Saturday, December 12, 2020

Salam Kebahagiaan

Pagi Rabu 9 Disember 2020 itu, adinda Ismah selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.27 kg di Hospital Putrajaya, secara c-section.

Alhamdulillah. Bertambah lagi bilangan cucu tok ma, mencecah 21 orang. 

Tidak sabar mahu bertemu, meriba dan mencium bayi suci yang harum itu tetapi upaya apalah yang saya ada, tambahan lagi dalam suasana pandemik yang masih enggan pergi.

Dari jauh pun, rasa bahagia itu sama. Dari jauh pun jua, doa dari umiti sentiasa bertebaran serata maya. Semoga Allah menjaga dan melindungi kalian di Putrajaya, cepat sembuh uminya dan sentiasa sihat anaknya. Reaksi Huda dan Hana menerima adik baru sentiasa terbayang-bayang di mata. Sungguh rindu untuk melihat aksi begitu.

Jagalah mereka ya Allah. Beri kami ruang untuk menemui mereka jua nanti.

Amin.



Perkongsian

Seorang lelaki pergi ke Masjid. Dia lupa mematikan (silent mode) hp nya dan secara tiba-tiba berdering waktu sedang berdoa. Seorang takmir menegurnya dari depan, beberapa orang memarahinya apabila selesai berdoa karena dia sudah mengganggu kekhusyukan dan ketenangan mereka ketika berdoa.

Apabila dia pulang, dia menceritakan kisah itu kepada isterinya. Dia mengharap mendapat simpati dari isterinya tetapi isterinya terus memarahinya kerana kelalaiannya. 

Sejak itu, dia memutuskan untuk tidak  lagi melangkahkan kakinya ke Masjid itu.

DAN

Malamnya, dia pergi ke cafe. Masih merasa gugup dan tergoncang dengan peristiwa tadi, dia tidak sengaja telah  menumpahkan minumannya di meja.

Pelayan cafe dengan pantas meminta maaf dan memberikan kain lap bersih untuk dia  membersihkan pakaiannya.

Petugas kebersihan segera mengelap dan membersihkan lantai. Pengurus cafe datang  membawakan minuman ganti. Dia juga memberikannya pelukan serta berkata *"Jangan bimbang, sikit punya hal, siapa lah yang tak pernah buat silap?"*

Sejak saat itu, ia tidak pernah berhenti datang ke cafe itu.

PENGAJARAN:

Terkadang sikap kita sebagai orang beriman yang menyebabkan ada jiwa-jiwa yang terdorong ke neraka. Kita memagari diri kita seakan kita adalah orang-orang suci. 

Bagaimana kita boleh berbicara tentang ketenangan jiwa, bila fokus kita hanya  kesalahan-kesalahan orang lain sahaja?

Mari kita asah kembali mata hati kita, bukan  mempersoalkan siapa benar ataupun siapa yang salah, namun respon kita terhadap sesuatu keadaan yang menentukannya.

Laa hawla wala quwwata illa billah hil a'liyil adzim.

#MuhasabahDiri

SUMBER SAYA :
Dari FB Masnieza Angkasah

Thursday, December 10, 2020

Emosi Kesayuan

Sayu hari ini. Air mata mudah je keluar. Tak taulah, dah cuba mencari rasional tetapi hati ini begitu sensitif.

Bukan senang mencari ruang, seorang saya sering terikat dengan pelbagai kekangan. Apabila peluang ada, saya seperti bukan siapa-siapa. 

Sayu.

Pulang ke rumah saya cuba memujuk hati. Tetapi begitulah, mood ke laut. Mahu melayan cakap dengan suami pun rasa malas. Untung dia tidak tahu gejolak dalam jiwa isterinya ini. Penuh emosi.

Usai makan dan solat Zohor, saya tidur. Harapnya bangun nanti semua kesayuan itu pergi. Tetapi tidak. Demi terjaga sahaja, gambaran peristiwa itu terbayang-bayang. Lalu bagaimana?

Saya mencari beg barang kemas saya. Sekadar mahu menatap dan mencuba sambil melupa apa yang sedang mengganggu. Suami saya menegur, acap benar membelek emas sekarang? Tak sabar nak beli baru ke? Nantilah kita ke kedai. Minggu depan ya!

Hati saya berbunga-bunga. Rupanya dia perasan peel saya belakangan ini yang asyik melihat facebook emas, dan membelek-belek barang kemas sendiri yang cuma seurat dua itu. Saya ada juga mengajaknya ke kedai emas, tapi dia kata musim begini tidak sesuai. Kedai emas kan tengah penuh sekarang. Nanti dululah. Saya diam saja. Selalu pun begitu, bila ajakan tak dipenuhi saya tidak akan mengulang ajak lagi.

Mujur dia faham. Alhamdulillah.

Hati saya sedikit tenang. Biarlah peristiwa sayu pagi tadi berlalu. Bukan perlu saya kenang pun. Bukan selayaknya saya nak rasa hati pun. Saya saja yang over sensitive. Hormonal imbalance, or pre menopause syndrom. Yes, whatever!

Untuk sekian kalinya, Alhamdulillah.

Monday, December 07, 2020

Fokus

Melihat gelaran-gelaran yang terpampang di pangkal nama rakan-rakan sekolah saya dahulu, ada juga rasa seperti sesalan terbit di jiwa. Berapa ramai antara mereka sudah ada doktor falsafah, malah ada yang bergelar profesor juga. Mereka berjawatan hebat dalam bidang akademik, serta dikenali. Saya hanya mampu menumpang bangga dengan pencapaian akademik mereka yang menakjubkan itu.

Dahulu, saya pernah bercita-cita untuk berada di tempat begitu. Saya mahu meneruskan perjuangan saya dalam bidang yang saya minati iaitu akademik. Saya suka belajar. Belajar lebih seronok daripada bekerja. Sungguh.

Pun langkah yang saya atur tidak membawa saya ke puncak itu. Laluan yang saya pilih nian berbeza. Kenapa?

Bukan mencari alasan, tetapi inilah kenyataan. Sebaik saya nekad untuk menjadi guru, borang Pengajian Sarjana yang saya isi sewaktu di tahun akhir UKM, saya buang ke bakul sampah. Waktu itu hati berdetik, biarlah dahulu. Masa masih ada selepas bekerja dan ada duit nanti.

Bila sudah bekerja dan berkahwin, saya menjadi beku. Setiap kali ada tawaran untuk sambung belajar lalu di depan mata, saya pejamkan sahaja. Saya seperti sudah lupa pada segala cita-cita. Lagi pun, menjadi guru sekolah akan tetap guru sekolah biar berkeping-keping sarjana saya miliki. 

Saya sebenarnya seorang yang sangat fokus. Saya tidak boleh melakukan dua tugas utama serentak. Jika saya bekerja, saya akan fokus kepada kerja saya. Tidaklah mampu saya belajar jika saya ini masih bekerja. Itulah saya. Apatah lagi saya juga seorang isteri yang taat dan setia. Menyambung belajar tentulah membebankan bahu yang sedang memikul beratnya tugas isteri dan guru!

Lalu segalanya saya abaikan walaupun ada penyesalan. Saya pasrah. Saya reda dengan jalan yang terbentang di hadapan saya. Walaupun gelaran cikgu hanyalah biasa-biasa, saya tetap mahu berbangga dengannya. Ya, bersyukur sesungguh-sungguhnya.

Meneruskan pengajian memerlukan kecekalan dan semangat. Saya tabik pada mereka yang mampu melakukannya serentak dengan kerjaya. Hebat. Saya tidak sehebat itu. 

Semoga curahan tenaga sebagai cikgu ini memberi saya kepuasan yang boleh saya simpan dalam lembaran kenangan.

Benci Memasak

Tidak terkata betapa rindunya saya untuk ke sekolah. Saya sebenarnya sungguh bosan berada begini-begini saja di rumah, mengulang cerita yang sama yang penuh kebuntuan. Saya tidak kisah kalau berada di rumah untuk bebas dan menjadi diri saya juga melayan hobi sendiri, tetapi ia tidak begitu. Saya ada kerja yang perlu saya buat tetapi saya tidak gemar. Jadi?

Saya suka kalau boleh ke sekolah. Saya bebas di situ. Tiada yang saya tidak gemar di sekolah. Jiwa saya tenang bekerja sebagai guru lebih daripada menjadi suri rumah. Saya malas memasak!

Ah!

Semoga cepatlah Covid berlalu. Saya sudah tidak betah untuk memikir menu, kemudian memasak penat-penat, tetapi hasilnya tidak sedap langsung! Saya tertekan sungguh.

Kalau memasak itu boleh di'delete' dari acara harian saya, alangkah syurganya hidup! Berada di rumah memang best, asalkan tidak perlu memasak.

Friday, December 04, 2020

Cerita Gelang

Hampir dua puluh tiga tahun saya bekerja, tidak banyak barang kemas yang saya miliki. Entahlah, hati saya selalu berubah-ubah. Ada waktunya hati saya begitu inginkan barang kemas, tetapi fikiran sering melarang daripada membeli sesuka hati. Dan jika terbeli juga, berhari-harilah pula saya asyik memikir, berbaloikah apa yang saya beli itu?

Pada hal semua tahu emas itu nilainya kekal, kalis inflasi dan laku di seluruh dunia. Untuk jangka panjang, ia sangat menguntungkan. Cuma faktor-faktor tertentu yang menyebabkan saya selalu keliru. Saya seperti lebih menghargai tunai daripada emas kerana kecairan dan fungsinya lebih luas. Jika emas, ia hanya untuk perhiasan di tubuh sendiri dan tidak akan berguna selagi tidak diambil nilainya. Sedangkan tunai, saya boleh lakukan apa sahaja sesuka hati, memberi saya rasa selesa dan yakin.

Pada tahun pertama bekerja (1998), saya memiliki kisah tentang emas. Saya mengajar di SMK Mahmud Raub waktu itu dan berjauhan dengan suami yang mengajar di SMU(A) Rahmaniah Kuala Krai. Sebaik saya mendapat gaji pertama, saya teringin sungguh untuk memiliki gelang emas idaman saya. Saya berkenan benar dengan gelang licin tanpa corak, dan dipakai dua utas. Cantik pada mata saya.

Memikirkan saya ada duit sendiri, saya terus ke kedai emas di bandar Raub sendirian sepulang dari sekolah. Sekolah saya memang terletak di bandar, saya hanya berjalan kaki sahaja waktu itu menuju ke kedai emas. Kebetulan gelang yang saya idam-idamkan itu ada di kedai itu. Tanpa berfikir panjang, terus saya beli dengan harga RM840 untuk dua utas. Wah, puasnya hati saya dapat menggayakan gelang yang sekian lama saya impikan!

Pada hujung minggu itu, seperti biasa saya pulang ke Kuala Krai menemui suami saya. Dia terpandang gelang emas di lengan saya, dan saya pun memberitahu yang saya beli gelang itu sendiri di Raub. Dia tiba-tiba kelihatan bad mood. Enggan bercakap dan dingin sekali dengan saya. Hairan saya, apa yang tidak kena? 

Rupa-rupanya dia berkecil hati dengan tindakan saya membuat keputusan sendiri membeli barang kemas tanpa memberitahunya. Oh! Rupanya suami saya seorang yang begitu mengambil berat dan tidak boleh dirinya diketepi dalam apa jua keinginan saya. Dia mahu saya berbincang dengannya untuk semua perkara. Suami isteri, kan?

Saya yang baru mengenalinya tidak sampai setahun tidak menyangka langsung yang dia seperti itu. Saya hanya mampu meminta maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi lagi. Tidak mengapalah, saya akan lebih berhati-hati pada masa depan.

Gelang itu saya pakai sekejap sahaja, dalam setahun lebih. Apa yang berlaku menjadikan saya tawar hati dan tidak gembira setiap kali melihat gelang itu. Kesudahannya, saya jual gelang itu pada emak dengan harga RM500. Emak yang mahu, bukan saya promote ya!

Begitulah ceritanya.

Ada lagi yang saya mahu cerita tentang emas. Nantikan ya!

Monday, November 30, 2020

Kutunggumu, Disember

Setiap tahun engkau menjadi bulan yang sering aku nanti. Entah kerana apa, aku pun tidak pasti. Jika waktu aku kecil dahulu, Disember sentiasa dipenuhi dengan riang tawa gembira kerana sekolah cuti. Hujungnya ayah akan belikan baju dan kasut baru untuk kami menanti Januari.

Disember akan tiba lagi kini. Aku masih sentiasa menanti. Ada bahagia pada setiap Disember yang aku lalui.

Doaku kali ini, biar Disember ini tidak lagi dipenuhi cuti. Aku rindu suasana di sekolah dan anak-anak didik yang mengharap aku di sisi. Aku mahu teruskan perjuangan yang masih ada ini.

Hapuskan Covid ini Ya Allah. Aku memohon sepenuh hati!

Friday, November 27, 2020

Mi Bandung Saya

Lama saya berfikir nak masak apa malam ni. Lunch tadi saya goreng ikan kikik dan masak lemak pucuk paku. Minum petang pula saya buat roti bakar dan teh o. Untuk dinner?

Hai lah, beginilah bila tak sekolah dan duduk rumah sepanjang hari. Buntu nak cari idea memasak. Kalau untuk perut saya seorang tak adalah nak fikir susah-susah. Kalau malas, tak payah makan! Bukan lapar sangat pun malam-malam.

Tetapi cik abang kita ni, tak boleh tak makan. Perut dia mudah masuk angin. Lepas tu kalau masak tak kena selera dia, dia makan sikit dan saya yang murung! Aduh!

Saya pun tanya dia nak makan apa malam ni? Dia pun sama buntu. Nasi tak nak. Roti tak nak. Saya kata, mi kuah nak tak?

Mi kuah macam mana? Tanyanya kembali. Saya teringat mi bandung, lama tak makan. Saya google gambar dan tunjuk kat dia. Dia setuju.

Jam 7.55 saya pun ke dapur. Bawang besar, bawang putih, cili kering dan udang kering saya kisar dan tumis. Kemudian saya masukkan udang, sotong dan air, tunggu mendidih. Seterusnya saya masukkan dua biji telur juga sayur sawi dan bunga kubis. Saya perasakan dengan sos cili, gula, garam, kiub ayam dan sos ikan.

Siap.

Alhamdulillah, rasanya menyamai masakan di kedai. Suami saya pun habis sepinggan. Cuma lupa saya nak ambil gambar.

Pelindung

Seorang dai ditangkap polis atas dakwaan merogol seorang wanita murung.

Tidak tahu ulasan bagaimana harus saya tulis tentang ini. Ini bukan kes terpencil, segala yang berkaitan nafsu sangat sinonim dengan golongan sebegini. Ya, golongan lebai. Nafsu mereka serakah amat! 

Hati saya sakit. Pedih. Lelaki yang berpendidikan agama mengapalah suka buat onar? Bukankah lelaki itu tugasnya pelindung wanita? Berdegar-degar suruh wanita jaga kehormatan tetapi mereka dengan mudah ambil kesempatan. Dosa hanya milik wanitakah?

Boleh tak kalau ceramah agama yang bersepah-sepah dalam serata media menekankan tentang peranan lelaki di dunia ini. Cukup-cukuplah menyalahkan wanita dalam hal nafsu serakah ini, kerana peranan lelaki dalam topik ini seperti diketepi.

Mungkin saya terlepas pandang atau terkurang dengar ceramah-ceramah yang banyak itu. Mungkin sudah ada penceramah yang menegur lelaki-lelaki yang jiwa kacau sebegini. Mungkin ada, tetapi dalam masyarakat Islam Malaysia yang senget sebelah ini, ingatan sebegini perlu banyak-banyak. Perlu selalu-selalu.

Wahai ustaz Kazim, ustaz Don, ustazah Asma dan semua yang popular yang meraih tontonan juta-juta di Youtube, sebutlah tentang peranan dan adab lelaki terhadap wanita. Tegurlah lelaki-lelaki yang menganggap dunia ini milik mereka, sehingga wanita boleh dibuat apa sahaja, seolah-olah neraka bukan untuk lelaki. Sebutlah berkali-kali. Selalu-selalu.

Ustaz-ustaz lain juga, tidak usah hanya beria-ia apabila mempromosi sunnah poligami, apabila menasihati wanita menutup aurat, atau apabila bercerita balasan syurga untuk isteri taat. Mana nasihat untuk lelaki menjaga kemaluannya? Mana nasihat agar tidak menunggang agama? Mana teguran untuk hormat wanita? Jarang benarlah!

Padahal lelaki-lelaki beginilah yang memburukkan imej Islam di mata dunia. Mereka lebih jahat daripada penjahat-penjahat yang ada kerana mereka membawa nama agama tetapi merosakkannya!

Tuesday, November 24, 2020

Belakang Rumah

Awal rumah ini siap dulu, hanya sebuah rumah kamilah yang tersergam dalam sawah padi kampung ini. Setiap petang saya boleh berada di tangga dapur dengan selesa menikmati nyamannya bayu senja. Tiada orang pun di belakang rumah kami, hanya sawah padi.

Namun kenikmatan itu tidak lama, selang setahun satu demi satu rumah baru dibina. Saya tidak lagi boleh bergembira di pintu dapur kerana banyak mata boleh nampak kelibat saya. Malah, rumah terdekat menggunakan pagar rumah kami sebagai pagarnya juga. Sangat dekat sehingga saya tidak lagi tergamak membuka pintu dapur biar sepanas mana pun saya sewaktu memasak. Rimas kan? Tetapi mana boleh membiarkan mereka melihat saya yang tidak menutup aurat!

Dua hari lepas, Ahad 22 November 2020, suami saya akhirnya berjaya membina dinding zink yang menyekat rumah saya dari dilihat penghuni rumah belakang. Dengan kos sekitar RM600++, menggunakan khidmat kepakaran rakan suami saya yang juga orang Chenok, dalam sehari sahaja mereka selesai memasang zink untuk menutup ruang dapur saya dari dipandang orang. Alhamdulillah.

Kini saya boleh kembali membuka pintu dapur untuk menikmati kenyamanan bayu senja pada setiap petang.

Online

Memandangkan sekolah tutup tetapi gaji cikgu jalan, maka kami kena juga mengajar secara maya. Tak sedap pula makan gaji buta kan?

Dalam seminggu, saya diberi jadual untuk berkelas online selama empat hari. Dan saya tidak pernah gagal melakukannya sejak sekolah tutup minggu lepas.

Cara saya, saya menghantar soalan secara maya kepada anak-anak murid saya dan mereka akan menjawab pada waktu kelas berjalan. Sebarang kemusykilan akan saya jawab secara maya juga. Jawapan lengkap mereka perlu dihantar secara maya untuk saya semak. Begitulah berulang-ulang sehingga tamat PKPB ini.

Untung juga sukatan sudah sempat saya selesaikan sebelum sekolah tutup untuk semua kelas saya. Jadi saya tidak perlu mengajar secara maya, hanya memantau latihan sahaja.

Tetapi kenyataannya, saya sangat tidak puas mengajar begini. Seperti tidak sudah dan ada yang tidak sampai. Murid pula bukan semua mengambil bahagian. Ada pelbagai kekangan yang menghalang mereka. Saya pasrah.

Doa saya, sebelum jelmanya SPM pada Februari nanti, harapnya akan ada ruang untuk saya berkelas fizikal dengan mereka. Matematik Tambahan sangat tidak menjadi jika berkelas maya. Tiada sentuhan rasa dan tiada tusukan emosi. Saya mahu menatap wajah mereka, mendengar suara mereka, saling mengusik dan kemudian ketawa bersama. Meriah dan ceria barulah ada jiwa.

Sunday, November 22, 2020

Kisah Cintaku

Hujung 1997, usiaku merapati dua puluh lima. Terasa sayu entah kenapa, apabila melihat teman-teman seperjuangan satu persatu melangkah ke alam rumah tangga. Terasa benar yang aku ini terpinggir dari segala rasa cinta manusia.

Aku menatap wajah sendiri. Nampak benar kusam dan tidak bermaya. Aku hanya gadis kampung yang pemalu, walau telah merantau ke serata pelosok negeri namun aku tetap kaku dan kelu saat cinta berbicara.

Tiada siapa yang sudi padaku.

Yang aku punya hanyalah keikhlasan. Juga mungkin kesetiaan. Rupa tiada, budi bahasa pun tidak seberapa. Umpama bunga suci yang terlindung, tiada kumbang yang terhidu harumnya.

Pun dalam doaku, aku bermohon agar Allah temukan aku dengan pasangan yang akan menerimaku apa adanya. Aku berjanji untuk menjadi isteri yang menerima seadanya juga, dan tidak akan terlalu meminta. Ya, aku berdoa begitu kerana aku mahu menikmati alam rumah tangga seperti teman-temanku juga. Aku tidak mampu untuk mencari, hanya upaya untuk berdoa.

Dan dia, Allah hadirkan sebagai jawapan doa-doaku sekian lama. Dia bukanlah jauh, hanya beberapa jejak dariku tetapi sebelum waktu itu tiba, aku terjaga dalam kasih-Nya. Alhamdulillah.

Gelisah yang tidak terkata terbit dalam hatiku tatkala kami ditemukan. Aku tidak mampu waras, malah menganggap aku sedang bermimpi. Aku sukar mempercayai kenyataan yang aku lalui sehinggalah hari pernikahan kami, barulah aku seperti terjaga dari sebuah mimpi yang panjang. 

Seusai akad, barulah kami perlahan-lahan berkenalan. Barulah aku belajar tentang rasa cinta yang indah, yang selama ini tidak pernah bersambut. Barulah aku yakin yang aku disayangi, dikasihi dan dihargai oleh seorang insan kiriman Tuhan, yang sudi menerimaku apa adanya.

Aku bahagia. Terlalu bahagia. Aku bersyukur sesungguh-sungguhnya. Aku menerimanya dan dia menerimaku tanpa syarat.

Tuhan, terima kasih atas kurnia cinta buat seorang perempuan naif yang sering tewas pada persekitaran. Dulu aku mencari tetapi tiada pertemuan. Apabila aku memohon, Engkau izinkan. Dan dia tiba pada waktu yang aku perlukan.

Engkau redakanlah setiap langkah yang kami atur, dan izinkanlah kami bahagia sampai syurga.

Biar cinta ini sampai syurga.

Wednesday, November 18, 2020

Pantas

Rupanya, suami saya hari ini mahu makan nasi yang saya masak di rumah. Strategi tak menjadi!

Tadi, sekitar jam 12.40 tengah hari dia sampai di pintu pagar SMKKC untuk menjemput saya pulang. Kami menuju ke rumah ma dahulu, kemudian baru mahu cari makan tengah hari. Tiba-tiba dalam perjalanan dia bersuara, mahu beli nasi ke atau lagi baik kalau balik masak di rumah?

Soalan begitu saya faham sangat, dia nak makan masakan di rumah. Mujur mood saya elok hari ini. Jawab saya, boleh je kalau nak makan di rumah sebab tulang yang dibeli hari tu saya dah siap rebus. Nanti kita buat sambal pencicah je. Awak ambilkan daun kesom ya!

Baik kan saya?

Jam 1.10 minit kami dah sampai rumah, dan saya terus ke dapur untuk memasak. Jam 1.55 dah boleh makan. Pantas tak?

Lauknya, tulang rebus cicah sambal daun kesom resipi ma, petola goreng campur telur dan ikan masin goreng. Sedap tak terkata tau!

Begitulah isteri, sentiasa mendahulukan suami walau apa pun. Ya, walau apa pun.

Strategi

Sudah beberapa hari hujan turun mencurah-curah, menandakan musim tengkujuh sudah muncul. Saya yang memang gemarkan suasana dingin begini, terasa sungguh bahagia sekali. Tetapi kenyataannya, saya tidak boleh hanya melayan memanja diri dengan berselimut, membaca buku dan menikmati kopi panas dalam nyamannya cuaca kerana tuntutan hidup amat pelbagai. Saya ada tugas dan tanggungjawab yang banyak, yang perlu dilunaskan tanpa mengira cuaca.

Hari ini, hujan masih merintik. Saya meminta suami menghantar saya ke sekolah untuk menyiapkan tugas di sana. Bukan tidak boleh diselesaikan di rumah tetapi suasananya berbeza. Saya tidak boleh fokus bekerja di rumah kerana saya perlu membahagi diri kepada banyak bahagian. Susah begitu. Sedang enak saya menanda kertas, tiba-tiba teringat lauk belum dikeluarkan dari peti. Apabila ke dapur, teringat pula kain belum dijemur. Sudahnya, kerja sekolah saya tidak sempat usai.

Jadi hari ini saya memaku diri di sekolah untuk menyiapkan beberapa perkara. Syukur banyak juga yang selesai. Ada juga anak murid yang datang untuk belajar bersama. Dari jam 8.45 tadi, sekarang sudah 12 lebih. Mungkin sudah masanya untuk saya pulang.

Sebenarnya, apabila saya hadir bekerja di sekolah bolehlah saya mencutikan diri dari memasak tengah hari. Saya boleh sahaja membeli nasi bungkus untuk santapan kami nanti. Mudah bukan? Itu serampang dua mata, atau strategi saya. Bukan selalu pun.

Esok, saya akan menyelesaikan urusan rumahtangga pula. Semoga ada mood yang baik dan saya tidak tergoda dengan kenikmatan cuaca musim tengkujuh yang begitu nyaman dan enak bersantaian.

Monday, November 16, 2020

Duit Lelaki

Perempuan kalau tengok lelaki, dia tengok apa dulu? 

Usahlah berlagak suci wahai perempuan. Kejujuran yang kau tengok dulu? Mengarutlah. Jujurlah tara mana pun wahai lelaki, kalau duit tak ada memang perempuan tak pandang. Sungguh!

Eh, perempuan mana yang macam tu? Akulah!

Betul. Akulah itu yang pandang lelaki berduit. Aku tak pilih yang jujur semata, tapi hidup ditanggung bini. Duit tak banyak tak apa, janji ada.

Dulu masa aku anak dara, bila fikir bab kahwin memang dalam khayalan aku suami aku jenis berduit dan aku pun berduit. Memang aku nak suami yang stabil kewangannya tetapi bukan sebab aku nak kikis dia, cuma aku tak nak tanggung dia. Simple.

So kalau dia tak kerja, memang aku reject. Masa aku dirisik dulu, aku dah tahu si jejaka itu ada kerja tetap, walaupun tak hebat, jadi aku terima. Kalau tak ada kerja tetap, sumpah aku reject!

Alhamdulillah, selepas 23 tahun kami masih sama-sama berkasih, dan kewangan semakin tahun semakin stabil. Pandai-pandailah urus duit, agar tidak kecundang.

Kesimpulannya, carilah lelaki berduit sebagai pasangan. Tak hensem tak apa, janji ada duit. Nanti kita kaya sama-sama ya!

Saturday, November 14, 2020

Pendidikan dan Kita

Ini tulisan Saudara Hasrizal Abdul Jamil di Facebooknya, My Learning Journey.


Jika industri penerbangan dunia musnah dan ekonomi merudum umpama kesan Perang Dunia I dan II, mengapakah kita masih berfikir dengan mindset pendidikan perlu normal macam biasa?

Sudah lama kita fikir pendidikan sebagai 'urusan rasmi' yang kerajaan uruskan.

Tiba masanya ibu bapa mengambil kembali portion besar pendidikan untuk ia terjadi di rumah.

Ibu bapa mungkin tidak mampu mengajar algebra matematik, pemeluwapan kimia, Revolusi Perancis sejarah dan nahu bahasa Inggeris.

Tetapi ibu bapa boleh berbual dengan anak-anak tentang merancang kehidupan, kemahiran hidup, karakter dan nilai serta aplikasi ilmu akademik dalam kehidupan sebenar. Malah agama, aqidah bukan sebagai subjek sekolah, tetapi sebagai kekuatan hidup rujukan ibu ayah menempuh senang dan susah.

Setahun yang tidak menentu ini mungkin menjadi 'gap year' paling berharga dalam usia anak kita sepanjang hayatnya.

Belajar perlu berterusan, ada sekolah atau tiada sekolah.

Pendidikan wujud seiring kewujudan manusia, sebelum wujudnya sekolah, universiti dan kerajaan.

Jangan resah dengan kehilangan peralatan dan wasilah, kerana kita masih ada tujuan besar yang tidak pernah berubah.

Catatan Rawatan HUSM

Hari itu Selasa 10 November, saya menuju lagi ke HUSM di klinik O&G untuk rawatan penyakit saya yang sudah berpuluh tahun setia di sisi. Penyakit yang sudah sebati, dan akan kekal bersama saya sampai bila-bila.

Apabila Allah anugerahkan penyakit ini kepada saya, saya tahu itu tanda Allah kasih. Saya bersyukur dan reda kerana penyakit ini sentiasa menginsafkan saya tentang sebuah kehidupan yang fana dan rapuh.

Seperti bulan-bulan lalu, doktor akan sentiasa mencadangkan saya bertahan. Dan sungguh saya masih bertahan. Bertahan semampunya kerana tiada lagi pilihan lain. Seperti mahu menangis juga rasanya, mata saya berkaca-kaca. Tetapi inilah takdir yang saya jalani dan tetap saya syukuri. Saya masih betah untuk hidup, Alhamdulillah.

Temujanji seterusnya ialah pada 5 Januari 2021. Saya akan hadir untuk diimbas lagi, dan tentunya diminta untuk terus bertahan. Doa saya semoga saya mampu untuk bertahan selama mungkin. 

Semoga Allah perkenankan. Amin.

Sunday, November 08, 2020

Tiba-Tiba Cuti

Riuh rendah kami di sekolah hari ini sebaik menerima berita penutupan sekolah seluruh negara angkara Covid-19. Jika semalam PKPB yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan tidak melibatkan negeri kami, tiba-tiba hari ini Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan sekolah di seluruh negara pula ditutup. Berbaurlah segala perasaan yang ada. Murid-murid ada yang meloncat kegirangan, tetapi ada juga yang menangis kesedihan.

Guru-guru pula bagaimana?

Saya sebenarnya tidak begitu gembira. Ada sakit dalam dada memikirkan suasana seperti ini yang terpaksa kami hadap pada waktu anak-anak kami sedang berjuang mencari kehidupan. Terasa mahu marah dengan kealpaan pemimpin kita beberapa bulan lalu, sewaktu negara sudah di ambang pemulihan tetapi mereka degil dan berhati batu. Pada saya merekalah yang bersalah dan patut dipersalahkan sesalah-salahnya. Kasihan anak-anak SPM saya, cedera sungguh emosi mereka.

Pengajaran dan pembelajaran katanya mesti diteruskan di rumah. Tahukah kalian betapa sukarnya membentuk persekitaran untuk pembelajaran apabila berada di rumah? Lalu?

Tarikh peperiksaan SPM ditunda ke Februari. Lagilah kacau bilau jadinya. Sengsara sungguh kami dalam melaksanakan tanggungjawab pada 2020 ini. Tetapi tidak mengapa, kami akur dan reda. Segalanya sudah ditetapkan begitu dan kami yakin Allah mengetahui segala yang telah disusun-Nya.

Tenang-tenanglah wahai hati. Tenang-tenanglah wahai anak-anak cikgu. Kita cuba lakukan segalanya sebaik mungkin walaupun dunia sedang parah. Kita tetap pejuang dan akan terus berjuang demi keamanan sejagat.

Semoga Allah reda.

Friday, November 06, 2020

Hari Tidur

Salam Jumaat semua. Seronok kan bila hujung minggu tiba? Rasa relaks dan tenang, walaupun kerja di rumah tidak pernah mahu selesai.

Seawal pagi sebaik suami turun ke masjid, saya bergolek-golek di katil. Oh ya, saya uzur hari ini jadi bolehlah lepak lebih lama di katil. Heaven!

Suami pulang pada jam 7.40 pagi bersama sarapan. Senang, kan? Saya dah lama tak perlu bersusah payah memasak sarapan sebab setiap pagi hujung minggu suami saya akan membelinya. Heaven lagi!

Usai sarapan, saya bergolek-golek lagi. Tapi kali ini tak boleh lama-lama. Janji dengan suami nak keluar beli lauk pukul 10, jadi saya selesaikan mengemas dapur dan membungkus sampah dahulu. Seterusnya barulah saya mandi dan bersiap. Dengan berjubah hitam dan bertudung biru tua, saya mengikut suami ke kedai Berangan untuk membeli barangan dapur. Habis RM68.90 sahaja. Ok lah.

Seterusnya kami menuju ke rumah Ma dan rumah Mek. Tak lama, jam 11 pagi kami pulang. 

Di rumah, saya mula mengantuk. Selepas mengisi perut kali kedua (mi kari dan popia sira) dan menyimpan barang belian tadi, jam sudah ke angka 12. Saya mohon untuk tidur sebentar. Lenalah saya sekitar setengah jam.

Jam 12.30 suami saya keluar ke masjid, dan saya mula beroperasi di dapur. Ikan cencaru sumbat dan masak lemak pucuk paku campur udang sudah memadai untuk hari ini. Jam 1.40 saya selesai memasak. Suami pulang pada 1.50 dan kami sama-sama menikmati hidangan. Licin!

Saya kembali ke bilik. Suami saya meneruskan operasi pembersihan akuariumnya manakala saya terus menghempas diri ke katil. Mata mengantuk lagi. Jam mendekati 3 petang, saya tidur dengan lenanya. Terjaga hanya pada jam 4.30 petang. Wah! Sedap betul saya tidur, langsung tiada gangguan.

Begitulah. Bila hati tenang, fikiran lapang, saya boleh sahaja tidur dengan lena berkali-kali sehari. Alhamdulillah.

Sekarang jam sudah 5.33 petang dan pembentangan belanjawan 2020 sedang ke udara. Saya tidak fokus pun. Nantilah saya baca dalam internet.

Dan esok saya tidak lagi boleh tidur sesuka hati kerana perlu ke sekolah untuk kelas tambahan dari jam 8 hingga 12.30. Heaven!

Monday, November 02, 2020

Hujan November

Pagi ini hujan. November sudah muncul dan musim tengkujuh sedang dalam perjalanan. Musim yang penuh rasa, penuh emosi pada saya.

Sejak dulu, saya suka hujan. Ada tenang dalam nyamannya suasana. Saya akan asyik menikmati hujan. Saya akan lupa pada pedih sebuah kehidupan dan pada berat beban yang bertandang. Hujan itu satu keajaiban kurniaan Tuhan untuk saya nikmati.

Alhamdulillah.

Tugas saya sebagai guru semakin hari semakin saya senangi. Semakin saya memerhati, semakin saya syukuri sebuah ketetapan. Allah meletakkan saya di medan ini kerana inilah tempat selayaknya untuk saya. SMK Kampong Chengal pula menjadi lokasi terbaik untuk saya tanpa perlu saya terkejar-kejar mencari masa.

Seawal 6.35 pagi hari ini saya sudah tiba di tempat kerja kesayangan saya ini dalam hujan renyai-renyai. Masuk ke bilik kerja saya yang masih sunyi, saya ada ruang untuk diri sendiri sebelum rakan-rakan lain tiba. Tenang. Sungguh.

Dan apabila sudah sampai mereka, bermulalah masa untuk saya bekerja dan melayan bual. Indah juga, kerana hidup perlu variasi.

Jumpa lagi nanti.