya sedang sakit.
Pagi Isnin, sakit itu kembali lagi. Saya ke klinik swasta di Tunjong, doktor melakukan ujian ultrasound dan kelihatanlah batu di dalam hempedu saya sebesar 2.5 cm.
Pulang ke rumah, saya hanya terbaring. Sakit tidak hilang juga walaupun doktor sudah suntik ubat. Kemuncaknya, pukul 1.30 pagi Selasa 9 Julai 2024, saya mengalami kesakitan yang amat sangat, tidak terkata hingga terketar-ketar menahannya. Setelah hampir setengah jam bertarung sendirian, saya kejut juga suami saya dan mengajaknya ke HUSM.
Terbaringlah saya di wad kecemasan, dan dihantar ke wad 3 Utara pada jam 4 petang.
Ujian ultrasound dan ujian CT Scan dilakukan, dan hempedu saya didapati sudah pecah. Rawatannya ialah pembedahan.
Saya reda dan terima saja segala cadangan doktor, dan tidakhenti berdoa agar segalanya dimudahkan. Hanya Allah yang Maha Penyembuh.
Doakan saya.
Doakan saya.
No comments:
Post a Comment