Saturday, February 21, 2026
Cuti dan Ramadan
Saturday, February 14, 2026
Anak
Friday, February 13, 2026
Balik Awal
Semalam merupakan hari terakhir persekolahan sebelum bermulanya cuti seminggu. Rutin saya berjalan seperti biasa walaupun jadual hari Khamis agak padat dengan 7 masa PdPc. Selain mengajar, tugas hakiki saya setiap pagi adalah menyusun jadual relief.
Cabaran bermula apabila ramai rakan guru tidak hadir—enam orang bercuti CRK, lima lagi mengiringi murid ke perlawanan bola, dan ada juga yang mempunyai urusan lain. Akhirnya, banyak kelas terpaksa ditandakan sebagai "tiada pengganti".
Tepat jam 9.19 pagi, satu pengumuman masuk di grup rasmi sekolah daripada PK HEM. Ada ceramah Ambang Ramadan di dewan pada jam 12.30 tengah hari dan semua murid dibenarkan pulang pada jam 1.10 petang.
Sebagai guru, kami akur. Namun, timbul persoalan: jika murid balik awal, bagaimana pula dengan guru? Tanpa arahan rasmi, waktu pulang kami tetap kekal jam 2.15 petang. Saya secara peribadi tidak kisah kerana suami hanya menjemput pada jam 2.30 petang, tetapi bagi guru lain, timbul desas-desus untuk pulang lebih awal.
Pada hemat saya, apabila murid sudah tiada, tidak salah jika guru turut dibenarkan pulang. Ruang kelas pun sudah kosong. Walaupun ada kerja lain, ia boleh diselesaikan pada waktu lain. Jujurnya, jika rakan-rakan lain pulang awal tetapi saya tidak, saya tetap gembira. Dalam kesunyian bilik guru itulah saya berpeluang melayan hobi '3M' saya—menulis, membaca, dan mengira.
Thursday, February 12, 2026
Kalendar Cina
Kalendar Cina menggunakan sistem zodiak 12 haiwan, dan setiap tahun diwakili oleh satu haiwan tertentu. Kitaran ini berulang setiap 12 tahun.
Berikut ialah turutan haiwan dalam kalendar Cina:
Tikus (Rat)
Lembu (Ox)
Harimau (Tiger)
Arnab (Rabbit)
Naga (Dragon)
Ular (Snake)
Kuda (Horse)
Kambing (Goat/Sheep)
Monyet (Monkey)
Ayam (Rooster)
Anjing (Dog)
Babi (Pig)
Tahun-tahun terkini
2020 – Tikus
2021 – Lembu
2022 – Harimau
2023 – Arnab
2024 – Naga
2025 – Ular
2026 – Kuda
2027 – Kambing
Wednesday, February 11, 2026
Memadam Dosa
Ilmu dan Rezeki
Monday, February 09, 2026
Puisi Renungan (Yusuf:65)
Tuesday, February 03, 2026
Pendosa
Saturday, January 31, 2026
Di Garis Usia
Setiap hari bersama Mek, pelbagai kerenah perlu kami santuni. Sejujurnya, ada ketika rasa jemu datang menyapa, namun sebagai anak menantu, perasaan sebegitu cepat-cepat ditepis. Saya berusaha setulus hati untuk terus rela dan reda, walaupun sering kali diuji dengan situasi yang meruntun jiwa.
Apabila emak (Ma) saya tidak datang berkunjung, Mek akan bertanya berulang kali, "Bakpo Ma tak mari hari ni? Ma tak cekak ko Ti?" Namun, apabila Ma sudah datang dan pulang, Mek terlupa pula. Sengaja saya menguji, "Mek, Ma mari dok tadi?" Jawab Mek, "Mari ko dok eh? Wei laa... Mek tak ingat..."
Suami saya pula, hampir setiap petang akan mencempung Mek ke kerusi roda. Dibawanya Mek bersiar-siar di sekitar kampung, menghirup udara luar dan menikmati sisa cahaya matahari petang. Beberapa hari lepas, seorang anak saudara datang menziarah. Mek mula mengadu, "Lama dah aku tak turun tanoh. Lagu mana doh rupa alik luar nu, tak tengok lama doh. Tadok sapo nak wak turun..."
Suami saya yang mendengar hanya mampu tersenyum tawar lalu mencelah, "Kan ore wak turun sokmo Mek petang-petang?" Mek terdiam.
Petang kelmarin, sewaktu membawa Mek turun lagi, suami bertanya lembut, "Mek, ni ore wak turun doh ni. Hari-hari ore wak turun. Tapi bakpo baru ni Mek oyak tadok sapo wak turun?"
"Bila gak Mek kata gitu?" balas Mek pantas.
"Hari tu, masa Abe Deraman mari..."
"Mana ada! Doklah!" Mek menafikan keras.
Begitulah rupa ingatan seorang warga emas berusia 88 tahun. Mungkin memorinya sudah tepu; tiada lagi ruang untuk menyimpan peristiwa harian yang baru. Namun anehnya, bila bercerita tentang kisah-kisah silam, segalanya terpahat kemas dan jelas dalam ingatannya.
Mungkinkah jika saya diizinkan Tuhan sampai ke usia itu, saya juga akan menjadi sedemikian rupa? Dan siapakah yang akan setia melayan bicara saya nanti?
Biarlah ia kekal sebagai misteri.
Jemari Besi
Monday, January 19, 2026
Peraturan?
![]() |
Saturday, January 17, 2026
Hentikanlah!
Thursday, January 15, 2026
Rapuh
Friday, January 09, 2026
Refleksi Kasih buat Noorhayati
Tuesday, January 06, 2026
Rutin
Friday, January 02, 2026
Enam Tahun
Kali terakhir kaki saya menjejak tanah haram ialah enam tahun lalu. Kami bermusafir pada 14 Januari 2020 dan pulang sepuluh hari kemudian.
Seperti semua orang yang pernah ke sana, kami memohon doa agar Allah mengizinkan kami kembali lagi. Kembali menunaikan ibadah umrah dan kami mahu beri yang lebih baik daei yang pernah kami beri.
Takdir yang tertulis, selepas enam tahun pulang, kami masih tiada peluang ke sana. Rindu di hati tidak terkira tetapi ruang seperti tidak mesra. Ada kekangan yang menghalang kami ke sana walaupun kemampuan kewangan ada.
Ya Allah, sungguh saya terlalu rindu. Saya mahu menghadiahkan umrah untuk arwah ayah saya lagi, juga untuk saudara-saudara saya yang telah pergi maka Engkau berilah ruang itu untuk saya. Amin.








