Monday, June 29, 2015

Saya

Jam sudah menghampiri dua petang. Saya bersandar di kerusi sambil menatap telefon pintar jenama Samsung kesayangan saya itu. Ada banyak yang boleh saya lakukan sementara menanti suami tiba menjemput saya pulang sekitar 2.15 petang nanti. Selalunya, dalam Ramadan yang mulia ini saya mengalunkan sedikit bacaan ayat-ayat suci dari iQuran di telefon saya itu. Sekadar memenuhi masa yang ada dan mengambil peluang menambah pahala. Jika bacaan saya tersekat, boleh saja saya membetulkan dengan mendengar bacaan Mishary yang tersedia di situ. Jika saya mahu mencari maksudnya, boleh sahaja saya mengklik pada butang yang juga tersedia di situ. Ya, saya gemar benar perisian iQuran ini. Lengkap untuk saya walaupun bukanlah sempurna.

"Ti, mari ke bilik Kak Su sebentar," tiba-tiba nama saya disahut. Saya menjenguk ke luar dan Kak Wan Shuraya, PKP sedang berdiri di muka pintu.

"Ya Kak Su, sekejap.." Balas saya sambil bersiap-siap untuk beredar. Dalam hati tertanya-tanya, lagi sepuluh minit masa kerja saya berbaki, apa yang dia mahu?

Saya tiba di biliknya yang tidak sampai dua minit perjalanan.

"Ti, esok Kak Su dan Pengetua nak panggil budak-budak Tingkatan Lima yang kita nak target 5A ke atas. Kami dah bincang, kami nak 35 orang sebab tahun lepas kita capai 31 orang 5A ke atas."

"Kak Su nak saya keluarkan nama mereka kah?" Tanya saya.

"Ya. Pagi-pagi esok bagi kat Kak Su, sekali dengan borang target. Lepas tazkirah Kak Su nak jumpa mereka."

Saya keluar dari bilik Kak Su dengan hati yang sedikit cuak.

Jam sudah pun pukul dua, dan saya mendapat arahan untuk menyiapkan tugas dan diserahkan seawal pagi esok. Masalahnya, saya sudah mahu pulang ke rumah. Kenapa Kak Su baru beritahu? Saya tidak akan membuka laptop saya di rumah kerana saya bekerja hanya di sekolah. Di rumah, saya bukan guru!

Tiba di meja saya, saya terus menaip. Nama-nama pelajar itu saya capai dari sistem HC3, export ke Excel dan kutip mana yang saya mahu. Cikgu Ramli pula tiba-tiba datang.

"Ti, buku kedatangan kelas tambahan 5 IBB hilang. Boleh tak Ti keluarkan yang baru?"

"Sekarang ke?"

"Ya. Kak Su mahu kedatangan mereka diambil. Kalau tak ada buku macam mana nak catat?"

"Cikgu Ramli, boleh tak Cikgu Ramli print sendiri? Saya tak sempat ni..."

"Boleh. Kat mana?"

"Tu, kat komputer luar tu. Ambil nama dalam folder Chengal 2015. Sekeping dulu pun tak apa. Esok saya bukukan."

Saya meneruskan taip menaip saya dengan harapan sempat siap sebelum suami saya memanggil. Ah! Mustahil!

Telefon berdering, dan suami saya sudah dalam perjalanan. Saya berhenti menaip tanpa sempat menyiapkan kerja yang perlu diserah esok. Pun, saya tidak akan menyentuh kerja itu di rumah. Sesekali tidak. Di rumah saya mahu tidur dan berehat.

Esoknya, jam 6.30 pagi kami keluar ke sekolah.

Tergesa-gesa saya meneruskan kerja semalam, mencetak dan menyalin untuk diserah kepada Kak Su. Rasanya, guru-guru lain pada waktu belum pukul tujuh ini baru sedang bersiap-siap untuk turun ke sekolah sedang saya sudah berdepan dengan komputer!

 Jam 7.15 pagi, senarai nama siap. Saya memulakan kerja menaip borang target pula. Telefon pun berdering.

"Ti, dah siap ke?" Suara Kak Su menyapa di hujung talian.

"Tengah taip borang target ni. Kejap lagi saya bagi kat Kak Su."

Makin laju saya menaip. Tidak hiraukan apa-apa pun yang sedang berlaku di sekitar saya. Ya, saya mahu segera! Dan semuanya selesai pada jam 7.40 pagi. Jam yang sepatutnya saya mula bekerja.

Begitulah. Saya hanya seorang pekerja bawahan yang tugas saya ialah menurut perintah. Biar masa yang diberi bagai tidak logik, tetapi saya tidak boleh mengelak. Itulah bidang tugas seorang guru masa kini. Saya tidak kisah, selagi saya mampu bekerja, saya akan cuba memberi seikhlas hati.

Wednesday, June 24, 2015

Bicara

Hari ini, saya sedikit lapang di sekolah. Terasa ada ruang untuk saya bermesra-mesraan dengan sahabat dan teman. Kerja yang menimbun belum habis sebenarnya, tetapi yang besar-besar dan diperlukan segera sudah saya siapkan.

Semalam, berlangsung mesyuarat Post Mortem peperiksaan Pertengahan Tahun sesi pertama, dan akan bersambung ke sesi kedua petang nanti. Saya sebagai Setiausaha Kecemerlangan perlu menghadiri kedua-duanya kerana saya mencatat minit. Pun, mujurlah sahabat saya Cikgu Ramli bersetuju menggantikan saya untuk sesi hari ini kerana saya terlibat dengan kelas tambahan pelajar Tingkatan Lima. 

Mesyuarat semalam tamatnya hampir jam lima. Letih benar rasanya. Hampir terlelap saya sementara menanti waktu berbuka. Mujur juga suami saya bukan jenis yang berkira, dia sedia maklum kepenatan saya pada hari-hari bekerja jadi setiap hari dia akan membelikan lauk siap dari kantinnya. Dia membawa pulang menu yang istimewa untuk saya - kari kepala ikan tenggiri, ikan cencaru sumbat dan sayur lemak putih. Kuih pula sebungkus sanggupal yang sedap tidak terkata. Ya, sedap sungguh. Sagu yang berinti kacang merah, disalut kuah lemak manis yang pekat dan lazat!

Untuk menu hari ini, saya menanti dalam tanda tanya. Selalunya masakan dari kantin sekolah suami saya tidak pernah mengecewakan. Sedap dan murah, cukup praktikal untuk saya yang tidak berapa rajin memasak ini.Saya paling suka ikan siakap masak paprik yang dibelinya pada Isnin lepas. Saya makan hingga habis seekor!

Jika ada yang berkata, isteri yang tidak memasak kurang pahalanya, maka saya mahu berkata, suami yang sentiasa meringankan beban isteri (seperti suami saya ini) banyak pahalanya. Tak ke mana pun pahala itu, suami juga yang dapat. Janganlah tawarkan pahala untuk orang perempuan sahaja. Orang lelaki pun mahu juga!

Sunday, June 21, 2015

Puasa

Hari ini hari keempat kami berpuasa. Semalam menjadi ulangtahun ke-18 Hijrah perkahwinan kami. Alhamdulillah, segala pahit manis pelayaran perkahwinan ini kami lalui dengan penuh rasa syukur dan bahagia. Terima kasih Tuhan atas anugerah-Mu ini.

Kebetulan, hari Sabtu. Ruang masa agak luas untuk saya berkarya. Saya memberitahu suami, hari ini saya mahu memasak. Tidak perlu dia ke pasar Ramadan. 

Menu saya memang ringkas tetapi atas permintaan suami. Dia mahu menikmati sup ayam kampung. Sahabatnya Pak Him ada menawarkan seekor ayam kampung yang sudah dibersih dan dipotong kecil dengan harga RM15.00, jadi dia membelinya. Saya mengikut sahaja.

Jam 4 petang saya ke dapur. Sup ayam kampung, sayur goreng campur (petola dan jagung muda) dan ikan kering goreng. Sebagai pemanis mulut, saya sediakan kuih cek mek ubi kentang.

Alhamdulillah, semuanya selesai dengan jaya dan dia menerima menu saya itu dengan baik.

Untuk sahur pula, daging goreng kunyit ditemani ikan kikik goreng kunyit juga dan sayur goreng campur waktu berbuka tadi yang sememangnya sengaja saya goreng lebih.

Hari ini, Ahad saya kembali bekerja. ruang masa mula berkurang jadi saya meminta dia membeli sahaja juadah yang dijual di kantin sekolahnya.

Thursday, June 18, 2015

Deringan


Saya selalu mengelak untuk menjawab panggilan telefon daripada nombor yang tidak saya kenali. Kerap benar panggilan yang diterima hanyalah satu penipuan daripada individu atau badan yang tidak bertanggungjawab. Dek kerana pernah terkena, saya jadi trauma.

Tetapi tulisan takdir tetap di tangan Tuhan.

Dua minggu lepas, saya tertipu lagi. Kali ini, orangnya bukan asing. Dia anak sahabat saya dan pernah menjadi murid saya empat tahun lalu.

Kisahnya, saya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Saya abaikan berkali-kali tetapi ia berterusan memanggil hingga ke hari seterusnya. Hati rasa tidak kena, mana tahu ada perkara penting atau kecemasan. Kebetulan cuti sekolah, mungkin ada sahabat yang mahu berbicara.

Esoknya, saya menyambut panggilan itu.

"Assalamualaikum cikgu. Ini Maria, cikgu kat mana?"

Dari namanya, saya mampu mengingat orangnya kerana dia anak sahabat saya.

"Cikgu kat rumah. Ada apa Maria?"

Lalu dia menyampaikan hasratnya untuk meminta saya membeli tiket penerbangan secara online dari Kota Bharu ke Kuching pergi balik, pada tarikh yang sama seperti saya tempah untuk ibunya beberapa minggu lalu. Tiket itu untuk 'anak angkat' ibunya, seorang lelaki. Ibunya meminta saya menempah tiket untuk mereka tiga beranak ke Kuching kerana anaknya (adik Maria) ditawarkan ke kursus Asasi Unimas.

"Umi tahu ke? Kalau umi tak tau cikgu tak nak buat."

"Umi belum tahu lagi, nanti Maria cakap kat dia lepas ni."

Saya putuskan talian dan berhasrat untuk tidak melayan lagi.

Anak ini sebenarnya sangat bermasalah. Selama dua tahun dia di sekolah saya dahulu, pelbagai perkara yang tidak elok timbul. Ibunya pula sering menyebelahi anaknya sehingga kami bosan dan malas untuk mengambil kisah. Jadi, saya enggan terlibat kali ini. Saya terus memblok nombornya dan tidak mahu menjawab mesejnya lagi.

Rupanya anak ini ligat sekali. Dia tidak putus asa. Dengan menyamar sebagai ibunya (menggunakan telefon ibunya), dia menghantar mesej kepada saya untuk membelikan dia tiket itu. Nada yang sama seperti ibunya, dengan alasan mereka tidak begitu biasa ke Kuching jadi memerlukan seorang lelaki sebagai teman.

Awalnya saya curiga juga, tetapi kerana sentiasa berbaik sangka, saya pun melakukan seperti yang dia mahu. Atas dasar persahabatan, saya membantu kerana benar-benar menyangka mesej itu ditulis ibunya. Kami berbalas-balas mesej lama juga, tetapi langsung saya tidak menduga saya sedang ditipu. RM1223 wang saya digunakan untuk tujuan itu.

Apabila saya kembali ke sekolah setamat cuti dua minggu itu, barulah ibunya bercerita. Betapa panasnya hati saya mengenangkan peel perangai anak gadis yang sangat tidak patut itu. Pun ibunya tidak pula menggantikan wang saya itu, sebaliknya dia mahu saya meminta dari Maria sendiri.

Baiklah. Jika itu caranya.

Saya menghantar mesej kepada Maria meminta wang itu dibayar segera. Dia berjanji untuk memberi wang itu kepada ibunya pada keesokan hari nanti.

Janji sekadar janji.

Setiap hari, ada sahaja alasan yang dicipta untuk mengelak daripada membayar. Saya sudah tidak sedap rasa, tetapi saya cuba untuk bersabar dalam seminggu dua lagi. Jika masih tidak dibayar, saya mesti berbicara hati ke hati dengan ibunya dan maaflah, selepas ini saya serik untuk membantu mereka lagi!

Sunday, June 14, 2015

Bermula

Selepas enam belas hari, hari ini bermula kembali. Selamat pulang ke tempat kerja masing-masing wahai para guru sekalian. Pupuk kembali semangat yang hampir hilang itu.

Tidak. Semangat itu tidak hilang sebenarnya. Ia cuma disembunyikan sebentar, kerana pada masa-masa inilah kami mahu merenung dunia dengan pandangan seorang manusia biasa. Walaupun daripada enam belas hari itu, hanya sepuluh hari milik saya, enam hari lagi tetap jua saya ke sekolah untuk menyelesaikan banyak perkara, tetapi jadilah. Saya sudah amat mensyukurinya.

Empat hari lagi Ramadan menjelma. Kali ini saya menanti dalam harapan. Semoga saya tidak uzur berpanjangan dan dapat menikmati Ramadan dengan aman. 

Amin.

Saturday, June 13, 2015

Gimnastik

Geger. Baru sekarang geger pada hal perkara ini sudah lama.

1989, Faiznur Miskin mengaut tujuh emas dalam acara gimnastik sukan SEA yang tuan rumahnya Malaysia. Dia terkenal tiba-tiba dan dipuji melangit. Waktu itu tiada yang geger seperti kali ini.

Seperti apabila Farah Ann menang emas di sukan SEA Singapura ini. Saya tidak pasti apakah kegegeran ini tetap berlaku jika Farah tidak menang emas. 

Jujurnya, saya sudah lama melihat acara ini tidak sesuai disertai anak-anak gadis Muslim. Saya sudah lama mahu mereka disekat daripada memasuki acara yang memerlukan mereka terkangkang di sana sini, di khalayak ramai.  Sudah lama, sejak saya menonton aksi Faiznur Miskin 26 tahun yang lalu.
Bukan hanya kerana aurat yang terdedah, tetapi adab kesopanan turut digadai. Kala itu hati saya berdetak, tidak malukah dia?

Saya menanti juga pengharaman acara begini buat gadis-gadis Muslim sebagaimana mereka disekat dari menyertai ratu cantik, tetapi tiada apa tindakan pun dari pihak berkenaan. Semua diam. Semua membiarkan. Lalu apabila Farah Ann menang, tiba-tiba kita mahu melatah.

Apa yang kita dapat dengan bising seperti ini? Tidak sakitkah hati apabila kata-kata "Melayu bodoh" dilempar oleh non-Muslim?

Farah menang emas, tetapi dia dicela. Dan kita mencela dia secara terbuka, yang boleh dibaca dan dilihat oleh semua. Apa Islam tidak punya etika?

Wajar benar, dari awal lagi acara ini tidak dibuka untuk gadis-gadis Islam. Baru tiada bunyi-bunyi hodoh yang menyakitkan hati dan mungkin boleh membawa perbalahan.

Tetapi begitulah. Kita tetap tidak mahu belajar dari sejarah. Hanya apabila terhantuk, baru kita terngadah.

Jamak Tamam

1.Pengertian solat jamak dan tamam

Solat jamak

bahasa : kumpul, himpun

istilah : menghimpunkan dua waktu solat ke dalam satu waktu solat.


Dalam penghimpunan waktu solat ini, hanya dibenarkan untuk menghimpunkan waktu solat Zohor + Asar atau Asar + Zohor dan solat Maghrib + Isya' atau Isya' + Maghrib. Selain daripada itu, tidak adalah tidak dibenarkan.

Sehubungan dengan itu, wujudlah dua jenis solat jamak.

Solat jamak taqdim ( solat asar di dalam waktu solat zohor / solat isya' di dalam waktu solat maghrib)

Solat jamak ta'akhir (solat zohor di dalam waktu solat asar / solat maghrib di dalam waktu solat isya')

Tamam

maksud : sempurna

Di dalam kes solat jamak, ia membawa maksud kita melaksanakan solat secara sempurna rakaatnya dan rukunnya. Contoh, solat jamak taqdim. Zohor (4 rakaat) kemudian Asar (4 rakaat).

2.Sebab-sebab untuk solat jamak

Kebiasaan bagi kita untuk melakukan solat jamak sewaktu kita bermusafir (dalam perjalanan yang jauh). Tetapi sebenarnya ada beberapa sebab yang lain dimana kita dibolehkan juga untuk melakukan solat secara jamak. Antaranya

i - Jamak sebab hujan
ii - Jamak sebab sakit
iii - Jamak sebab hajat

Jamak sebab hujan

Hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, Ibn 'Abbas menyebut:"RasululLah s.a.w solat jamak Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir".Ditanya Ibn 'Abbas mengapa baginda melakukan demikian?. Jawabnya:"Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya"

Jamak sebab sakit

Imam Ahmad berpendapat harus bagi individu yang sakit tenat dan berat menjamakkan solat supaya tidak dibebani dengan menantikan waktu solat dan agar mereka dapat berehat.

Imam „Atho‟, Imam Malik dan Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi‟ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi‟ie), ar-Ruyani (bermazhab Syafi‟ie) dan al-Khattabi, mereka berpandangan; "Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzuran-keuzuran lain yang seumpamanya"

Jamak sebab hajat

Abdullah bin Syaqiq berkata, '' Pada suatu hari Ibn Abbas berpidato kepada kami di Basrah selepas asar hingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata '' Solat, solat'' tetapi dia tetap berpidato lagi.Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan ''Solat, solat''. Lalu Ibn Abbas berkata '' Apakah engkau mengajarku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata, '' Aku melihat Nabi Muhammad menjamakkan antara zohor dan asar,maghrib dan isyak.

3. Syarat-syarat untuk solat jamak

Untuk melaksanakan solat-solat jamak, ia perlulah berdasarkan syarat-syarat. Jika ianya tidak berjaya memenuhi syarat-syarat, maka tidak dibenarkan bagi kita untuk mendirikan solat-solat tersebut secara jamak.

Jamak sebab hujan

- Hanya dapat dilakukan oleh jemaah yang solat di masjid sahaja

- Jamak taqdim sahaja

- Hujan tidak berhenti hingga jemaah selesai solat

- Hujan lebat

Jamak sebab sakit

- individu yang sakit tenat dan berat

Jamak sebab hajat

- Tidak dijadikan kebiasaan atau adat

- Hajat itu benar-benar mendesak

- Tidak dijadikan alat bagi mempermain-mainkan agama dan muslihat bagi mereka yang malas mengerjakan solat (contoh muslihat : memilih untuk solat jamak kerana mahu pergi shopping)

4.Pencanggahan para ulama

Dalam menetapkan sesuatu hukum, setiap ulama ada kaedah masing-masing, berdasarkan suasana semasa dan zaman mereka, berdasarkan kepakaran masing-masing dan tahap kepercayaan (tsiqah) mereka masing-masing terhadap sumber rujukan mereka mengenai hal tersebut.

Hal ini, telah menyebabkan wujudnya pelbagai solusi terhadap sesuatu perkara. Contohnya dalam perihal solat jamak perihal dibolehkan menjalani pembedahan transplantasi organ, penggunaan wang fiat (fiat money) dan pengunaan gelatin/vanilla di dalam makanan.

Akan tetapi, kekeliruan ini atau perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tidak menimbulkan sebarang konflik dalam kalangan mereka dan tidak pergaduhan di antara mereka. Cumanya, segala konflik dan pergaduhan yang wujud adalah disebabkan oleh para pengikut/pegang mereka pada seseorang ulama tersebut.

Memetik kata-kata imam syafie,

"Jika terdapat hadits yang shahih, maka lemparlah pendapatku ke dinding. Jika engkau melihat hujjah diletakkan di atas jalan, maka itulah pendapatku."

5. Bolehkan kita (bermazhab syafie) mengambil pandangan dari ulama lain?

Menurut Dr. Wahbah Zuhaili (ulama kontemperori), mengikut salah satu daripada 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali) adalah tidak wajib. Apa yang diwajibkan bagi orang awam adalah mengikut pendapat Mufti mereka yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berdasarkan ungkapan beliau, insyaAllah kita boleh untuk mengambil pandangan dari ulama lain, asalkan masih dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Monday, June 08, 2015

Meja Makan



Saya tidaklah pandai sangat bab-bab menghias rumah tetapi kerana saya seorang wanita, saya tida pilihan.

Sudah hampir dua tahun rasanya rumah saya ini tiada meja makan di ruang tamu. Sejak saya membeli almari dan cermin untuk diletakkan di ruang tamu, meja makan saya sudah saya alih ke dapur.

Hari raya tahun lepas, saya berasa sedikit kekok apabila makanan yang saya masak terpaksa dihidang di lantai. Tahun ini saya tidak mahu ia begitu lagi.

Semalam saya dan suami ke kedai perabot kegemaran kami dan menempah satu set meja makan yang bersaiz sederhana. Tidak perlu meja makan yang besar kerana ruang yang ada itu agak sempit. Dengan harga RM990 ditambah GST sebanyak RM59, saya mendapat meja makan yang baharu.

Bolehlah saya berhari raya dengan gembira nanti.

Sent from my ASUS

Begini


Hidup bersuami isteri, ada ketika khilaf juga. Kadangkala bila hati tersentuh dek kata-kata, saya hanya mampu diam. Tidak terungkap pun sebaris ayat yang menggambarkan rajuk atau meminta pujuk. Lama-lama, bara di hati terpadam sendiri.

Tidak mahu saya menyimpan ia.

Menjadi isteri, tabahnya perlu luar biasa. Apatah lagi saya hanya ada dia di sisi. Kami hidup hanya berdua sejak lama. Jika rajuk saya diraja, dengan siapa mahu saya bermanja?

Sebenarnya dia suami yang sangat baik. Cuma ada ketika bahasa bicaranya salah ditafsir pada saat hati saya terlebih sensitif. Lalu saya berasa sayu dan tidak mahu diganggu. Sedang da tidak apa-apa pun. Entah perasan entah tidak dia pada isterinya yang sedang dalam mode sayu pilu itu.

Begitulah.

Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Sent from my ASUS

Saturday, June 06, 2015

ASUS FONEPAD 8


Alhamdulillah, tercapai juga hasrat hati untuk memiliki sebuah tablet yang berkualiti.

Awal tahun ini, ada saya suarakan hasrat dan keinginan saya untuk membeli sebuah tablet kepada suami saya dan tidak pula dia menghalang. Pernah sekali saya ke KB Mall dengan adik saya untuk mengintai-intai tablet di sana. Memang ada yang saya berkenan. Waktu itu saya tersangkut hati dengan SAMSUNG Galaxy Tab yang skrin 10 inci tu. Memang dah nak beli dah, siap pergi keluarkan duit kat mesin ATM dah, tetapi tiba-tiba je penjual tu kata stok baru dah habis. Yang ada cuma yang display tu je. Hmm... tak mahulah! Harganya RM1042 kalau tak silap saya, sekali dengan cover.

Lepas tu saya dah tak fikir dah pasal tablet ni. Sehinggalah minggu lepas apabila Maxis broadband saya yang dah lama tak diguna itu muncul dalam fikiran sebaik membayar bilnya. Saya rasa betapa tak bijaknya saya membayar bil untuk sesuatu yang tak diguna. Bukan sedikit, RM68 sebulan! Dulu saya guna juga broadband tu di laptop tetapi akhir-akhir ini saya lebih kerap menggunakan hotspot. Maka terbiarlah Maxis broadband saya yang tak bersalah itu.

Hajatnya, saya mahu terminate saja ia. Tetapi idea untuk membeli tablet pula mencelah dalam jiwa.

Kali ini saya menggelintar di Lazada.

ASUS Fonepad 8 menjadi imej yang indah di mata saya. Dengan harga yang sangat menggoda dan kualiti yang menawan, tanpa lengah saya menempahnya pada malam Ahad lalu.

Alhamdulillah ia selamat tiba pada petang Rabu.

Saya sangat menyukainya!



Sent from my ASUS

Tuesday, June 02, 2015

Kelas Abad 21

Sabtu 30 Mei baru-baru ini menjadi kemuncaknya. Setelah berminggu-minggu para guru menyediakan segala keperluan, tiba harinya berlangsunglah pelancaran itu. Alhamdulillah ia berlangsung cemerlang.

Setiap guru ada tugasan masing-masing. Nasib saya agak baik kerana diletakkan di bahagian montaj dan multimedia yang kerja-kerjanya tidaklah sepenat mana. Apatah lagi ketua saya - cikgu Suhaide - senang bekerja sendiri tanpa meminta saya berbuat apa-apa. Sungguh bertuah diri saya kali ini.

Pada hari kejadian, saya hadir membantu apa yang perlu. Kelihatannya AJK persegaranlah yang penat amat pada hari itu. Pun tiada yang merungut malah gembira kerana semua berjalan seperti yang diingini.

Apa itu kelas abad 21? Saya sendiri masih samar-samar. Berilah nama apa sekalipun, guru-guru masih sentiasa memberi suapan yang banyak kepada murid-murid dan tidak pernah mahu memberi ruang murid-murid meneroka sendiri.

Itu kata saya. Semoga saya silap dan akan ada perubahannya.

Sent from Samsung Mobile

Saturday, May 30, 2015

Aiman

Tahun lepas, sekitar waktu inilah, saya dan suami menghantar Aiman ke UITM Jengka untuk mengikuti kursus Diploma Sains. Keputusan SPM Aiman agak cemerlang dengan mendapat 4A (aliran sains), tetapi dek gred D pada Kimianya, tidak melayakkan dia ke Matrikulasi. Waktu itu, Aiman sudah pun mendaftar tingkatan enam di SIC. Dia ada bertanya, "makcik, mana elok ni, ke kursus diploma atau stay di form 6?"

Seperti biasa, saya mengambil jalan selamat. Kata saya, terpulang pada Aiman. Aiman yang mahu belajar, Aimanlah buat keputusan.

Dan seperti dijangka, apalah tingkatan enam dibanding diploma!

Entah atas faktor apa, Aiman gagal meneruskan pengajian diplomanya itu ke semester dua. Dia kandas di semester satu apabila pointernya tidak mencapai dua. 

Zaman kini, tiada lagi leteran atau kemarahan. Segala keputusan diterima redha walaupun ada sedikit terkilan. Saya terbayang jika Aiman itu ialah saya. Mahu berbakul-bakul saya dihadiahi kursus motivasi oleh kedua ibu bapa. Bukan menyalahkan mereka, tetapi mengerti betapa tinggi harapan mereka yang saya hancurkan!

Seterusnya, Aiman memohon lagi. Kali ini dia diterima ke kursus Diploma ICT di UPSI. Dan tiada selain kami yang boleh menghantarnya ke sana.

Rabu 27 Mei itu, saya pulang awal dari sekolah. Sekitar jam 1 saya sudah berada di rumah untuk bersiap. Jam 2.00 saya bersama-sama suami, kak Rohaini, Afiqah dan Aiman bergerak ke Cameron Highland.

Beramai-ramai kami menginap di apartmen yang selesa dan sejuk
Akhirnya berjaya juga mereka membetulkan tv demi Kilauan Emas.
Ya, kami bermalam di tempat sejuk itu untuk mencari kesegaran. Apartment sahabat suami saya kami sewa untuk semalaman, sekadar untuk melelap mata (dan juga menonton final Kilauan Emas). Esoknya pagi-pagi kami turun ke Tanjung Malim.


Selamat belajar Aiman. Moga kali ini Aiman tidak lagi kecewa.

Jam 12.30 petang kami bergerak pulang ke Kota Bharu dan Alhamdulillah, tiba dengan selamat pada jam 7.45 malam.



Monday, May 25, 2015

Tenggelamnya kapal Van der Wijck

Sebuah karya daripada Hamka, tertulis pada 1938. Saya pernah meladeni naskhah ini sewaktu menengah dahulu. Beberapa kali juga, terakhirnya yang dibeli arwah ayah pada 1989. Tetapi saya memberi pinjam buku itu kepada sahabat yang sehingga kini tidak memulangkannya. Tidak mengapalah. Mungkin dia lupa.

Beberapa hari lepas, saya menerima novel ini selepas menempahnya di PTS Online. Saya mahu memesrainya sekali lagi. Saya mahu kembali menghayati kisah sedih Zainuddin dan Hayati yang sudah hampir luput daripada memori saya ini.

Semoga ada ruang itu dalam masa terdekat ini.

"Demikianlah perempuan, dia hanya  ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun bagaimana besarnya."

Sent from Samsung Mobile

Seronokkah?

Di sini saya berada. Di sebuah sekolah yang lokasinya dekat sahaja dengan rumah saya. Sekolah yang masih baru, belum pun sepuluh tahun usianya.

Saya bersyukur amat kerana ditempatkan di sini sejak 2009 yang lalu. Selepas tiga tahun menyumbang bakti di SMK Salor, saya memohon untuk bertukar ke sini dan permohonan saya diluluskan. Alhamdulillah.

Biarpun ada waktu-waktunya saya rasa tertekan dengan pelbagai beban kerja, perangai murid dan karenah rakan, tetapi jauh di sudut hati saya sangat bersyukur. Saya seronok di sini, sungguh.

Walaupun sedang saya menyelesaikan tugas di meja kerja saya, ada rakan guru tiba-tiba bertanya, "Ti! Kenapa printer ni tak jadi?" dan saya bergegas ke tempatnya untuk melihat apa yang tidak kena, rupa-rupanya dia belum menekan suis 'power on' di printer itu.

Seorang lagi sahabat bertubi-tubi menghantar sms kepada saya hanya kerana tidak tahu bagaimana untuk menambah kuota broadband celcomnya yang sudah habis.

Sebentar tadi, rakan guru datang meminta saya membantunya menghantat pesanan emel. Tidak lama kemudian, seorang pentadbir pula memohon saya membantunya untuk meng'forward' emel dari telefon pintarnya. Begitulah saya. Saban hari saya terpaksa melayan dan menjawab soalan yang sama dan serupa kepada 'pelanggan' saya di bilik peperiksaan ini, tetapi saya seronok.

Seronok, kerana mereka menganggap saya pandai komputer kerana menolong mereka mencetak fail. Mereka menganggap saya bijak kerana boleh menghidupkan printer dengan menekan 'power on'. Mereka menganggap saya sangat membantu kerana boleh menunjukkan fail-fail nama pelajar yang mereka mahu, yang sudah sedia ada di desktop komputer itu. Mereka menganggap saya pakar telefon pintar juga!

Saban hari, ada yang membelanja saya sarapan. Ada yang membayar saya makan di kantin. Malah pernah ada yang memberi hadiah kepada saya atas bantuan saya yang tidak seberapa itu. Bukankah itu menyeronokkan?

Lalu, saya mahu berada lebih lama di sini. Mahu terus membantu seupaya yang ada.

In Shaa Allah.

Sunday, May 24, 2015

Pulau Pinang


Dewasa sudah anak saudara saya ini. Sewaktu saya menikah dulu, usianya baru menjangkau lapan tahun. Kini dia sudah mahu bertunang.

Mohamad Noor Rahimi bin Sulaiman namanya. Usianya dua puluh lima tahun. Hatinya terpikat dengan anak gadis kelahiran Penaga, Pulau Pinang yang dikenalinya sewaktu sama-sama mengambil kursus diploma dahulu.

Alhamdulillah, majlis pertunangan serba sederhana itu berlangsung baik dan meriah. Kami doakan Rahimi dan Ummi Fareena akan bersama-sama menuju syurga.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, May 20, 2015

My Coach

Tahun ini menjadi tahun kelapan belas saya bekerja. Lama juga itu. Sudah sunti jika anak dara.

Selama lapan  belas tahun ini, saya cuma menggalas beg yang tidak pernah melewati harga tiga ratus. Tidak pernah. Paling mahal, dua ratus lebih. Itu pun dua sahaja. Satu semasa saya di Kuala Krai sekitar tahun 2000/01. Saya beli dari katalog Cael Deon rasanya. Beg itu masih ada tetapi usang dan sudah outdated. 

Yang kedua saya beli pada 2012. Beg jenama Coach tetapi bukan asli. Malangnya ia tidak tahan lama. Selepas setahun ia terkopak di sana sini dan saya membuangnya ke tong sampah.

Seterusnya saya hanya memakai beg murah-murah sahaja. Bukan tidak terliur melihat rakan-rakan guru bergaya dengan beg yang berjenama dan berharga lebih lima ratus, tetapi saya bertahan.

Sehinggalah awal bulan ini.

Saya menerima wang kutu sejumlah RM2000. Saya berkira-kira untuk membeli sesuatu.

Di laman welovecoach.com, saya menempah sebuah beg baru. Harganya lebih mahal daripada beg-beg biasa tetapi saya mahu juga.

Dan saya membelinya.

Baru sekali saya menggayakannya, iaitu pada hari guru lepas. Semoga ia bertahan dengan saya untuk tempoh bertahun-tahun.

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, May 13, 2015

Luah

Hampir setiap hari, jam lima petang baru kakiku melangkah ke pintu rumah. Semakin hari terasa semakin penat aku melewati hari-hari sebagai seorang guru. Hampir sepuluh jam setiap hari aku berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar juga rakan setugas.

Pun, aku tidak pernah menyesali perjuangan yang kupilih ini. Di sini tetap ada bahagia yang tidak semua orang rasa. Bahagia yang hanya aku tahu.

Penat seorang guru seperti aku, pun hanya aku tahu. 

Ada syukur dalam jiwaku kerana kepenatan ini mengajar aku banyak tentang kehidupan. 

Tiada yang tidak penat. Jururawat, doktor, arkitek, jurutera, ahli perniagaan, tukang masak, tukang rumah, tukang jahit, atau apa sahaja. Malah suri rumah juga!

Lalu aku tiada sebab untuk mengeluh tetapi syukur.

Syukur ya Allah, melorongkan aku ke jalan ini.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, May 05, 2015

Menghitung

Hari ini 16 Rejab 1436 Hijrah. Empat puluh empat hari lagi menuju ke Ramadhan, bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh sekalian umat yang mengaku dirinya Islam. Pada saya, Ramadhan adalah bulan yang penuh ketenangan, kerehatan dan kemanisan, sehinggalah menjelangnya Syawal. Syawal menjadi waktu meraikan sebuah kemenangan dengan saling berkunjungan antara saudara dan sahabat.

Dalam masa empat puluh empat hari ini, saya masih perlu menggantikan puasa yang belum langsai. Ada lima hari lagi. Saya tidak tahu mengapa ia menjadi terlalu sukar untuk menggantikan puasa-puasa itu lebih awal.

Untuk Ramadhan kali ini - jika saya masih diberi kesempatan - saya mahu memberi yang lebih baik. Bukan mudah mengota janji pada diri sendiri, lebih payah lagi apabila ia melibatkan kekuatan rohani tetapi saya mahu mencuba dan berusaha agar ada nilai tambah dalam setiap Ramadhan yang saya lalui.

Semoga upaya saya untuk bangun memasak sahur turut disertai dengan ruang waktu memaku diri sebagai hamba Tuhan. Semoga waktu siang yang tidak sibuk itu mampu saya penuhi dengan alunan ayat-ayat suci sambil mencari erti dan pengajarannya. Semoga begitulah. Saya berdoa semoga begitulah.

Monday, May 04, 2015

Untuk Tiga Hari

Jumaat 1 Mei baru-baru ini ialah Hari Pekerja yang menjadi cuti umum seluruh negara. Tetapi kami di Kelantan tidak menerimanya sebagai cuti umum kerana ia telah jatuh pada hari cuti hujung minggu. Mujur juga hari Wesak jatuh pada Ahad, maka dapatlah kami menikmatinya dan menjadikan cuti hujung minggu kami kali ini lebih sehari. Dapatlah tiga hari. Alhamdulillah.

Tiada apa yang menarik pun yang saya lalui sepanjang tiga hari itu. Saya cuma berehat sungguh-sungguh. Hari Jumaat, saya bersantai di rumah emak dari pagi sampai ke petang. Kebetulan adik-adik ada yang pulang, dapatlah saya memesrai mereka dan keluarga mereka biar pun tidak lama. Kami sama-sama memasak untuk makan tengah hari iaitu sup ayam, kangkung goreng belacan, solok lada dan telur masin. Bila di rumah emak, selera saya memang lain macam. Banyak sungguh saya makan.

Hari Sabtu, saya keluar membeli barang-barang dapur dan memasak makan tengah hari. Sayur lemak bayam, ikan selar goreng, ikan kering dan budu. Mudah sahaja. Selesai menikmati hidangan itu, saya mencari ruang untuk tidur sebentar.

Tidak lama, sahabat suami saya menelefon untuk singgah di rumah saya. Dia dan isterinya dari tempat kenduri di Pasir Mas. Kami menyambut mereka dengan hidangan karipap dan air oren sahaja. Tak mengapa, mereka kata mereka sudah kenyang makan nasi kenduri tadi.

Ahad, saya dan suami keluar makan di Pantai Irama, Bachok. Ikan celup tepung dan sotong celup tepung menjadi santapan tengah hari kami. Selepas itu kami pulang berehat di rumah.

Malamnya, suami saya ada jemputan solat hajat di rumah jiran. Saya berkira-kira untuk berpuasa esok kerana masih belum selesai mengganti puasa yang tertinggal. Apabila memasak untuk saya seorang, tentu sekali ringkas yang amat. Hanya nasi putih dan sup sayur, cukup untuk makan malam dan sahur sekali.

Hari ini, 4 Mei - Isnin. Saya kembali bekerja. Walaupun berpuasa, semangat saya tetap sama. Semoga saya terus mampu memberi yang terbaik buat anak-anak didik saya dalam apa keadaan sekalipun. In Shaa Allah.



Sunday, May 03, 2015

Maut

Benar, sudah sampai masanya. Tiga sekeluarga ini - Fairuz Nizam Hussain, Nova Safitri dan bayinya Nur Firuz Annisa -  pergi dalam satu kemalangan di lebuh raya DUKE sekitar jam 1 pagi 2 Mei lalu. Kemalangan yang sangat tidak patut terjadi. Tinggallah dua orang puteri mereka - Nur Firuz Amira dan Nur Firuz Akila - yang masing-masing baru berusia tujuh dan empat tahun menjadi yatim piatu.

Bukan kita tidak percaya kepada qada' dan qadar. Itu salah satu rukun iman dan sebagai muslim, saya mengimaninya. Pun, ada hati yang tersayat saat mengikuti setiap kisah dan cerita di sebaliknya. Kisah yang selalu saya geruni. Apabila orang lain yang bersalah, dan orang lain pula yang menjadi mangsa.

Tiada kata-kata yang lebih baik selain doa. Buat yang pergi, semoga Allah merahmati kalian. Buat yang tinggal, tabahlah menempuh ujian. 


Sent from Samsung Mobile