Monday, September 30, 2024

Indah


Sejak suami saya bersara lima bulan lalu, ramailah yang bertanya adakah saya juga akan bersara awal?

Seorang rakan guru (lelaki) terkejut bila saya kata saya tidak tahu lagi mahu bersara bila. Saya memilih bersara pada umur 60, jika saya sihat mungkin akan sampai ke situlah perkhidmatan saya. Jika tidak, mungkin akan bersara lebih awal. Bergantung.

Seorang saudara jauh pula, meramalkan saya tidak akan bertahan sampai umur 60 kerana nanti akan terliur melihat suami saya berehat di rumah dan dapat ke sana ke mari dengan selesa.

Ironinya, suami saya sendiri tidak pernah memberi apa-apa cadangan atau syarat kepada saya. Dia membiarkan saya memilih sendiri - mahu terus berkhidmat atau bersara awal.

Dan saya pula, masih tidak mahu memikirkan tentang bersara. Pada usia lima puluh dua tahun ini dengan keadaan kesihatan yang turun naik, saya masih mahu terus mengajar. Biarlah apa orang kata, mereka tidak berada di tempat saya.

Jika saya mampu (baca: sihat) saya mahu terus menjadi guru sampai akhir hayat. Jika nanti saya bersara pada usia enam puluh, saya mahu juga terus mendidik dengan cara saya sendiri. Saya tidak mahu kuburkan kerjaya kecintaan saya ini begitu sahaja.

Dan sehingga hari ini, biarlah saya terus menikmati keindahan alam perguruan ini. Indah, jika kita tahu bagaimana mengindahkannya. 

Saturday, September 28, 2024

Takrif Berjaya


Selalu, bila memotivasikan anak-anak, kita mentakrifkan kejayaan hidup (baca: dunia) itu ialah apabila memiliki wang dan harta yang banyak. Selalu, kita mahu mereka belajar bersungguh-sungguh supaya dapat kerja besar dan gaji besar. Maka, berjayalah mereka. Sejuk perut ibu mengandung.

Dahi saya berkerut-kerut, masih tidak mampu menerima takrifan sebegini. Wang dan harta disamakan dengan kejayaan pada saya bukan sesuatu yang adil. Ia masih senget.

Berjaya, pada saya adalah apabila kita mampu hidup tenang tanpa menyusahkan orang. Gaji kecil tidak mengapa (walaupun SPM 9A+) asalkan bijak mengurus kewangan, dan tahu mencari peluang. Kerja kampung pun tidak mengapa, asal tahu tanggungjawab dalam hidup dan mengatur perbelanjaan dengan penuh hemah. Dia lebih berjaya daripada si bergaji besar tetapi bodoh dalam berbelanja. Hutang dan pinjaman tidak pernah usai, selalu ditambah-tambah untuk nampak gah di mata manusia tetapi poket kering kontang.

Saya mahu anak-anak saya rajin belajar dan menjadi manusia berilmu supaya apa pun yang bakal dia hadap dalam hidup masa depannya, dia bijak dan matang menangani. Jika dia hebat secara material, dia tetap "humble" dan merendah diri. Jika dia terjatuh dan luka, dia bijak mencari penawar untuk bangkit kembali. Dia bukan meminta-minta, atau bergantung pada manusia. Dia bijak, dia manusia berjaya, lalu dia tahu untuk mencari penyelesaian kepada setiap kesukaran dalam hidupnya.

Semoga anak-anak kesayangan saya begitulah apabila dewasa nanti. Itu doa saya setiap waktu. 

Friday, September 27, 2024

EMBRACE YOUR TRUTH

 EMBRACE YOUR TRUTH


In the quiet hours, when shadows lengthen,

Remember: Your pain is yours alone.

Those judgments, those whispered criticisms?

They fade like mist in the morning sun.


Who are they to dictate your heart's rhythm?

Their words are but leaves in the wind,

While your struggle is an ocean, deep and vast.


When the world grows heavy,

When your knees buckle under its weight,

Who catches you?

Not their opinions. Not their expectations.


It's your own strength that cradles you,

Your resilience that whispers, "Hold on."

In those raw moments of collapse,

Their thoughts are galaxies away.


Your journey is sacred, your battles hard-won.

Let their judgments roll off like water.

They haven't walked in your shoes,

Haven't felt the ache in your bones.


So stand tall in your truth.

Wear your scars like constellations.

Your story is yours to write,

Your path yours to forge.


Don't dim your light for those who fear the dark.

Don't shrink your spirit to fit their mold.

You are vast, you are deep, you are powerful.


Let them think what they may.

You know your worth.

And in the depths of night,

When the pain feels too much,

It's your own fierce spirit that holds you tight.


You are your own sanctuary.

You are your own strength.

And that, dear warrior, is utterly unbreakable.

Saturday, September 21, 2024

Hadiah


Teringat masa kenduri kahwin saya dulu pada Februari 1998. Saya hanya dapat dua saja hadiah iaitu periuk nasi elektrik daripada rakan pejabat arwah ayah saya dan set gelas daripada tukang jahit saya yang juga cucu jiran saya. Itu sahaja. Hadiah daripada rakan guru suami saya ada juga iaitu set periuk dan kuali tetapi hadiah itu diberi kemudian, apabila suami saya kembali ke sekolah selepas bercuti.

Semua hadiah yang saya terima saya guna seoptimumnya. Periuk nasi itu tahan bertahun-tahun sebelum rosak. Set gelas enam biji itulah yang saya guna selama menyewa di Kuala Krai dulu. Begitu juga periuk dan kuali, memang berguna semuanya.

Walaupun kini semua itu sudah saya buang kerana lusuh, tetapi baktinya tetap saya kenang. Saya yakin pahala mengalir kepada semua pemberi itu.

Pengantin kini, pada pemerhatian saya, menerima banyak hadiah tetapi kebanyakannya hanya disimpan saja, tidak diguna. Mungkin ada antara hadiah-hadiah itu yang diberi kepada orang lain pula, supaya ia tidak tersimpan sampai rosak binasa.

Melihat situasi begini, saya tidak lagi membeli hadiah kepada pengantin baru. Saya lebih suka memberi tunai, dan terpulang kepada mereka untuk membeli apa, atau menyimpan saja. Bukanlah perlu beri banyak pun, jika secara individu saya beri RM50 - RM 100 sahaja. Jika saudara dekat akan lebihlah sedikit. Dan kalau anak-anak rakan, kami akan buat kutipan dan beri tunai kepada ibu pengantin. Selalunya ribu-ribu juga dapat sebab kami ramai.

Apa-apa pun, semuanya boleh sahaja asal praktikal dan tidak membazir. 

Friday, September 20, 2024

Teman Sebilik

Jom kenali insan-insan mulia yang pernah menjadi teman sebilik aka room mate saya.

Pada tahun 1985, sewaktu minggu orientasi MRSMKT, teman sebilik saya ialah Nik Roslini binti Raja Ismail (kini Datin Setia, isteri kepada Menteri Agama), berasal dari Kuala Krai, Kelantan.

Selepas tamat minggu orientasi, saya berpindah asrama dan teman sebilik baru saya ialah Noor Hasliza binti Hassan (kini bergelar Dr.) yang berasal dari Besut, Terengganu. Kami tinggal sebilik sehingga Tingkatan 4 (1988).

Pada 1989, saya berpindah asrama lagi, dan kali ini teman sebilik saya ialah Nor Haslinda binti Othman, berasal dari Kuala Terengganu.

Seterusnya, saya menyambung pengajian di Matrikulasi UKM, Kulim pada 1990. Asrama saya di sini berbentuk dorm, dan memuatkan lapan orang sebilik. Mereka ialah Nor Azlinah binti Abdul Rahman dari Selangor, Nor Azleen binti Ayob dari Perak, Norazizah binti Nordin dari Johor, Ummul Khair dari Pulau Pinang, Siti Salwa binti Ramly dari Perlis, Roziah dari Pahang dan Puteri Fajariah binti Megat Mohd Ghazali dari Perak.

1991, saya berpindah pula ke Pusat Matrikulasi Kuala Pilah dan diberi bilik berempat. Tiga orang rakan sebilik saya kali ini ialah Maira binti Hassan dari Kuala Terengganu, Norita binti Abdul Rashid dari Sungkai, Perak dan Monaliza binti Zulkifli dari Johor.

Masuk UKM, tahun pertama saya bertemankan Afizan binti Abdul Kadir dari Temerloh, Pahang. Pada tahun kedua saya tinggal di single room jadi tiada teman sebilik.

Pada tahun ketiga, teman sebilik saya ialah Nor Azhariah binti Mohd Fadzli dari Selangor. Pada tahun akhir, barulah saya kembali mendapat teman sebilik yang senegeri dengan saya iaitu Siti Aishah binti Hasan dari Pasir Puteh.

Di KPLI, pada minggu orientasi saya bertemankan Nor Akmaliah binti Lukman dari Dungun, Terengganu. Seleaps tamat minggu orientasi saya menyewa rumah berdekatan dan tinggal bersama 10 orang lagi rakan. Bilik saya di rumah itu adalah master bedroom jadi kami tinggal berempat di bilik itu. Mereka ialah Katijah binti Mamay dari Kemaman, Terengganu, Nor Kamsiah binti Abdul Hamid dari Pekan, Pahang dan Mahani binti Ibrahim dari Melor, Kelantan.

Pada bulan terakhir di KPLI, saya kembali menginap di asrama dan teman sebilik saya ialah Nor Kamsiah binti Abdul Hamid, yang juga rakan sebilik saya sewaktu menyewa.

Alhamdulillah, semua rakan sebilik saya baik-baik belaka. Mereka sentiasa memberi kerjasama dan bantuan pada waktu saya memerlukan.

Semoga mereka semuan dalam rahmat Allah sentiasa. Amin. 

Wednesday, September 18, 2024

Kembali

Sebenarnya saya tak kisah pun kalau UPSR dan PMR dikembalikan, walaupun pada pandangan saya ia bukan penyebab kemerosotan pencapaian anak-anak kita hari ini. Ada baiknya juga, sebab ia menjadi pengukur keupayaan murid sekolah rendah sebelum ke sekolah menengah.

Tetapi, sekadar itu sudahlah. Kenapa nak dijadikan upsr itu sesuatu untuk 'dikejar'? Ajarlah anak-anak kita untuk belajar kerana kewajipan, bukan kerana target peperiksaan. Itu yang saya tak suka. Sehinggakan tidak cukup masa untuk mengulangkaji UPSR, sampai tiada ruang untuk anak-anak ini bermain dan meneroka alam.

Sebagai muslim, menuntut ilmu itu wajib. Ada peperiksaan atau tidak, ia tetap wajib. Muslim mesti bijak dan berpengetahuan, walaupun bercita-cita mahu menjadi suri rumah. Alangkah indahnya hidup jika mahu jadi apa pun, tetap ada kelulusan tinggi. Tidaklah mereka sesuka hati membuat content media sosial yang memalukan dan memualkan. Bila ditangkap, menangis dengan alasan "saya tidak tahu.."

Wahai ibu bapa, juga para guru, ubahlah minda yang tetlalu berkiblatkan peperiksaan. Didiklah anak-anak untuk ikhlas dalam mencari ilmu demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat, bukan untuk dibanding-banding pencapaian mereka. Kenal pasti kebolehan dan keupayaan anak-anak kita dan lorongkan mereka ke jalan yang sesuai dengan minat dan keupayaan mereka itu. Amanah ini berat, usahlah menjadi ibu bapa yang gagal.

P/S: Saya bukan orang tua yang tak perform dalam peperiksaan ya!

 

Wednesday, September 11, 2024

Kepahitan silam itu..

Saya sering tersapa tulisan insan-insan yang berkongsi kisah perit masa silam mereka. Miskin, dipandang hina, dibuli, diketawakan rakan sekolah dan segala yang pahit untuk ditelan. Lalu mereka menempuh semuanya dengan tabah dan akhirnya kini mereka menjadi orang berjaya.

Saya terfikir, apakah untuk menjadi orang berjaya syaratnya mesti melalui keperitan dan kesukaran hidup pada masa kecil? Apakah anak-anak orang berada yang tidak merasa kesusahan hidup, mereka tidak cukup syarat untuk berjaya?

Entahlah. Dahulu saya teruja juga dengan kisah-kisah begini, kagum dengan semangat juang anak-anak kampung yang miskin dalam mengubah nasib keluarga. Hebat mereka ini. Tetapi bila saya amati, saya rasa kisah begini tidak perlulah dicerita berkali-kali. Ia seperti skrip yang sama untuk semua orang apabila ditanya liku perjalanan yang mereka tempuh sebelum menjadi orang berjaya. Ada jemu pula bila mendengar kisah berulang-ulang.

Saya bukan menafikan kemiskinan sebagai salah satu faktor kejayaan mereka, tetapi itu bukan satu-satunya. Dan bukan tiada anak-anak orang miskin yang terus miskin, gagal dalam peperiksaan, tidak mahu berubah. Begitu juga anak-anak orang berada, ramai yang cemerlang dan menjadi orang hebat.

Untuk generasi kini, kisah kemiskinan seperti tidak relevan dengan mereka.

Lalu, untuk memberi motivasi kepada anak-anak muda masa kini, bukan lagi kisah kemiskinan yang perlu diceritakan. Beri mereka sesuatu yang berbeza. Mungkin tentang keseronokan belajar di universiti, cabaran untuk hidup berdikari juga kisah persahabatan sejati.

Itu antara yang menjadi motivasi saya dahulu. Saya tidak sabar mahu menikmati alam universiti kerana apa yang saya bayangkan ialah betapa seronoknya bergelar mahasiswa. Saya nampak megahnya Perpustakaan Tun Seri Lanang, saya nampak hebatnya Dewan Canselor Tun Abdul Razak, semua itu mengujakan saya.

Saya juga sudah tidak sabar untuk berdikari. Saya mahu membina hidup tanpa membebankan ibu ayah saya lagi. Mereka bukan orang miskin, tetapi saya tetap mahu memberi yang terbaik buat mereka.

Dan saya juga suka membina persahabatan dengan teman-teman sepengajian. Saya belajar di asrama sejak tingkatan satu, jadi hidup saya banyak dikelilingi kawan-kawan. Mereka menjadi inspirasi saya yang tidak kurang pentingnya.

Tidak perlu kisah keperitan silam untuk saya menuju cita-cita. Terima kasih ibu dan ayah kerana membina rasa untuk terus belajar dalam diri saya.

Alhamdulillah.




 

Friday, September 06, 2024

Cerita Nasi Goreng


"Nasi goreng sudahlah terpuji, seluruh dunia seantero negeri..."

Itu lirik lagu P Ramlee dalam cerita Labu Labi. Saya bukan nak cerita tentang lagu, tetapi tentang nasi goreng.

Dulu masa kecil, saya cuma tahu nasi goreng yang emak saya buat. Tumbuk cili kering sampai lumat kemudian masukkan bawang merah dan bawang putih, tumbuk lagi sampai lumat lagi. Lenguh tangan weh!

Kemudian panaskan minyak, tumislah bahan tumbuk tadi. Wangi je bau dia. Lepas tu masukkan ayam atau daging yang dah dipotong kecil. Udang atau sotong pun boleh. Nal letak semua pun tak apa, lagi sedap!

Kemudian kacau-kacau, masukkan kicap dan garam. Sos ikan juga. Lepas tu masukkan sayur dan nasi, kacau lagi sampai tergaul rata dan mesra semuanya, bolehlah angkat dan hidang.

Ya Allah, sedap sungguh nasi goreng emak saya.

Bila saya dewasa dan pandai makan di kedai, baru saya tahu ada macam-macam jenis nasi goreng di Malaysia ni. Nasi goreng kampung, nasi goreng ikan masin, nasi goreng cina, nasi goreng paprik, nasi goreng belacan, nasi goreng USA, dan segala macam lagi. Tapi percayalah, nasi goreng emak saya tetap nombor satu.

Lidah saya pula, tidak begitu suka dengan nasi goreng kampung dan nasi goreng ikan masin. Saya tidak pernah pesan menu itu di kedai. Yang kena dengan lidah saya cuma nasi goreng cina dan nasi goreng paprik, selain nasi goreng biasa.

Nasi goreng kampung jadi tidak sedap pada saya sebab saya tidak suka ada ikan bilis dan kangkung dalam nasi goreng. Saya makan je ikan bilis dan kangkung, tetapi bila masuk dalam nasi goreng rasanya kurang memikat. Ikan masin pun sama. Jadi dua menu ini bukan pilihan saya. Tetapi kalau orang belanja, saya makan je...

Sekian cerita nasi goreng. 

Tuesday, September 03, 2024

1998.


Banyak peristiwa sepanjang tahun bersejarah ini, bukan saja untuk Malaysia tetapi juga untuk diri saya sendiri.

Antara peristiwa bersejarah di Malaysia pada 1998 ialah
1. KLIA dibuka secara rasmi pada 27 Jun, menjadi lapangan terbang antarabangsa yang utama di Malaysia menggantikan lapangan terbang Subang.

2. Pada 2 September, Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya, Parlimen, dan UMNO.

3. Dari 11 sehingga 21 September, Sukan Komanwel buat pertama kalinya berlangsung si Malaysia, juga pertama di Asia.

Manakala untuk diri saya pula, ada juga peristiwa-peristiwa penting berlaku pada tahun ini.

1.  Saya diijabkabulkan dengan pemuda pilihan ayah ibu pada 2 Januari 1998 bersamaan 3 Ramadan 1418. Bagaimana pun majlis kenduri dilangsungkan selepas Aidilfitri, iaitu pada 19 Februari.

2. Saya terbang ke Sabah pada 6 Januari untuk penempatan pertama sebagai guru. Hanya dua hari di sana, saya dihantar pulang semula ke Semenanjung pada 8 Januari untuk penempatan baru.

3. Harijadi saya yang kedua puluh enam pada 9 Januari adalah harijadi pertama saya disambut bersama suami. Hadiah istimewa darinya ialah sehelai tudung bercorak, berwarna biru.

4. Pada 6 Mac, saya melapor diri sebagai guru di SMK Mahmud, Raub. Suami menghantar saya ke sana dan seterusnya dia menyewa rumah teres di Kuala Krai kerana dia bertugas di SMUA Rahmaniah. Saya pulang setiap hujung minggu menaiki bas atau menumpang rakan guru yang pulang ke KB.

5. Pada 26 Ogos, saya melalui pembedahan membuang sista dan fibroid di HUSM. Saya diberi cuti selama enam minggu.

6. Pada hujung Disember,  permohonan pertukaran saya diluluskan, dan saya kembali ke Kelantan untuk bertugas di SMK Kuala Krai pada 1 Januari 1999.

Begitu antara kisah dan cerita yang saya lalui dua puluh enam tahun lalu, sewaktu usia saya dua puluh enam tahun. Saya bersyukur sesungguhnya dengan setiap ketetapan Allah, dan reda dengan segala pemberian-Nya.


 

Monday, September 02, 2024

Matematik


Serendah itukah?

Lama saya menyimpan perasaan apabila membaca tulisan-tulisan para agamawan(?) tentang Matematik. Mereka seperti langsung tidak menghargai ilmu ini, apatah lagi memahami kepentingannya. Apa yang membawa mereka ke syurga adalah ilmu-ilmu lain kecuali Matematik.

Matematik ini ilmu yang tidak perlu, menyusahkan dan tidak memberi sebarang manfaat. Buat apa susah-susah belajar Matematik, ia membazirkan masa sahaja. Langsung tidak digunakan dalam alam pekerjaan terutama Matematik Tambahan. Pembezaan, Pengamiran, Hukum Linear, Trigonometri, Logaritma, untuk apa semua itu? Hanya menyakitkan kepala sahaja. Baiklah mendalami ilmu tauhid, feqah, tafsir, atau menghafaz Quran. Ada juga pahalanya.

Jadinya, dapatlah saya membuat kesimpulan tentang orang-orang yang berfikiran begini. Pandangan mereka ke akhirat hanya satu jalan. Ilmu Tuhan bagi mereka hanya sekelumit yang mereka belajar. Tiada Sains dan Matematik dalam agama.

Sewaktu saya di wad beberapa bulan lepas, kebanyakan doktor akan teruja bila mengetahui saya guru Matematik Tambahan. Mereka menjerit kegembiraan sambil berkata,

"Eh, subjek kegemaran saya tu puan! Saya suka sangat Add Maths. Pernah dapat 100!"

Saya tersenyum bahagia. Doktor-doktor ini tidak guna pun Kalkulus sewaktu merawat saya, tetapi mereka bijak dalam membuat keputusan. Mereka tahu keutamaan. Mereka pandai menyelesaikan masalah. Kenapa?

Kerana mereka belajar Matematik Tambahan. Dalam Matematik Tambahan mereka belajar semua itu - membuat keputusan, memilih keutamaan dan menyelesaikan masalah. Memang susah, tetapi mereka boleh. Matematik Tambahan mengajar mereka untuk sentiasa mencari penyelesaian walau sesusah mana pun masalah.

Agamawanku, kalau kalian tidak tahu apa itu Matematik Tambahan usahlah berkata-kata. Kalian sangat melukakan hati saya, dan saya rasa malu dengan cara berfikir kalian. Usah sempitkan minda kalian kepada ilmu yang kalian tahu sahaja, kerana ilmu Allah itu luas.

Sekian.

Jom, temani saya jawab soalan Add Maths ni...