Sunday, September 07, 2014

Nama

Saya seronok membaca nama-nama murid saya. Kepelbagaian yang memberi warna dan nada berbeza.

Dulu saya suka nama-nama panjang. Di sekolah, saya selalu iri melihat nama indah dan jarang didengar. Nama saya kelihatannya sangat biasa.

Ada luang, saya mencipta nama-nama indah yang saya gemari dan membayangkan nama itu untuk anak-anak saya. Apakan daya, saya tak punya kesempatan untuk itu - menamakan anak sendiri.

Pun tiada ralat tentang itu. Saya biasa biasa saja.

Cuma, buat masa kini saya kagumi nama-nama ringkas yang mudah disebut juga ditulis. Kasihan pula kepada pemilik nama yang terlalu panjang kerana beban membawanya terpikul hingga ke tua.

Hmmm.. sekadar melahir rasa.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, August 30, 2014

Salam Merdeka

Salam Merdeka.

Untuk kali yang ke-57, Malaysiaku.

Di sini dan di sana mereka mula melaungkan kalimah itu. Bergegar ke serata buana, bergema ke seluruh alam.

MERDEKA!

Allah memberi izin-Nya untuk kita sama-sama melaungkan kalimah ini lagi pada tahun ini.

Semoga pengertiannya lebih daripada sekadar laungan.

Ya, lebih daripada itu.

Dan
di sini
Lahirnya sebuah cinta.

Sent from Samsung Mobile

Friday, August 29, 2014

Ditinggal

Rabu itu, pulang dari sekolah saya mahu memejamkan mata barang seketika seperti selalu. Namun entah mengapa tidak berlaku begitu. Perut saya tidak selesa.

Malamnya saya mengajak suami ke klinik. Apabila saya memberitahu doktor yang saya senggugut, terus dia bersetuju memberi saya cuti sakit. Lega sekali dalam hati saya.

Maka pada pagi Khamis 28 Ogos semalam, suami menghantar saya ke rumah emak sebelum dia bergerak ke Taiping, Perak. 

Berehatlah saya di rumah emak menikmati cuti sakit sehari ini. Selepas sarapan nasi kerabu yang dibeli adik Zahidah, saya mengisi ruang rehat saya dengan tidur. Alhamdulillah perut saya agak lega daripada kesakitan walaupun belum sepenuhnya. 

Pagi ini adik Ismah ke tempat kerjanya sambil menghantar Zahidah ke stesen bas, yang bakal ke UKM untuk pendaftaran kursus sarjananya. Tinggallah saya dan emak di rumah. 

Menjelang petang Husna dan anak-anaknya tiba memeriahi hari saya. Malam ini Husna akan ke UM juga untuk pendaftaran kursus sarjananya. 

Jumaat hari ini saya keluar ke Wakaf Che Yeh dengan Aziah, Ismah dan Muiz untuk sedikit urusan berbelanja. Tudung, jubah dan blaus menjadi sasaran.

Pulang ke rumah, kami berbekalkan nasi dan lauk kedai untuk dinikmati sebagai santapan tengah hari ini. Juga sebungkus untuk mek di seberang sana.

Elektrik tiba-tiba terputus. Suasana menjadi sangat panas. Mahu tidur pun rasanya susah lena.

Jam 4.15 petang barulah ia kembali pulih.

Jam 6 petang saya pun pulang ke rumah dihantar Ismah. Suami saya bakal tiba sekitar 8-9 malam nanti.

Sent from Samsung Mobile

Thursday, August 28, 2014

Guru

Tuhan tahu betapa saya bersyukur diberi rezeki dalam bidang ini. Bidang yang semakin hari semakin dipandang kecil, semakin tidak dihormati dan semakin diragui.

Mereka sudah tiada keyakinan pada kami. Setiap hari ada sahaja kisah dan cerita tidak enak tentang kami dipaparkan di serata media sosial. Guru kini sungguh tiada kualiti.

Mungkin ada benarnya tetapi janganlah digeneralisasi yang semua guru begitu. Ada puncanya setiap tindakan yang berlaku. Fikirlah secara rasional, betapa sukarnya mengawal puluhan murid yang ada pelbagai watak dan perangai. Sesekali tergelincir juga, mungkin akibat tekanan yang keterlaluan.

Ibu bapa kini terpelajar belaka. Jika sudah hilang percaya pada kami, didiklah anak-anak anda dengan cara anda sendiri.

Sent from Samsung Mobile

Friday, August 22, 2014

Malaysia Berkabung

Selamat kembali saudara-saudaraku. Biar antara kita tidak pernah saling mengenali, namun kesedihan tetap dirasai. Sungguh tiada siapa menduga pengakhiran yang begini namun takdir Allah mengatasi segalanya. Kalian terpilih begini, kami yang tinggal masih misteri.

Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas kalian, dan menguatkan hati-hati kaum keluarga kalian dalam menempuh dugaan.

Yakinlah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. 

Thursday, August 21, 2014

Dialog


Dialog 1

"Kak Ti ada internet banking kan?"

"Ya, kenapa?"

"Nak minta tolong bank in duit. Saya ada beli kain sutera Terengganu kut internet".

"Oh.. boleh".

Dialog 2

"Ti, tolong akak boleh?"

"Tolong apa kak?"

"LHDN dah hantar surat kat akak sebab belum bayar cukai. Ti bayarkan dengan cimbclicks ya? Akak tak sempat la nak pergi bank..."

"Oh.. boleh".

Dialog 3

"Sis! Saya nak minta tolong belikan tiket Air Asia. Saya nak pergi KL dengan suami".

"Bila?"

"Nanti saya mesej detailsnya ya!"

"Ok".

Dialog 4

"Kak Ti ada Cimbclicks kan? Saya nak minta tolong bayarkan PTPTN saya".

Tapi boleh bayar di pejabat pos kan?"

"Orang ramai sangat beratur semalam..."

"Oh, tak apalah."

Dialog 5

"Ti, saya ada berkenan dengan tudung kat internet. Ni saya dah tulis laman dan kod tudung tu. Ti tolong tempah ya..."

"Oh, ok.."


Dialog 6(orang yang sama dengan Dialog 1)

Dia datang berbisik, "Kak Ti, nak minta tolong lagi sekali.."

"Ya, tolong apa?" ( Dalam hati dah boleh agak)

"Jangan cakap kuat-kuat. Saya beli kain lagi. Kak Ti tolong transfer duit ya. Saya tak sempat nak pergi bank.."

"Kalau macam ni, kena buatlah Internet Banking sendiri..." Tutur saya sambil senyum. Hati dah rasa kering. Apa, aku ni kaunter bank ke?

"Tu la.. nak buat juga tapi tak sempat lagi".

Jujurnya, saya sudah semakin tidak ikhlas membantu mereka yang seperti mengambil kesempatan sebegini. Mereka tahu internet banking tu satu keperluan tapi masih mahu menumpang-numpang. Kalau terdesak atau memang sangat-sangat perlu saya tak kisah. Ini tidak, siap beritahu "malam tadi anak saya tolong saya carikan kain kat web Desa Murni. Saya kata, umi nak bayar macam mana? Anak saya jawab, suruh je kawan umi tu bayarkan!"

Saya rasa, sayalah orang yang paling tak suka menyusahkan orang dalam urusan peribadi. Selagi saya mampu, saya buat sendiri. Paling tidak pun, jika tak mampu sangat saya meminta bantuan ahli keluarga. Suami atau adik beradik. Tapi kalau nak menyusahkan rakan tempat kerja, itu perkara terakhir akan saya buat. Sebab, saya tidak tahu suasana kehidupan dan perjalanan harian mereka. Mungkin sahaja permintaan saya bakal menyusahkan mereka.

Tetapi malang, orang lain tidak berfikir begitu. Saya digunakan sepenuhnya.

Saya sudah hilang rasa ikhlas dalam bab sebegini. Selepas ini saya bakal menjawab TIDAK.

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, August 19, 2014

Kisah Dia

Rupa-rupanya ada cerita yang dia simpan tentang kisah hidupnya, yang jarang-jarang dikongsi dengan siapa-siapa, walaupun dengan saya, isterinya. Kisah silam yang mengalirkan air mata saya saat mendengar setiap rentetan hidup yang dilaluinya sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah berjaya melalui setiap liku itu dan membina hidup di sisi saya kini.

Saya tahu dia anak kampung yang kehidupannya berlatarkan sawah bendang dan kebun. Saya tahu arwah Ciknya cuma seorang petani dan Mek pula bukan sekadar suri rumah tetapi turut turun ke sawah juga menoreh getah. Saya tahu mereka bukan tergolong berada, malah sederhana juga jauh sekali.

Namun petang tadi, tiba-tiba dia bercerita. Asalnya saya memberitahunya saya sedih membaca satu tulisan di sebuah blog tentang kisah anak miskin yang setiap hari ke sekolah membawa bekal roti untuk dicecah dengan air sirap. Sekali sahaja dia membawa bekal nasi goreng, itu pun setelah diminta berbuat demikian oleh kawannya kerana mahu merasa nasi goreng masakan ibunya pula. Dan apa yang berlaku, nasi goreng yang cuma dibubuh bawang dan telur itu dibawa di dalam bekas sabun basuh pinggan. Kawannya terkejut dan baru menyedari kemiskinan yang membelit sahabatnya itu.

Lalu, dia pun membuka kisah silam yang lama disimpan rapi.

Kantin sekolah rendahnya dulu adalah tempat yang sangat jarang dikunjungi. Waktu makannya adalah sarapan pagi di rumah, dan makan tengah hari juga di rumah. Wang belanja ke sekolah jarang benar dibawa.

Pernah sekali, waktu membawa wang ke sekolah, dia berkejar-kejar ke kantin untuk membeli kuih cakue. Kuih itu besar, jadi dia mahu makan bersama-sama adiknya Imah. Berlari-lari dia ke kelas Imah, tetapi dia terjatuh kerana berlanggar dengan pelajar lain. Kuihnya kotor. Dikutipnya kuih itu dan dibawa ke paip air untuk dibersihkan sebelum dibawa ke kelas Imah dan makan bersama-sama.

Sewaktu di tingkatan enam, dia langsung tidak menjejak kantin kerana harga makanan di kantin SMIP sangat mahal. Wang yang ada hanya cukup untuk tambang bas pergi dan pulang sekolah. Semasa cuti sekolah, dia seronok mencari wang dengan bersawah padi dan menoreh getah. Wang yang diperoleh itulah digunakan untuk membeli baju dan kasut raya. Dia tidak pernah mengharapkan wang dari Cik dan Mek kerana sangat sedar kesusahan mereka.

Sewaktu dia dipanggil untuk temuduga kemasukan ke maktab, tiada satu pun pakaiannya yang sesuai untuk dipakai. Terpaksalah dia meminjam baju, seluar dan tali leher kawannya. Apabila diterima masuk ke maktab, barulah dia mampu bernafas lega kerana ada elaun bulanan sebanyak RM345, satu jumlah yang agak besar pada tahun 1985.

Banyak lagi kisahnya yang dikongsikan pada saya petang tadi. Tersentuh benar rasanya, kerana selama ini saya sangka kesusahannya tidaklah setahap itu. Malah saya berasa betapa jauhnya beza saya seorang anak kerani dengan dia seorang anak petani. Betapa saya wajib bersyukur dan menghargai kehidupan lampau kerana saya tidak pasti, jika saya sesusah dia adakah saya mampu memiliki semangat seperti dia? Ramai orang di sekeliling saya yang tenggelam dalam kesusahan, dan tidak mampu keluar dari belenggu kemiskinan kerana motivasi diri yang tiada.

Saturday, August 16, 2014

Sambutan

Sangka saya, tiada sambutan hari raya peringkat sekolah diadakan pada tahun ini. 

Apa tidaknya, betapa padatnya pengisian minggu-minggu belakangan ini, sehingga saya tidak rasa ada masa yang sesuai untuk sambutan itu. Selain sukan tahunan yang terlewat, pelajar-pelajar tingkatan tiga juga sedang kalut dengan ujian lisan untuk PT3. Majlis konsultansi pelajar tingkatan lima juga sedang dirancang. Kelas tambahan tidak mahu pula dibatalkan walaupun latihan sukan sudah diarahkan saban petang. Kem kecemerlangan di Aura Training Centre juga tetap setia menanti kedatangan kami hujung minggu ini. Bukankah ini sangat memenatkan?

Rupa-rupanya pelajar-pelajar tingkatan lima tetap berharap sambutan hari raya diadakan. Adu mereka pada saya, tahun ini tahun terakhir mereka di sini. Mereka mahu satu kenangan. Dan mereka membawa harapan mereka itu kepada pihak pentadbir.

Harapan mereka tertunai jua.

Pun, tiada waktu lain yang sesuai selain hari Khamis 14hb Ogos, sehari selepas kejohanan sukan usai. Juga pada hari yang sama pelajar tingkatan lima perlu bergerak ke kem Aura. Terpaksa majlis itu diadakan seawal yang boleh kerana bas mereka bakal tiba jam 11.30. Nasi hari raya mereka dibungkus dan dibawa ke kem sebagai makanan tengah hari. Begitulah!

Saya?

Mereka sibuk di dewan sejak awal pagi, menyediakan segala persiapan majlis. Saya pula sibuk di bilik cetak dan bilik peperiksaan menyediakan bahan untuk kem tingkatan lima. Langsung tidak sempat saya menonton segala acara sambutan kerana kekangan ini. Mujurlah awal pagi tadi saya turun sekejap ke dewan selepas sarapan untuk meninjau keadaan. Ada jugalah sekeping dua rakaman kenangan bersama murid-murid saya untuk hari ini. Selebihnya, saya bertumgkus lumus bersama-sama Cikgu Marina menyelesaikan segala bahan tanpa bantuan pekerja pun. Entah ke mana hilangnya petugas bilik cetak itu hingga saya terpaksa mencetak 125 salinan 12 helai kertas soalan sendiri! Seterusnya, menyusun dan mengetip bersama-sama Cikgu Marina.

Saat pelajar bersedia berangkat ke kem, saya turun ke lobi untuk pendaftaran mereka dan pengagihan kad peserta. Tiada langsung hari raya buat saya.

Hanya apabila jam menjangkau ke angka 12.30 tengah hari barulah segalanya selesai. Barulah saya dan Marina bergerak ke dewan untuk makan. Guru lain sudah kekenyangan, saya dan Marina baru mahu menyertai.

Alhamdulillah, nasi arabnya sedap sekali. Dapatlah melegakan kelaparan saya.






Tuesday, August 12, 2014

MC

"Kepala saya sakitlah. Esok nak mc.."

Suara saya pada suami sekitar jam 9.00 malam tadi.

Sebenarnya saya sangat penat dengan tugas di sekolah. Sejak minggu lepas setiap hari saya pulang lewat. Saya mencuba seupaya mungkin melaksana semuanya sehabis baik tetapi saya tahu jasad saya ada had kemampuannya.

Sungguh,  kepala saya terasa berat. Saya mahu berehat barang sehari.

"Bolehlah. Kita mc esok ya.." Suami saya menjawab.

"Aik, kita?"

"Ya, saya pun tak berapa sedap badan. Tekak pedih. Hidung tersumbat. Perut pun tak selesa."

Saya menyetujui cadangannya. Cuma, MC berdua begini bakal menghalang saya berehat sepenuhnya! 

Pagi ini, usai solat Subuh saya menghantar teks kepada sahabat di sekolah dan juga kepada PKP memaklumkan saya akan bercuti sakit.

Seterusnya, saya menyediakan sarapan. Kemudian, menggosok baju dan menyidai kain.

Jam 9.00 pagi kami turun ke klinik. Mula-mula kami ke Wakaf Che Yeh. Rancangnya saya ke klinik Sayyida dan dia ke klinik Ikhtiar. 

Urusan saya sekejap sahaja. Dr Nafisah di klinik Sayyida memberi saya ubat penahan sakit dan memaklumkan tekanan darah saya normal.

Sebaik keluar dari klinik, saya ternampak suami saya berdiri di kaki lima bangunan itu.

"Dah siap? Cepatnya!" Tutur saya kerana setahu saya klinik Ikhtiar sentiasa ramai orang. Jangkaan saya tentu saya selesai dahulu.

"Siap apanya, doktor belum sampai! Klinik dah penuh dengan pesakit. Jam 10 lebih dah ni..." Suami saya bernada keluhan.

"Kita ke Keterehlah. Klinik Ehsan." Saran saya tanpa ragu.

Kami pun bergerak ke sana.

Usai urusan di klinik sekitar jam 11.20 pagi. Klinik Ehsan lengang sahaja, mujurlah.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah membeli ikan, sayur dan kuih muih. Alhamdulillah, saya seronok menikmati nasi air yang cuma seringgit lima puluh sen itu manakala suami saya menyukai kuih seraban dan nasi impit.

Saya berehat sebentar.

Jam 12.35 tengah hari saya ke dapur pula. Kali ini memasak makan tengah hari yang ringkas dan mudah. Goreng ikan, ulaman dan sambal durian. Selesai.

Baru sahaja saya kembali berehat di katil, suami menerima panggilan telefon dari sahabat di Kuala Krai. Dia sedang dalam perjalanan ke Kota Bharu dan mahu berjumpa suami saya atas urusan kebun getah. Suami mengajaknya ke rumah.

Terpaksalah saya menyediakan minuman dan sedikit kuih untuk mereka.

Sekatang jam ke angka 2.08 pm dan suami saya masih melayan tetamu di luar. Saya sedang menanti mereka pulang kerana perut sudah kelaparan.

Nampaknya, MC saya hari ini sangat tidak santai. Pun saya redha...


Sent from Samsung Mobile

Sunday, August 10, 2014

Duhai Hati

Hari raya sudah pun berlalu. Hari ini sudah 14 Syawal dan saya meneruskan rutin hidup seperti biasa. Persekolahan yang mendera.

Dahulu, saya seronok dan bahagia menjadi guru. Kini perasaan saya sudah bercampur baur, pun saya tidak mahu bercerita tentang penderaan yang sedang saya alami kerana dengan bercerita, apa pun tidak akan berubah. Saya akan menggalas segalanya selagi terdaya. Ada banyak yang perlu saya syukuri dengan kerjaya ini. Keluhan bukan satu jalan penyelesaian. 

Syawal baru-baru ini memang mengujakan. Ramai yang bertandang ke rumah saya yang serba tidak baru ini. Sofa tahun lepas, meja makan tiada, dan langsir yang tidak pernah bertukar sejak hampir sepuluh tahun lalu! Apa erti hari raya pada saya sebenarnya?

Entah.

Saya lebih seronok menikmati Ramadan. Jika boleh saya mahu Ramadan yang lebih lama. Ada ketenangan, ada kerehatan. Saya tenang sungguh.

Tetapi realiti tidak begitu. Rahmat Ramadan diberi Allah cuma 29 hari untuk kali ini. Semoga Allah menerima setiap yang saya usahakan dahulu, kini dan selama-lamanya.

Hari ini saya tiba di rumah pada jam 4.45 petang. Saya kepenatan. Sukan pada bulan Ogos sungguh tidak sesuai tetapi itulah yang perlu saya hadapi. Sekali lagi, saya tidak mahu mengeluh.

Semoga hari mendatang akan ada perkara yang lebih membahagiakan. Entah mengapa saya rasa hidup saya seakan terumbang ambing. Ada ketika saya mahu rehat, tetapi ada waktu saya mahu sibuk. 

Kekeliruan apakah ini, saya pun tidak pasti.

Tuesday, July 29, 2014

Kehilangan

Pada suasana Aidilfitri yang masih baru, saya dikejutkan dengan satu kehilangan.

Laila Al Azra binti Abdul Fattah, teman sekolah menengah saya di MRSM Kuala Terengganu telah kembali ke pangkuan Ilahi pada jam 5.30 pagi tadi.

Beberapa minggu lalu, dia dimasukkan ke wad kerana sesak nafas. Tidak lama selepas itu doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru tahap 3 atau 4.

Rupa-rupanya selama ini dia sering keletihan dan sukar bernafas. Sangkanya kerana faktor usia. Sedikit pun tidak terlintas di fikirannya yang dia menghidap kanser.

Progres penyakitnya sangat cepat. Semalam dia dimasukkan ke wad lagi dan pagi tadi pergi untuk selama-lamanya.

Tinggallah suami, tiga orang anak lelakinya serta seluruh ahli keluarganya juga kami rakan-rakan seperjuangan merinduinya.

Semoga Laila ditempatkan di sisi mereka yang soleh.

Al fatihah.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, July 27, 2014

Sambal Sotong


Esok hari raya.

Emak kata mahu masak nasi lemak special pada pagi raya esok. Kata emak, lauk nasi lemak kali ini akan ada pelbagai. Selain daripada yang wajib - bilis, telur dan timun - emak mahu juga sambal sotong, rendang kerang dan ayam goreng berempah. Jadi untuk memudahkan kerja, kami dibahagikan tugas. Saya diberi tugas memasak sambal sotong.

Sebenarnya, saya ini memang peminat nasi lemak sambal sotong. Sejak di sekolah menengah lagi, teman-teman saya tahu kegemaran saya yang satu ini. Hinggakan sahabat saya Ratna selalu memanggil saya "Talisa Soto" sewaktu makan nasi lemak. Apa tidaknya, setiap kali membeli nasi lemak di kantin tentu saya memilih sambal sotong. Jarang benar saya meminta sambal-sambal lain yang ada iaitu sambal tumis ayam dan sambal tumis daging.

Jika nasi lemak itu bersambal bilis sahaja, harganya enam puluh sen sebungkus. Tetapi jika mahu sambal lain, kena bayar lapan puluh sen sebungkus.

Dan nasi lemak Kak Katie di kantin MRSM Kuala Terengganu itu memang sedap!

Malam ini, saya akan menyediakan bahan untuk memasak sambal sotong ini. Saya akan kisar beberapa biji bawang besar, bawang merah dan bawang putih. Kemudian saya akan tumis dalam minyak yang sederhana banyak dan dicampur pula serbuk cili.

Saya akan masukkan sotong yang sudah disiang dan dipotong kecil ke dalam tumisan itu bersama sedikit air. Setelah dirasakan garam dan gula serta asamnya, siaplah sambal sotong saya.

Pagi esok, saya akan bawa sambal iti ke rumah emak untuk dinikmati bersama nasi lemak istimewa!

Sent from Samsung Mobile

Friday, July 25, 2014

Larat

Tidak pasti saya, mampu atau tidak.

Selepas sahur tadi saya cuba untuk tidak tidur. Usai Subuh, saya berehat di ruang tamu seketika sambil menonton tv. Mencari semangat kononnya, untuk memulakan kerja. Di mana mesti saya bermula?

Jam 7.15 saya ke dapur. Segala pinggan mangkuk yang kotor saya cuci. Segala bekas yang bersepah saya kemas. Kuih-kuih raya saya susun dengan teratur. Air dalam peti saya penuhkan. Meja dapur saya bersihkan.

Jam 8.15 saya sudah kepenatan.

Kini, saya terbaring di katil. Ruang tamu belum disentuh. Beranda belum dicuci. Kain belum dikutip.

Baru di dapur satu jam saya sudah mengah.

Laratkah untuk meneruskan agenda berikutnya?

Sent from Samsung Mobile

Thursday, July 24, 2014

Lagu Raya

Lagu raya sudah mula berkumandang. Seperti selalu, yang lama juga menjadi pilihan. Begitulah, selera manusia sukar diubah.

Saya paling senang dengan hasil karya Allahyarham P. Ramlee ini. Ada rasa yang menusuk setiap kali mendengarnya. Waktu kecil dahulu, saya pernah melihat arwah ayah mengikut alunan lagu ini saat ia bergema di radio. Saya juga terbuai dengan merdu melodinya juga indah senikatanya.

Ia tidak khusus untuk Aidilfitri. Boleh juga lagu ini dikumandangkan pada Aidiladha kerana liriknya kena untuk kedua-dua hari raya.

Versi asal dendangan P Ramlee tetap indah didengar walaupun versi baru yang lebih segar banyak dirakam oleh penyanyi kini. 
Suara Takbir

Dengar beduk berbunyi
sayup bergema di Subuh sunyi
memanggil kepada Muslimin
segera berbakti 
kepada Ilahi

Suara azan mengalun
terdengar sayup memecah sunyi
memohon restu dengan bakti
kepada Ilahi
Tuhan Maha Suci

Terdengar suara takbir
memuji nama Ilahi
rasa dalam kalbu
tenteram dan aman selalu

Kini tiba masanya
hati gembira di hari raya
bertemu sanak dan saudara
bermaaf-maafan 
dengan keikhlasan.

Akhir

26 Ramadan, Khamis.

Hari ini akhir persekolahan sebelum kami diberi cuti selama seminggu untuk menikmati hari raya Aidilfitri.

Megah benar bunyinya Aidilfitri di negara ini. Semua perantau pulang untuk meraikannya di kampung halaman bersama-sama sanak saudara. Jarang benar yang mampu bertahan untuk beraya berjauhan daripada keluarga. Seboleh mungkin mahu juga pulang kerana Aidilfitri ini sinonim dengan eratnya ikatan persaudaraan.

Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya nilai kekeluargaan masih utuh dalam khalayak kita. 

Pun, saya yang sememangnya sudah setia berada di kampung halaman ini tidak begitu teruja untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri. Sekadar menyediakan sedikit juadah biasa-biasa sahaja untuk santapan sendiri, selebihnya saya menanti kunjungan tetamu di rumah.

Dan penantian itu sesungguhnya satu penyiksaan.

Jika boleh, saya mahu cuti raya sesingkat yang mungkin. Saya mahu kembali bekerja segera, kerana saya tidak betah beraya lama-lama!

Wednesday, July 23, 2014

Kepada-Mu Kekasih

Kepada-Mu kekasih
Aku berserah
Kerana kutahu
Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

Kepada-Mu kekasih
Aku bertanya
Apakah kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi tanpa harga diri

Hanya pada-Mu kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum kutemukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

Kepada-Mu kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya

Apakah kau akan menerima penyerahan ini
Apakah kau akan menerimaku
dalam keadaan begini

Berlalu

Selesai bersahur untuk hari ke-25 Ramadan. 

Isnin minggu depan Ramadan pun akan berlalu pergi. Pergi bersama sejuta ketenangan yang ada di sisinya. Jika ada kesempatan, insyaallah bertemu lagi Ramadan tahun depan dengan semangat yang tidal berkurang sedikit pun.

Rindu padanya akan dirasai sepanjang menanti kedatangannya kembali.

Tuhan, terimalah aku.


Sent from Samsung Mobile

Friday, July 18, 2014

MH17





Dear all, first, my condolences to the families and friends of all the passengers and crew of MH17. Such unbearable sadness in an already sad world. May their souls all rest in peace.

I think now more than ever we all need to come together in peace and unity, not just here in Malaysia but all over the globe. Conflict in one part of the world, as we can see, can affect people from other parts of the world. How many of us are working for peace, instead of pointing fingers , hurling accusations and making threats at others? We need to stop and take a good hard look at ourselves.

How many of us are working, truly working, not just typing opinions, for justice and equality and trying to make this a better world? How many of us just spend all our time contributing to the toxic brew we call social media? We can use social media for good, yet we choose to use it to spread hate.

Right now take a moment and remember those families who have lost their loved ones on mh17 as well as those losing someone every day in conflict zones around the world, especially the beleaguered people of Gaza. We are all human beings and every loss causes pain in a human's heart. We have to remember that.

Let's stop differentiating between whether they're Malaysian or not, Muslim or not, near or far. There can be no peace at home if there is no peace in the world. There can be no peace in the world if there is no peace at home.

So to stand in solidarity with each other, please join us tomorrow for ‪#‎Puasa4Msia‬. We all fast together for unity and in memory of those lost. And for just one day at least, let's puasa from hatred.

Alfatihah.

(Marina Mahathir)

Tuesday, July 15, 2014

Bantuan

Hari ini cuti. Seperti biasa saban kali peristiwa nuzul Quran disambut, kami di Kelantan akan bercuti. Dan ia berharga sekali.

Sahur pagi ini saya sediakan ikan kikik goreng ditemani sayur kangkung belacan dan telur goreng. Biasalah, selera pagi-pagi begini tidak menyerlah mana. Sepinggan cuma, tapi Alhamdulillah. Moga mampu memberi keberkatan. 

Jam 9.30 pagi kami keluar untuk sedikit urusan peribadi. Tahulah cuti-cuti begini suasana jalan akan sangat sesak tapi kami tiada pilihan. Pun hari masih awal benar, harapnya kesesakan belum berlaku. 

Kami ke bank mengeluarkan sedikit ringgit Malaysia. Oh! Hari ini bantuan khas raya dikredit ke akaun gaji kami. RM500 cuma. Terima kasih jua daripada kami. Cukuplah, banyak-banyak pun buat apa...

Seterusnya kami singgah di DZ untuk membeli sedikit barang keperluan. Dalam sedikit pun, habis juga RM122.30. Tak mengapalah, bukankah tujuan duit itu untuk dibelanjakan?

Bantuan raya daripada kerajaan sememangnya sangat diharapkan. Walaupun sedikit, ia tetap memberi senyuman pada wajah setiap kakitangan awam. Saya tidak terkecuali. Cuma, berhemahlah dalam apa jua keadaan. Tak perlu baju raya berpasang-pasang jika keperluan lain masih perlu diutamakan.

Sekian.

Sent from Samsung Mobile

Monday, July 14, 2014

BOIKOT

Kini ia kembali lagi – boikot bermusim.

Nampak benar rakyat Malaysia ini tidak istiqamah. Sekali terhantuk, baru berbondong-bondong produk diboikotnya. Kemudian apabila reda isu Gaza, tanpa silu mereka berbondong-bondong pula mengunjungi dan membeli produk boikotan mereka itu. Bila akan selesai?

Selagi penjanaan ekonomi bukan di tangan orang Islam, usahlah mengharap boikot memboikot ini berjaya. Masalah timbul kerana pegangan kita juga. Suka sangat mengejar akhirat, dunia langsung ditinggalkan. Sudahnya, semua barang keperluan dari makanan hingga media sosial dikuasai orang bukan Islam. Orang bukan Islam ni tak nampak akhirat, sebab tu beria-ia mencari kejayaan dunia kan?

Kebanyakan orang-orang kita nampak bab ekonomi dan inovasi ini berkait rapat dengan dunia dan tidak ada nilai akhirat. Lalu mereka tidak menggalakkan langsung anak-anak mereka menjadi economist atau berjiwa inovatif. Mereka nampak dunia itu lain, akhirat itu lain. Mereka nampak dunia itu lalai.

Lihatlah, apa yang berlaku sekarang?

Selagi minda orang Islam memisahkan dunia dan akhirat, selagi itulah orang Islam ini tidak akan ke mana.

Sekian pasal boikot. Seterusnya isu kedua.

Aduhai, siapa-siapa yang mengemaskini status di Facebook tentang Piala Dunia, bersedialah untuk dihentam kaw-kaw oleh para keyboard warriors tak bertauliah yang bersepah-sepah di sana sini. Kata mereka, kamu tak peka dengan kemelut yang berlaku di Gaza. Kamu tak kisah dengan penderitaan orang Islam Palestin yang setiap hari dibedil Israel. Kamu taksub dengan bola sepak agenda Yahudi itu. Kamu tahu tak, Messi dan Neymar itu penyokong Israel?

Saya mengeluh dalam hati. Siapalah saya untuk menilai hati orang lain tetapi saya cukup terkesan dengan penilaian bertaraf dunia oleh para keyboard warriors ini. Hebat! Mereka setaraf Tuhan yang boleh menghukum dan mengetahui isi hati orang lain!

Ajaklah umat Islam untuk sama-sama berkongsi penderitaan rakyat Palestin itu tetapi biarlah dalam nada yang lebih harmoni. Serulah rakyat Malaysia untuk lebih prihatin tetapi bukan dalam nada sarkastik. Itu bukan cara berdakwah yang diajar Rasulullah.

Saya bukanlah sempurna, malah sangat jauh dari kesempurnaan tetapi saya mencuba untuk tidak menilai negatif setiap perkara yang ada di depan saya.